Saturday, June 18, 2016

al-Ghayah al-Qushwa fi Dirayah al-Fatwa


Kitab al-Ghayah al-Qushwa fi Dirayah al-Fatwa  (الغاية القصوى في دراية الفتوى)  adalah sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh Qadhi al-Qudhat Nashiruddin Abdullah bin Umar bin Muhammad bin Ali al-Baydhawi al-Syairazi (685H). Seorang tokoh ulama mazhab Syafi’i  yang terkenal pada zamannya dan karya-karyanya menjadi rujukan para ulama selepasnya.

Kitab al-Ghayah al-Qushwa ini asalnya disusun oleh al-Baydhawi sebagai ringkasan (mukhtashar) bagi kitab al-Wasith fi al-Mazhabkarya Hujjatul Islam al-Imam Abu Hamid al-Ghazali (450-505H). Namun begitu, kitab al-Ghayah al-Qushwa bukan sekadar ringkasan kitab al-Wasith, bahkan penyusunnya telah membuat beberapa penambahan dan penilaian terhadap beberapa permasalahan yang disebutkan dalam kitab al-Wasith.

Kitab al-Ghayah al-Qushwa juga dianggap sebagai kitab fiqh perbandingan (fiqh al-maqarin), kerana kandungannya memuatkan perbendaharaan fiqh yang sangat bernilai, yang menyebut pelbagai al-Qawl (pendapat) dan al-Wajh (pendapat/ijtihad para tokoh utama mazhab) yang dianggap rajih (terpilih) dalam mazhab Syafi’i.

Dalam permasalahan tertentu al-Baydhawi juga berusaha dengan gigih membuat pentarjihan terhadap beberapa pandangan ulama mazhab Syafi’i terdahulu, dengan merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah. Di mana, dalam karya beliau ini terdapat lebih daripada 123 ayat al-Quran dan  667 hadis hukum.

Disamping mengemukakan pendapat mazhab Syafi’i, al-Baydhawi juga membuat perbandingan dengan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Malik dalam beberapa permasalahan fiqh yang penting.  Setiap permasalahan fiqh yang dikemukakan  bersama dalil dan hujah bagi setiap  pandangan mereka. Al-Baydhawi akan membincangkan kekuatan dan kelemahan setiap dalil yang dikemukakan. Kebiasaanya beliau akan merajihkan pendapat mazhab syafi’i dan menolakkan dalil yang dikemukakan oleh mazhab yang lain.

Kandungan kitab ini dibahagikan kepada 60 kitab, 148 bab, 155 fasal, 475 masalah, 536 furu’, 31 tanbih, 6 taznibat, 16 mabhats dan  5  khawatim (penutup).  Beratus-ratus qawaid fiqhiyyah dan permasalahan usul fiqh disebutkan dalam kitab yang berharga ini.

Berikut disenaraikan antara karya fiqh yang disusun sebagai syarah (huraian) bagi kitab al-Ghayah al-Qushwa;
      
1.   Syarh al-Ghayah al-Qushwa fi Dirayah al-Fatwa, karya al-‘Allamah Ghiyatsuddin Muhammad bin Muhammad al-Wasithi (721H)     
2.  Syarh al-Ghayah al-Qushwa fi Dirayah al-Fatwa, karya al-‘Allamah Badrruddin Muhammad bin As’ad  al-Tastari (735H)
3.   Syarh al-Ghayah al-Qushwa,  karya Burhanuddin Abdullah Muhammad al-Farghani (743H)
4.   Al-Nihayah al-‘Uzma fi Syarh al-Ghayah al-Qushwa, karya al-‘Allamah Jamaluddin Muhammad bin Muhammad bin Zanki al-Isfirayini (771H)
5.      Syarh al-Ghayah al-Qushwa, karya al-‘Allamah  Ibn al-‘Aqawli, Muhammad (797H)
6.    Syarh al-Ghayah al-Qushwa, karya Ibn al-Jumu’ah, al-Qadhi Syarafuddin Musa bin Muhammad (803H)
7.      Syarh Burhanuddin Abdullah al-‘Anbari
8.     Syarh al-Sayyid Taqiyuddin al-Hushni

 Di samping kitab syarahnya,  ada juga ulama yang menyusunnya kembali kandungannya dalam bentuk Nazam, antaranya; Al-‘Allamah Abu Abdullah Muhammad bin al-Zhahiri al-Syafi’i, dengan karynya al-Kifayah fi Nazham al-Ghayah.              
 
Kitab al-Ghayah al-Qushwa fi Dirayah al-Fatwa ini boleh dibaca dan dimuat turun di pautan https://archive.org/details/GhayehQuswa atau terus di pautan https://archive.org/compress/GhayehQuswa/formats=IMAGE%20CONTAINER%20PDF&file=/GhayehQuswa.zip.  Kitab dalam file PDF ini merupakan salinan bagi kitab yang diterbitkan Dar al-Bashair al-Islamiyyah, Beyrut Lubnan – dengan cetakan pertama 2008 dalam dua jilid. Kitab ini ditahqiq oleh Dr Ali Mahyuddin Qarahdaghi. Maklumat dalam catatan ringkas ini berdasarkan prakata pentahqiqnya di awal kitab ini. Sila baca kitab ini untuk mendapat maklumat yang lebih tepat.

Semoga bermanfaat.      

No comments:

Post a Comment