Sunday, April 24, 2016

Kitab al-Hujjah (الحجه)


Di antara karya fiqh al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i (150-204H) yang tidak sampai kepada kita ialah kitab al-Hujjah (الحجه). Kitab ini disusun oleh Imam al-Syafi’i, ketika beliau berada di Iraq. Kitab ini telah diriwayatkan oleh seorang murid Imam al-Syafi’i yang bernama al-Hasan al-Za’farani.

Isi kandungan kitab al-Hujjah inilah yang disebutkan oleh para ulama mazhab Syafi’i sebagai Qawl al-Qadim atau pendapat lama Imam Syafi’i. Sedangkan isi kandungan kitab al-Umm yang disusun oleh Imam Syafi’i di Mesir dianggap sebagai Qawl al-Jadid atau pendapat baru Imam Syafi’i.

Menurut para ulama, Imam al-Syafi’i sebenarnya tidak memberikan nama khusus bagi karya beliau ini, sedangkan al-Hujjah merupakan judul yang diberikan oleh Imam al-Za’farani. al-Za’farani memberikan judul kitab ini dengan al-Hujjah, barangkali kerana mengikut langkah seorang pemuka mazhab Hanafi, iaitu Muhammad al-Hasan al-Syaibani yang menulis kitab yang berjudul al-Hujjah ‘ala Ahli al-Madinah. Selain al-Hujjah, kitab ini juga dikenali sebagai al-Mabsuth.

Susunan bab-bab fiqh dalam kitab al-Hujjah mirip dengan susunan kitab Zahir al-Riwayah karya Imam Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani. Imam al-Syafi’i menyusun kitabnya ini sebagai sanggahan terhadap pandangan para ulama fiqh Iraq, khusus para ulama mazhab Hanafi  berkaitan metode mereka dalam penyimpulan hukum.

Menurut Imam Muhammad Abu Zahrah dalam karyanya al-Syafi’i dan sebahagian tokoh peneliti yang lain, bahawa kitab al-Hujjah, al-Mabsuth dan al-Umm sebenarnya merujuk kepada karya fiqh al-Syafi’i yang sama. Di mana karya Imam Syafi’i yang disusun di Iraq dan diriwayatkan oleh al-Hasan al-Za’farani diberi judul al-Hujjah dan al-Mabsuth. Manakala karya fiqh Imam Syafi’i di Mesir yang diriwayatkan oleh al-Rabi’ bin Sulaiman al-Muradi pula diberikan judul al-Umm, sekaligus juga berjudul al-Mabsuth.

Kitab al-Umm yang disusun oleh Imam Syafi’i ketika di Mesir bukanlah suatu penyusunan kitab baharu, bahkan ia merupakan kitab yang sama sebagaimana beliau susun di Iraq. Namun begitu, beberapa perubahan telah dibuat oleh Imam Syafi’i terhadap beberapa permasalahan fiqh dalam karya beliau tersebut kerana perubahan ijtihad dan kajian beliau ketika di Mesir. Menurut Muhammad Abu Zahrah, karya-karya baharu Imam Syafi’i adalah hasil pembetulan, penambahan, pengurangan serta revisi terhadap karya-karya lama beliau.

Semoga bermanfaat.

Monday, April 18, 2016

al-Madkhal ila Mazhab al-Imam al-Syafi’i


Karya yang ingin dibicarakan secara ringkas bagi mengisi catatan  karya ulama kali  ini adalah sebuah buku yang berjudul al-Madkhal ila Mazhab al-Imam al-Syafi’i (المدخل إلى مذهب الامام الشافعي). Buku yang boleh diterjemahkan judulnya sebagai “ Pengantar Mazhab Imam al-Syafi’i ” ini disusun oleh Dr. Akram Yusuf Umar al-Qawasimi.

Buku ini asalnya adalah sebuah kajian ilmiah yang disusun oleh pengarangnya sebagai desertasi bagi memperolehi ijazah doktor falsafah dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh dari Fakulti Syariah, Universiti Jordan pada tahun 2002. Karya ilmiah ini telah diterbitkan dengan cetakan pertama oleh Dar al-Nafa-is, Jordan pada tahun 2003. Edisi cetakan pertama ini telah diberikan kata pengantarnya oleh  Prof. Dr Mustafa Sa’id al-Khin (1922-2008M)[1].

