Tuesday, January 19, 2016

FURU' IBN AL-HADDAD (فروع ابن الحداد)


Kitab al-Furu’ (الفروع) atau al-Furu’ fi al-Mazhab (الفروع في المذهب)  yang terkenal dengan kitab Furu’ Ibn al-Haddad (فروع ابن الحداد) merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang dihasilkan oleh al-Imam al-‘Allamah Syaikh al-Islam Abu Bakr Muhammad bin Ahmad bin Muhammad al-Qadhi bin al-Haddad al-Mishri al-Syafi’i (344H). Beliau terkenal dengan gelaran Ibn al-Haddad al-Kinani.

Ibn al-Haddad terkenal sebagai seorang guru dan hakim di Mesir pada zamannya. Beliau termasuk ulama yang diiktiraf sebagai Ashhab al-Wujuh dalam mazhab al-Syafi’i. Di antara amalan istimewa beliau ialah mengkhatamkan al-Quran setiap hari dan mengekalkan berpuasa mengikut amalan nabi Dawud ‘a.s. iaitu berpuasa sunat selang sehari. Imam al-zahabi telah memasukkan biografi Ibn al-Haddad ini dalam karya beliau yang berjudul Tazkirah al-Huffaz dan Siyar al-A’lam al-Nubala’. Ibn al-Haddad telah wafat pada tahun 344 H di Kaherah, Mesir. Selain kitab al-Furu’, antara karya beliau yang lain ialah; al-Jami’ fi al-Fiqh, al-Bahir fi al-Fiqh dan Adab al-Qudha’.

Kitab al-Furu’ ini sangat terkenal di kalangan ulama mazhab Syafi’i. Kandungannya menjadi rujukan para ulama mazhab Syafi’i dan pendapat-pendapat Ibn al-Haddad dalam kitab al-Furu’ dipetik dan dirakamkan dalam karya-karya mereka. Jika di dalam kitab fiqh mazhab Syafi’i menyebutkan judul kitab al-Furu’, maka yang dimaksudkannya ialah kitab al-Furu’ karya Ibn al-Haddad ini. Bahkan dalam sebahagian kitab fiqh, nama Ibn al-Haddad tidak disebutkan, tetapi hanya memadai dengan sebutan Shahib al-Furu’ (pengarang kitab al-Furu’).

Menurut Ibn Khalikan kitab al-Furu’ karya Ibn al-Haddad ini merupakan sebuah kitab yang ringkas, yang mempunyai beberapa permasalahan fiqh yang agak terperinci perbincangannya.

Kitab al-Furu’ ini mendapat perhatian besar di kalangan ulama mazhab Syafi’i. Di antara mereka ada yang telah menghasilkan karya bagi menghuraikan kandungan kitab ini. Di antara ulama yang menyusunkan kitab bagi menghuraikan kitab al-Furu’ ialah;

       a) Abu Ali Husain bin Syu’aib bin Muhammad al-Sinji (406H), melalui karyanya Syarh al-Furu’.al-Qadhi Husain, Abu ‘Ali al-Husain bin Muhammad bin Ahmad al-Marwaruzi (462H).

       b) al-Imam Abu Bakr Abdullah bin Ahmad bin Abdullah al-Marwazi  al-Khurasani  (327-417H), yang terkenal dengan gelaran al-Qaffal al-Shaghir  atau al-Qaffal al-Marwazi.

          c) al-Qadhi Abu al-Thayyib, Thahir bin Abdullah al-Thabari (445H/450H)      

Saya belum dapat maklumat mengenai cetakan kitab al-Furu’ karya Ibn al-Haddad ini, mahupun manuskripnya. Semoga bermanfaat.

Biodata Ibn al-Haddad boleh dibaca di pautan berikut;

No comments:

Post a Comment