Saturday, January 23, 2016

AL-TAZKIRAH FI AL-FIQH AL-SYAFI'I


Kitab al-Tazkirah fi al-Fiqh al-Syafi’i[1] (التذكرة في الفقه الشافعي) adalah sebuah kitab fiqh yang ringkas dan padat dengan permasalahan fiqh menurut mazhab Syafi’i. Kitab ini merupakan sebuah karya peninggalan al-Imam al-‘Allamah al-Hafizh Syaikh al-Islam Sirajuddin Abu Hafsh ‘Umar bin al-‘Allamah ‘Aliy Nurul Din al-Nahwiy bin Ahmad al-Mishri al-Syafi’i (723-804H). Beliau terkenal dengan gelaran Ibn al-Mulaqqin. Di samping itu beliau juga dikenali dengan gelaran Ibn al-Nahwi kerana bapanya ‘Ali adalah Ahli Nahu (al-Nahwi).

Kitab al-Tazkirah disusun sebagaimana penyusunan kitab-kitab fiqh yang lain,yang mana kandungannya meliputi sebahagian besar permasalahan fiqh yang biasa dibincangkan dalam kitab fiqh. Pembahagian kandungannya berdasarkan “ kitab-kitab ” tertentu. Di awal kitab (dalam pendahuluannya) diterangkan secara ringkas mengenai akidah dan diikuti dengan tajuk-tajuk (kitab) taharah, solat, zakat, puasa haji, jual beli, fara-id, pemburuan dan sembelihan, wadi’ah, nikah, jenayah, sumpah dan nazar, jihad dan kehakiman (qadha’). Manakala setiap kitab pula dibahagikan kepada beberapa fasal.

Berdasarkan edisi kitab al-Tazkirah yang diterbitkan oleh Dar al-Ilmiah, Beyrut dengan cetakan pertamanya pada tahun 2006, kitab ini telah ditahkik oleh Muhammad Hasan Muhammad Hasan Ismail dan dicetak dengan 160 halaman.

Kitab al-Tazkirah ini boleh dibaca secara online  di pautan;

atau dimuat turun file pdf di pautan;

Semoga bermanfaat


[1] Selain kitab ini, terdapat karya Ibn al-Mulaqqin yang lain berjudul al-Tazkirah, iaitu; 
        a)      Kitab Tazkirah al-Akhyar bi ma fi al-Wasith min al-Akhyar  
       b)     Kitab al-Tazkirah fi ‘Ulum al-Hadis (التذكرة في علوم الحديث). Kitab ini telah diberikan huraiannya oleh  al-Imam Muhammad bin Abdul Rahman bin Muhammad al-Sakhawi (902H) melalui karya beliau yang berjudul al-Tawdhih al-Abhar li Tazkirah Ibn al-Mulaqqin fi ‘Ilm al-Atsar  (التوضيح الأبهر لتذكرة ابن الملقن في علم الأثر).

Tuesday, January 19, 2016

FURU' IBN AL-HADDAD (فروع ابن الحداد)


Kitab al-Furu’ (الفروع) atau al-Furu’ fi al-Mazhab (الفروع في المذهب)  yang terkenal dengan kitab Furu’ Ibn al-Haddad (فروع ابن الحداد) merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang dihasilkan oleh al-Imam al-‘Allamah Syaikh al-Islam Abu Bakr Muhammad bin Ahmad bin Muhammad al-Qadhi bin al-Haddad al-Mishri al-Syafi’i (344H). Beliau terkenal dengan gelaran Ibn al-Haddad al-Kinani.

Ibn al-Haddad terkenal sebagai seorang guru dan hakim di Mesir pada zamannya. Beliau termasuk ulama yang diiktiraf sebagai Ashhab al-Wujuh dalam mazhab al-Syafi’i. Di antara amalan istimewa beliau ialah mengkhatamkan al-Quran setiap hari dan mengekalkan berpuasa mengikut amalan nabi Dawud ‘a.s. iaitu berpuasa sunat selang sehari. Imam al-zahabi telah memasukkan biografi Ibn al-Haddad ini dalam karya beliau yang berjudul Tazkirah al-Huffaz dan Siyar al-A’lam al-Nubala’. Ibn al-Haddad telah wafat pada tahun 344 H di Kaherah, Mesir. Selain kitab al-Furu’, antara karya beliau yang lain ialah; al-Jami’ fi al-Fiqh, al-Bahir fi al-Fiqh dan Adab al-Qudha’.

Kitab al-Furu’ ini sangat terkenal di kalangan ulama mazhab Syafi’i. Kandungannya menjadi rujukan para ulama mazhab Syafi’i dan pendapat-pendapat Ibn al-Haddad dalam kitab al-Furu’ dipetik dan dirakamkan dalam karya-karya mereka. Jika di dalam kitab fiqh mazhab Syafi’i menyebutkan judul kitab al-Furu’, maka yang dimaksudkannya ialah kitab al-Furu’ karya Ibn al-Haddad ini. Bahkan dalam sebahagian kitab fiqh, nama Ibn al-Haddad tidak disebutkan, tetapi hanya memadai dengan sebutan Shahib al-Furu’ (pengarang kitab al-Furu’).

Menurut Ibn Khalikan kitab al-Furu’ karya Ibn al-Haddad ini merupakan sebuah kitab yang ringkas, yang mempunyai beberapa permasalahan fiqh yang agak terperinci perbincangannya.

Kitab al-Furu’ ini mendapat perhatian besar di kalangan ulama mazhab Syafi’i. Di antara mereka ada yang telah menghasilkan karya bagi menghuraikan kandungan kitab ini. Di antara ulama yang menyusunkan kitab bagi menghuraikan kitab al-Furu’ ialah;

       a) Abu Ali Husain bin Syu’aib bin Muhammad al-Sinji (406H), melalui karyanya Syarh al-Furu’.al-Qadhi Husain, Abu ‘Ali al-Husain bin Muhammad bin Ahmad al-Marwaruzi (462H).

       b) al-Imam Abu Bakr Abdullah bin Ahmad bin Abdullah al-Marwazi  al-Khurasani  (327-417H), yang terkenal dengan gelaran al-Qaffal al-Shaghir  atau al-Qaffal al-Marwazi.

          c) al-Qadhi Abu al-Thayyib, Thahir bin Abdullah al-Thabari (445H/450H)      

Saya belum dapat maklumat mengenai cetakan kitab al-Furu’ karya Ibn al-Haddad ini, mahupun manuskripnya. Semoga bermanfaat.

Biodata Ibn al-Haddad boleh dibaca di pautan berikut;

Tuesday, January 12, 2016

ASNA AL-MATHALIB (أسنى المطالب)


Kitab Asna al-Mathalib Syarh Rawdh al-Thalib (أسنى المطالب شرح روض الطالب ) merupakan sebuah kitab fiqh mazhab al-Syafi’i adalah karya (susunan) Syaikh al-Islam, al-Qadhi Zaynuddin  Abu Yahya Zakariya bin Muhammad bin Ahmad al-Anshari al-Sunaiki al-Mishri (823-926H).

Kitab Asna al-Mathalib ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab Rawdh al-Thalib  (روض الطالب), karya al-‘Allamah Ismail bin Abu Bakr Abdullah al-Muqri al-Yamani (837H), yang terkenal dengan gelaran Ibn al-Muqri. Kitab Rawdh al-Thalib pula merupakan ringkasan (mukhtashar) bagi kitab Rawdhah al-Thalibin , iaitu sebuah kitab karya al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya in Syaraf al-Nawawi (676H).

Manakala kitab al-Rawdhah al-Thalibin atau terkenal dengan judul ringkas “al-Rawdhah” pula merupakan sebuah ringkasan (muktashar) yang diakukan oleh Imam al-Nawawi terhadap kitab ‘Aziz Syarh al-Wajiz (al-Syarh al-Kabir) karya Imam Abu Qasim Abdul Karim bin Muhammad al-Rafi’i (557-623H).

Sedangkan kitab al-‘Aziz Syarh al-Wajiz (العزيز شرح الوجيز) karya Imam al-Rafi’i pula adalah sebuah kitab huraian (syarah) bagi kitab  al-Wajiz fi Fiqh Mazhab al-Imam al-Syafi’i karya Hujjatul Islam al-Imam Abu Hamid al-Ghazali (505H), iaitu sebuah kitab ringkas dan padat yang menghimpunkan rumusan al-Ghazali terhadap pendapat-pendapat tokoh fuqaha al-Syafi’i sebelumnya dalam beberapa masalah fiqh.

Begitulah susur galur penyusunan kitab Asna al-Mathalib karya Syaikhul Islam Zakariyya al-Anshari yang dapat diterangkan secara ringkas dalam catatan ini.

Kitab Asna al-Mathalib ini boleh dimuat turun melalui pautan berikut;


Semoga bermanfaat.

Friday, January 8, 2016

HASYIAH AL-TARMASI (حاشية الترمسى)


Kitab Hasyiah  al-Tarmasi ‘ala al-Manhaj al-Qawim (حاشية الترمسى على المنهج القويم), adalah sebuah karya fiqh dalam mazhab Syafi’i yang disusun oleh  Syeikh al-‘Allamah Muhammad Mahfuz bin Abdullah bin Abdul Mannan al-Tarmasi al-Jawi al-Syafi’i (1285-1329H), seorang ulama dan karyawan agama yang terkenal, berasal dari negara Indonesia dan menetap di Makkah al-Mukarramah, dengan berkecimpun dalam penyebaran ilmu  di kota suci Makkah hingga akhir hayatnya.

Kitab yang terkenal dengan judul ringkasnya Hasyiah al-Tarmasi ini, sebenarnya mempunyai dua judul lengkapnya, iaitu;

       a)     Manhal al-‘Amim bi Hasyiah al-Manhaj al-Qawim (المنحل العميم بحاشية المنهج القويم).
     b)   Mauhib Zil Fadhli ala Syarh Ibnu Hajar ‘ala Muqaddimah Ba Fadhal (موهبة ذى الفضل على شرح العلامة ابن حجر مقدمة بافضل).

Kitab ini disusun oleh Syaikh Muhammad Mahfus al-Tarmasi sebagai hasyiah (komentar) bagi kitab al-Manhaj al-Qayim[1], karya al-Imam al-‘Allamah Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Makki al-Haytami (909-973/974H), yang terkenal dengan gelaran Ibnu Hajar al-Haytami[2]. Di mana kitab al-Manhaj al-Qawim merupakan sebuah kitab yang disusun oleh Ibn Hajar al-Haytami sebagai huraian (syarah) bagi kitab al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah[3], iaitu karya al-‘Allamah Jamaluddin Abdullah bin Abdul Rahman Ba Fadhal al-Sa’di al-Hadhrami[4] (850-918H), yang terkenal dengan gelaran Ba Fadhal al-Hadhrami.

Kitab Hashiyah al-Tarmasi mula dicetak pertama kali pada masa hidup beliau lagi dengan keizinan beliau pada tahun 1326H oleh Percetakan Amirah Sharqiyyah di Mesir. Asalnya terdiri dari 4 jilid. Ia dicetak bersekali dengan nota kaki (hamish) kitab al-Mawahib al-Saniyyah karangan Syaikh Sulaiman Kurdiy. Cetakan terkini yang siap ditahkik pula mengandungi tujuh jilid. Ia diterbitkan oleh Dar al-Minhaj, Jeddah pada tahun 2011. Melihat kepada ketebalan bagi setiap jilidnya yang merangkumi antara 600-800 lebih halamannya, kitab Hasyiah al-Tarmasi ini adalah sebuah kitab fiqh yang boleh dikategorikan sebagai kitab yang agak tebal dan luas perbahasannya.