Kandungan buku al-Madkhal ila Mazhab al-Imam al-Syafi’i menghimpunkan kajian lengkap mengenai kehidupan al-Imam Abu Abdullah Muhammad bin Idris al-Syafi’i (150-204H), yang merangkumi sejarah hidup dan perkembangan keilmuannya. Berikut antara yang dibincangkan dalam buku ini;

       a)      Disiplin ilmu yang dikuasai dan metodologi yang digunakan al-Imam al-Syafi’i.
       b)      Karya-karya ilmiah peninggalan Imam al-Syafi’i.
       c)      Sejarah perkembangan mazhab Syafi’i.
       d)     Istilah-istilah  mazhab Syafi’i yang digunakan  dalam karya Fiqh dan Usulnya.

Buku ini perlu dibaca dan dimiliki oleh para pembaca supaya kita semua dapat mencontohi semangat dan kesungguhan usaha seorang tokoh yang hebat ini dalam menuntut dan mengembangkan ilmu pengetahuan, terutamanya yang berkaitan dengan ilmu Fiqh dan Usul Fiqh secara keseluruhannya.


Terjemahan dalam bahasa Melayu

Dalam koleksi saya terdapat sebuah terjemahan bagi buku ini. Ia diterbitkan oleh al-Hidayah Publications dengan cetakan pertama ada tahun 2012 dengan judul “ Ensiklopedia Imam al-Syafie Jilid 1 (Pengantar Mazhab al-Imam al-Syafie) ".

Buku karya Dr. Akram Yusuf Umar al-Qawasimi ini diterbitkan sebagai pendahuluan bagi sebuah edisi terjemahan karya yang lebih besar iaitu Ensiklopedia Imam Al-Syafie, iaitu terjemahan sebuah ensiklopedia yang menghimpunkan karya-karya Imam al-Syafi’i, yang berasal dari versi Arabnya: Ensiklopedia Imam al-Syafie (موسوعة الامام الشافعي). Ensklopedia yang disusun dan ditahkik oleh Dr Ahmad Badruddin Hassun ini telah diterbitkan oleh Dar Qutaibah, Beirut Lubanon dengan cetakan pertama pada tahun 1996 dalam 10 jilid. Manakala bagi edisi terjemahan dalam bahasa Melayu bagi Ensiklopedia ini bermula dari jilid 2 dan sehingga kini telah diterbitkan oleh Al-Hidayah Publications jilid ke 10 nya.

Versi bahasa Arab buku al-Madkhal ila Mazhab al-Imam al-Syafi’i (المدخل إلى مذهب الامام الشافعيini boleh dibaca dan muat turun melalui pautan berikut;


Semoga bermanfaat.



[1] Seorang tokoh ulama fiqh dan usul fiqh terkemuka Mazhab Syafi’i  dari Syria.

Friday, April 15, 2016

al-Talkhish li Ibn al-Qash


Kitab al-Talkhish (التلخيض) atau al-Talkhish li Ibn al-Qash (التلخيص لابن القاص) adalah sebuah karya fiqh berdasarkan Mazhab Syafi’i yang disusun  oleh al-Imam Abu al-‘Abbas, Ahmad bin Abu Ahmad al-Thabari al-Baghdadi al-Syafi’i (335H/946M) yang terkenal dengan gelaran Ibn al-Qash. Beliau merupakan seorang tokoh utama mazhab Syafi’i pada zamannya yang termasuk dalam kategori Ashab al-Wujuh.

Di antara karya Ibn al-Qash yang lain ialah kitab Adab al-Qadhi (Adab al-Qadha), al-Mawaqit, al-Miftah[1], Dala-il al-Qiblah dan Nushrah al-Qawlain li al-Imam al-Syafi’i.

