Tuesday, January 17, 2017

Shilah al-Nasik fi Shifah al-Manasik


Karya ulama yang ingin dikongsi bersama pembaca kali ini adalah sebuah kitab yang berjudul Shilah al-Nasik fi Shifah al-Manasik (صلة الناسك في صفة المناسك), iaitu sebuah karya al-Imam al-Hafiz Taqiyyuddîn Abu ‘Amr Utsman bin Abdurrahman bin Utsman bin Musa al-Kurdi al-Syaharazuri (577-643H), yang terkenal dengan gelaran Ibn al-Shalah. Beliau adalah seorang ulama besar dalam bidang hadis dan fiqh mazhab Syafi’i. Nama dan pandangan beliau banyak disebut oleh para ulama Syafi’iyyah dalam kitab-kitab mereka.

Kitab Shilah al-Nasik karya Ibn al-Shalah ini merupakan sebuah kitab fiqh yang khusus membicarakan tatacara ibadat haji dan umrah. Kitab ini telah menjadi rujukan kebanyakan ulama mazhab Syafi’i selepas Ibn al-Shalah, di mana isi kandungannya telah dipetik dan diabadikan dalam karya-karya mereka. Di antara ulama yang memuatkan kandungan kitab ini ialah Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ dan al-Iydhah fi al-Manasik, Ibn Jama’ah dalam kitab Hidayah al-Salik, al-Khathib al-Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj, Fakhruddin Abu Bakr bin ‘Ali bim Zhahirah dalam kitab Kifayah al-Muhtaj, al-Muhibbudin al-Thabari dalam kitab al-Qura, al-Fasi al-Maliki dalam kitab Syifa’ al-Gharam, Ibn hajar al-Haytami dalam kitab Hasyiah ‘ala al-Iydhah dan lain-lain lagi.

Kitab Shilah al-Nasik fi Shifah al-Manasik bukan sahaja menjadi kitab rujukan mengenai ibadat haji dan umrah bagi para ulama mazhab Syafi’i, bahkan para ulama dari mazhab yang lain. Imam al-Nawawi misalnya telah mengambil faedah dari kitab ini dengan meringkaskan inti patinya, berserta beberapa tambahan dan penjelasan yang bermanfaat di dalam sebuah karyanya yang berjudul al-Iydhah fi Manasik al-Haj wa al-‘Umrah. Kitab al-Iydhah fi al-Manasik ini kemudiannya telah mendapat perhatian para ulama dengan menyusun beberapa kitab huraian dan ringkasan bagi kitab ini.

Kitab Shilah al-Nasik fi Shifah al-Manasik boleh dibaca dan dimuat turun melalui pautan http://waqfeya.com/book.php?bid=11653 atau https://archive.org/details/FP140002

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment