Thursday, July 7, 2016

Bahr al-Mazhab fi Furu’ Mazhab al-Syafi’i


Kitab Bahr al-Mazhab fi Furu’ Mazhab al-Syafi’i (بحر المذهب في فروع مذهب الإمام الشافعي) adalah sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh  al-Qadhi Abu al-Muhasin Abdul Wahid bin Ismail bin Ahmad al-Thabari al-Ruyani (415-502H). Beliau terkenal sebagai al-Qadhi al-Ruyani. Jika ditemukan istilah Qadhiyani (قاضيان :  yang bermaksud dua orang Qadhi) dalam kitab fiqh mazhab Syafi'i (terutama yang melalui jalur Imam al-Nawawi), maka salah satu dari qadhi tersebut adalah  Qadhi al-Ruyani rahimahullah, manakala yang kedua adalah al-Qadhi Abu Hasan al-Mawardi (450H), pengarang al-Hawi al-Kabir.
Kitab Bahr al-Mazhab ini disusun oleh al-Ruyani sebagai kitab huraian (syarah) bagi kitab Mukhtashar al-Muzani[1]. Dalam menyusun kitab ini, beliau telah menghuraikan kandungan kitab Mukhtashar Muzani berpandukan ilmu yang beliau perolehi daripada para guru beliau dari kalangan tokoh ulama mazhab Syafi’i pada zamannya. Di samping merujuk kepada kitab-kitab fiqh mazhab yang muktabar, beliau juga telah memenuhi karya beliau ini dengan pelbagai permasalahan fiqh hasil ijtihad beliau.

Imam Abu Amru Ibn al-Shalah (643H) ketika mengulas kandungan kitab al-Bahr berkata “Beliau (yakni al-Ruyani) banyak sekali menulis nukilan-nukilan dalam kitabnya”. Imam Ibn Katsir berkata “Kitab al-Bahr itu merupakan kitab yang lengkap dan memuat banyak gharaib-gharaib (masalah-masalah yang unik) dan lain-lain”.

Kitab yang terkenal dengan judul ringkas al-Bahr ini, merupakan antara kitab mazhab Syafi’i yang dianggap sebagai kitab al-muthawwalat (yang panjang dan banyak halamannya) yang masih sampai ke zaman kini dan telah dicetak dan diterbitkan untuk rujukan umat Islam.

Sekadar rujukan yang ditemui, kitab ini telah diringkaskan oleh seorang ulama terkemudian, iaitu al-‘Allamah Kamaluddin Abu al-Fadha-il Salar bin al-Hasan bin ‘Umar al-Irbili (670H) melalui karyanya  Mukhtashar al-Bahr.

Berdasarkan naskah kitab yang diterbitkan Dar Ihya’ al-Turats al-‘Arabi, Beyrut – Lubnan, kitab Bahr al-Mazhab ini telah dicetak dalam 14 jilid. Pembaca yang berminat boleh men-download kitabnya dalam bentuk PDF melalui pautan http://waqfeya.com/book.php?bid=1182. Semoga bermanfaat.


[1] Iaitu karya al-Imam Ismail bin Yahya al-Muzani (246H). beliau merupakan salah seorang murid terkenal al-Imam al-Syafi’i.

No comments:

Post a Comment