Kitab ini memuatkan beberapa permasalahan fiqh yang merangkumi hampir keseluruhan perbahasan fiqh yang biasa dibincangkan dalam karya-karya fiqh. Kitab ini dimulai dengan “Kitab al-Thaharah” dan berakhir dengan “Kitab ‘Itq Ummahat al-Awlad”.

Antara kitab syarah (huraian) bagi kitab al-Talkhish yang pernah disusun oleh para ulama terkemudian ialah; 

a) Syarh al-Talkhish, karya Abu Abdullah al-Khatan,  Muhammad bin al-Hasan bin Ibrahim al-Istirabazi al-Jurjani (311-386H / 996M)           

b)   Syarh Talkhish Ibn al-Qash, karya al-Imam Abu Bakr Abdullah bin Ahmad bin Abdullah al-Marwazi  al-Khurasani  (327-417H), yang terkenal dengan gelaran al-Qaffal al-Shaghir  atau al-Qaffal al-Marwazi[2]

c)   Syarh al-Talkhish, karya Abu Ali Husain bin Syu’aib bin Muhammad al-Sinji (406H)[3] .

Bagi memuat turun kitab ini sila klik التلخيص لابن القاص. Semoga bermanfaat.




[1] Di antara ulama yang menghuraikan kitab al-Miftah ialah; 
a)     al-Qadhi Abu ‘Ali, al-Hasan bin Muhammad bin al-‘Abbas al-Zujaji al-Thabari (447H) melalui kitabnya yang berjudul  Ziyadat al-Miftah  atau juga dikenali dengan judul al-Tahzib. Beliau adalah murid kepada Ibn al-Qash. 
b)      Abu Mansur Abdul Qahhir bin Thahir bin Muhammad al-Baghdadi (429H). 
c)      Abu al-Khair al-Maqdisi, Salamah bin Ismail bin Jama’ah (480H). 
d)     Muhammad bin Abdul Malik bin Khalaf, Abu Khalaf al-Sulma al-Thabari (470H)

[2] Antara karya beliau yang lain ialah Syarh al-Furu’ li Ibn al-Haddad[3] dan Syarh Kitab ‘Uyun al-Masail li Abi Bakr al-Farisi.

[3] Antara karya beliau yang lain ialah Syarh Mukhtashar al-Muzani dan  Syarh al-Furu’ li Ibn al-Haddad.

Saturday, April 9, 2016

al-Wajiz Fi Fiqh al-Imam al-Syafi’i


Kitab al-Wajiz Fi Fiqh al-Imam al-Syafi’i (الوجيز في فقه الإمام الشافعي) adalah sebuah kitab karya Hujjatul Islam al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (450-505H) dalam bidang fiqh berdasarkan mazhab al-Syafi’i.Kitab al-Wajiz adalah karya fiqh yang ringkas dan padat yang menghimpunkan rumusan al-Ghazali terhadap pendapat-pendapat tokoh fuqaha mazhab Syafi’i sebelumnya mengenai beberapa permasalahan fiqh. Di samping pendapat-pendapat Imam Syafi’i dan tokoh-tokoh mazhabnya, disebutkan juga beberapa pendapat lain seperti pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Malik sebagai perbandingan.
Kitab al-Wajiz termasuk dalam rantaian siri karya fiqh al-Ghazali yang terkenal, iaitu al-Basith, al-Wasith dan al-Wajiz. Sumber penyusunan ketiga-tiga kitab tersebut berdasarkan kitab Nihayah al-Mathlab fi Dirayah al-Mazhab[1] (نهاية المطلب في دراية المذهب) karya agung al-Imam Ruknuddin Abu al-Ma’ali Abdul Malik bin Abdullah al-Juwaini[2] (419-478H). Menurut Ibn Hajar al-Haytami, pada awalnya al-Imam al-Ghazali telah meringkaskan kitab Nihayah al-Mathalib melalui kitabnya al-Basith dan kemudiannya, al-Ghazali telah meringkaskan kitab al-Basith pula melalui karyanya yang berjudul al-Wasith. Akhirnya al-Ghazali telah meringkaskan lagi kitab al-Wasith melalui kitabnya yang berjudul al-Wajiz[3].