Setelah dicetak, sebagaimana beliau jelaskan pada permulaan Bab al-Bay dalam kitab tersebut, beliau menemui naskhah kitab al-Manhaj al-Qawim yang telahpun ada pelengkap (takmilah) dari Bab al-Bay hingga Bab al-Fara-id. Maka beliau segera menulis hasyiyah bagi takmilah tersebut. Maka, pada permulaan Bab al-Bay kita akan mendapati al-Tarmasi memulakan bab ini dengan Basmalah dan Hamdalah serta sedikit penjelasan tentang penemuan beliau terhadap takmilah tersebut.

al-Tarmasi menyifatkan kitabnya ini sebagai “laporan penuh serta syarahan yang tinggi” (al-Tarmasi. 2011). Penanya kelihatan begitu lancar dalam menerangkan isu-isu fiqh. Beliau menyebutkan dalil bagi banyak permasalahan. Tidak cukup sekadar itu, beliau juga turut menyatakan illah (sebab atau alasan fiqh). Hasyiyah beliau ini dianggap oleh ramai pihak sebagai penutup tahkik, pelita pengikut Imam Syafi’i. Hasyiah ini juga mengandungi pandangan rasmi (muktamad) Mazhab Syafi’i serta mempunyai pandangan rajih dalam permasalahan khilaf. Ia juga diperakui sebagai ensiklopedia fiqh mazhab yang mengumpulkan pelbagai permasalahan yang bertaburan di dalam kitab-kitab mazhab ini.

Untuk mengetahui biodata Syaikh Muhammad Mahfuz al-Tarmasi dan maklumat mengenai kitabnya Hasyiah al-Tarmasi, sila layari

Kitab ini boleh dimuat turun melalui pautan berikut;


Download Kitab Minjahul Qowim:

Semoga bermanfaat.


[1] Selain al-Tarmasi, kitab ini juga telah diberikan hasyiah oleh beberapa ulama yang lain, antaranya;
a)   Syaikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi (1127-1194H) dengan karyanya Hasyiah al-Kurdi / al-Hawasyi al-Madaniyyah ‘ala al-Manhaj al-Qawim
b)  Abdullah bin Sulaiman bin Abdullah al-Jurhazi (1128-1201H), dengan karyanya Hasyiah al-Jurhazi ‘ala Manhaj al-Qawim bi Syarh Masa-il al-Ta’lim.
c)   Syaikh Shalih bin Muhammad Bafadhal al-Makkiy (1333H) dengan karyanya “ Hasyiah al-Maslak al-Qawim  ‘ala al-Manhaj al-Qawim Syarh Masa-il al-Ta’lim”

[2] Antara karya beliau yang lain ialah; Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj, al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah, al-Fatawa al-Haditsiyyah, Hasyiah al-Haytamiy ‘Ala Syarh al-Iydhah Fi al-Manasik al-Haj (Manh al-Fattah Syarh Haqa-iq al-Iydhah), al-Iy-’ab Syarh al-‘Ubab, al-Imdad fi Syarh al-Irsyad, Fath al-Jawwab ‘ala  Syarh al-Irsyad (Fath al-Jawwab fi Syarh al-Ikhlash), al-Nu-’aim dan Mukhtashar al-iydhah (fi al-Manasik).

[3] Ia juga terkenal dengan judul Muqaddimah Ba Fadhal, Masa-il al-Ta’lim dan Mukhtashar al-Kabir. Selain Ibn Hajar al-Haytami, kitab ini juga telah diberikan huraian (syarah) oleh beberapa ulama yang lain dengan karya mereka, antaranya;

a)     al-Mawahib al-Sunniyyah bi Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah karya Syaikh Sa’id bin Muhammad Ba ‘Ali Ba’isyn al-Daw’ani al-Hadhrami [1270H].
b)   Busyra al-Karim bi Syarh Masa-il al-Ta’lim, juga karya Syaikh Sa’id bin Muhammad Ba’isyn al-Hadhrami. Kitab ini adalah ringkasan bagi kitab al-Mawahib al-Sunniyyah karya beliau yang disebutkan di atas. Kitab ini lebih terkenal sebagai syarah kitab Masa-il al-Ta’lim berbanding kitab al-Mahawahib al-Sunniyah.                                                            
c)     al-Manhal al-Warif `ala al-Mukhtashar al-Lathif, karya Habib ‘Alwi bin Abdullah bin Husain Alaydrus (1979 M/1399H).

 [4] Selain kitab Muqaddimah al-Hadhramiyyah, antara karya lain beliau al-Mukhtashar al-Shaghir (Mukhtashar al-Lathif), Manasik al-Haj dan Majmu’ al-Fatawa.