Kitab al-Wajiz merupakan antara rujukan fiqh yang utama dalam mazhab al-Syafi’i. maka tidak hairanlah ia telah mendapat perhatian dan sentuhan pena di kalangan ulama mazhab Syafi’i dengan menyusun beberapa karya fiqh sama ada sebagai huraian (syarah) atau  ringkasannya.

Berikut antara kitab yang menghuraikan kandungan kitab al-Wajiz;

a)  Syarh Ibham al-Wajiz wa al-Wasith (شرح إبهام الوجيز والوسيط), karya Syaikh As’ad bin Mahmud al-‘Ujli (600H).

b)    Syarh al-Wajiz, karya al-Imam Fakhruddin, Abu Abdullah Muhammad bin ‘Umar bin al-Husain al-Razi (544-606H).

c)    Iydhah al-Wajiz, karya Mu’inuddin Abu Hamid Muhammad bin Ibrahim bin Abu al-Fadhl al-Sahli al-Jajarmi  (613H)    

d)   al-‘Aziz fi Syarh al-Wajiz[4], Syarh al-Wajiz al-Shahir  dan al-Taznib fi al-Furu’  ‘ala al-Wajiz, karya Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad al-Rafi’i (623H).

e) al-Tathriz Syarh al-Wajiz, karya Tajuddin Abu al-Qasim Abdul Rahim bin Muhammad bin Muhammad al-Mawshuli (671H)


Manakala berikut adalah antara ringkasan bagi kitab al-Wajiz;

a)  Mukhtashar al-Tibrizi[5] (Talkhish al-Wajiz), karya Aminuddin Abu al-Khayr Muzaffar bin Abu Muhammad bin Ismail al-Rarani al-Tibrizi  (558-621H)

b)  al-Muharrar[6], karya al-Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad bin Abdul Karim al-Rafi‘i al-Qazwaini (624H)

c) al-Ta’jiz fi Ikhtishar al-Wajiz, karya Tajuddin Abu al-Qasim Abdul Rahim bin Muhammad bin Muhammad al-Mawshuli (671H)

Kitab al-Wajiz boleh dimuat turun melalui pautan مجلد  1مجلد2   ,الواجهة.

Semoga bermanfaat.



[1] Kitab Nihayah al-Mathlab ini  dianggap sebagai sebuah ensiklopedia fiqh mazhab Syafi’i yang menjadi sumber kepada penyusunan kitab-kitab fiqh Syafi’iyah yang muncul selepasnya. Kitab ini juga dikenali sebagai “al-Mazhab al-Kabir”.

[2] Beliau adalah guru kepada Imam al-Ghazali. Beliau terkenal dengan gelaran Imam al-Haramain. Dalam kitab-kitab fiqh mazhab Syafi’i, jika disebutkan julukan “al-Imam” tanpa nama atau gelaran yang lain, maka ia merujuk kepada Imam al-Haramain ini.

[3] Sebenarnya kitab al-Wajiz bukan sekadar ringkasan  kitab al-Wasith, bahkan ia adalah ringkasan kandungan dari kedua-dua kitab al-Basith dan al-Wasith, serta beberapa  tambahan dari rumusan al-Ghazali terhadap fiqh mazhab Syafi’i.

[4] Kitab ini, kemudiannya telah diringkaskan oleh Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H) melalui kitabnya yang berjudul  Rawdhah al-Thalibin.

[5] Kitab ini telah disyarah oleh Ibn Daqiq al-‘Id, Taqiyuddin Abu al-Futuh Muhammad bin ‘Ali (625-702H) melalui karyanya yang berjudul  Syarh al-Mukhtashar al-Tibrizi.

[6] Kitab al-Muharrar telah diringkaskan oleh Imam al-Nawawi melalui kitabnya Minhaj al-Thalibin dengan beberapa tambahan. Manakala al-Qadhi Syihabuddin Ahmad bin Yusof al-Sanadi (895H) telah menghurai (syarah) kitab al-Muharrar melalui karyanya yang berjudul Kashf al-Durar  fi Syarh al-Muharrar.