Tuesday, February 10, 2015

Nihayah al-Mathlab Fi Dirayah al-Mazhab


Kitab Nihayah al-Mathlab Fi Dirayah al-Mazhab (نهاية المطلب في دراية المذهبadalah sebuah karya al-Imam Abul Ma'ali 'Abdul Malik bin 'Abdillah bin Yusuf bin Muhammad bin 'Abdillah bin Hayyuwiyah Al-Juwaini An-Naisaburi (419-478H). Kitab Nihayah al-Mathlab ini  dianggap sebagai sebuah ensiklopedia fiqh mazhab Syafi’i yang menjadi sumber kepada penyusunan kitab-kitab fiqh Syafi’iyah yang muncul selepasnya. Kitab ini juga dikenali sebagai “al-Mazhab al-Kabir”. Ketebalan kitab ini dirangkumi dalam 21 jilid.

Kitab Nihayah al-Mathlab ini dikatakan sebagai ringkasan bagi 4 buah kitab utama mazhab Syafi’i, iaitu Kitab al-Umm, al-Imla’, Mukhtashar al-Buwaithi dan Mukhtashar al-Muzani. Namun begitu menurut Ibn Hajar al-Haytami, kitab Nihayah al-Mathlab hanyalah merupakan syarah (huraian) bagi Kitab Mukhtashar al-Muzani.

Kitab Nihayah al-Mathlab kemudiannya diringkaskan pula oleh Imam Abu Hamid al-Ghazali (450-505H) dengan kitabnya al-Basith fi al-Mazhab[1]. Kitab al-Basith, kemudiannya diringkaskan lagi oleh Imam al-Ghazali dengan karyanya al-Wasith fi al-Mazhab[2]. Kemudian Imam al-Ghazali meringkaskan kitab al-Wasith tersebut dengan menyusun kitab al-Wajiz[3].

Kemudian kitab al-Wajiz tersebut diringkaskan pula oleh al-Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad bin Abdul Karim al-Rafi‘i al-Qazwini (555-624H) yang terkenal dengan gelaran Imam al-Rafi’i (623H) melalui kitabnya al-Muharrar[4]. Kitab al-Muharrar, kemudiannya diringkaskan pula oleh Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H) melalui kitab beliau yang terkenal, iaitu Minhaj al-Thalibin[5]. Manakala kitab Minhaj al-Thalibin ini diringkaskan pula oleh Syaikhul Islam Abu Yahya Zakariyya al-Anshari (823-926H) melalui kitabnya Manhaj al-Thullab[6]. Kitab Manhaj al-Thullab, diringkaskan kemudiannya oleh Syaikh Zainuddin bin Abdul ‘Aziz al-Malibari (987H) melalui kitabnya Qurrah al-‘Ain fi Muhimmat al-Din[7].


Kandungan kitab ini…

Dalam kitab ini, Imam Haramain telah berusaha memilih dan mengumpul pendapat-pendapat Imam al-Syafi’i, para Ashabul Wujuh, serta pendapat para mujtahid mazhab yang lain. Imam Haramain al-Juwaini dianggap sebagai ulama fiqh pertama yang menjadi pentarjih dan pentahrir pendapat-pendapat para ulama mazhab al-Syafi’I yang muncul sebelumnya. Dalam kitab al-Nihayah ini, Imam Haramain menjelaskan mana-mana pendapat Imam Syafi’i yang kuat dan lemah, yang mana pendapat Ashab (para sahabat/ murid al-Syafi’i) dan para ulama mazhab yang lain sama ada kuat atau lemah. Jika ada pendapat fuqaha’ dalam mazhab Syafi’i yang dianggap tidak sesuai dengan kaedah yang telah ditetapkan oleh Imam Syafi’i, beliau akan memberikan catatan khusus terhadapnya. Biasanya beliau akan berikan komentar berupa “pendapat ini menyalahi mazhab”, lalu kemudian beliau jelaskan pendapat yang sesuai dengan kaedah dan ushul dalam Mazhab Syafi’i.

Selain usaha beliau di atas, beliau juga melakukan beberapa tajdid dalam mazhab syafi’i melalui kitab ini. Tajdid beliau tersebut berupa ijtihad-ijtihad peribadi yang terkadang menyelisihi pendapat mazhab.  Selain itu, beliau juga menetapkan beberapa kaedah yang beliau tuliskan jika tidak ditemukan pendapat yang disepakati oleh mazhab dalam suatu masalah. Di mana kaedah tersebut menjadi asas dan panduan kepada fuqaha’ untuk menentukan sendiri hukum yang tepat sesuai koridor mazhab syafi’i.


Semoga catatan ringkas ini bermanfaat.




[1] Kitab al-Basith walaupun ringkasan kepada Nihayah al-Mathlab, tidaklah bermakna semua kandungannya adalah daripada kitab tersebut,  malah Imam al-Ghazali turut memuatkan pandangan-pandangannya. Ini adalah manhaj ulama terdahulu dalam meringkaskan kitab. Sebagaimana Imam al-Nawawi (676 H) yang meringkaskan kitab al-Muharrar karya Imam al-Rafi'i dengan penambahan dan pembetulan.

Selain kitab al-Basith karya al-Ghazali, kitab Nihayah al-Mathlab juga turut diringkaskan oleh Imam Abu Sa’ad Syarafuddin Abdullah bin Muhammad bin Hibatullah bin al-Mutahhar bin  ‘Ashrun (493/493-585H), yang terkenal dengan gelaran Ibn Abu ‘Ashrun –dengan karyanya Shafwah al-Mazhab min Nihayah al-Mathlab.

[2] Selain al-Ghazali, kitab al-Wasith juga diringkaskan oleh al-Imam Nashiruddin al-Baydhawi (685H), melalui kitabnya  al-Ghayah al-Qushwa fi Dirayah al-Fatwa.

[3] Kitab al-Wajiz telah dihuraikan (syarah) oleh ;
a)      Imam Fakhruddin al-Razi (606H).
b)      Imam al-Rafi’i (623H) melalui karyanya Fath al’Aziz Syarh al-Wajiz, yang juga terkenal dengan judul al-Syarh al-Kabir. Kitab al-Syarh al-Kabir kemudiannya telah diringkaskan oleh al-Nawawi dalam kitab al-Rawdhah al-Thalibin.

[4]  Di antara karya yang menghuraikan Kitab al-Muharrar ialah;
a)      Kasyf al-Durar fi Syarh al-Muharrar, oleh al-Qâdhî SyihâbuddinAhmad bin Yusof al-Sanadi (wafat 895H).
b)      Syarh al-Muharrar oleh Syaikh Nuruddin ‘Ali bin Yahya al-Ziyadi al-Mishri (1024H).

[5] Kitab Minhaj al-Thalibin merupakan kitab yang sering digunapakai untuk merujuk pendapat-pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi‘i selepas berlakunya proses pemurnian (al-tanqih) yang kali pertama dilakukan dalam sejarah perkembangan mazhab Syafi‘i. Oleh kerana itu, kitab ini telah mendapat perhatian yang tinggi di kalangan ulama-ulama mazhab Syafi‘i untuk diperkembangkan sama ada diberikan huraian (syarh), komentar (hasyiah), dilakukan ringkasan, disusun dalam bentuk nazam dan lain-lain lagi sehingga jumlah keseluruhannya yang dapat dikesan hingga kini mencecah 230 buah kesemuanya. Antara yang paling terkenal ialah dalam bentuk huraian (syarh) seperti Tuhfah al-Muhtaj Bi Syarh al-Minhaj oleh Ibn Hajar al-Haytami, Nihayah al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj oleh Syams al-Din al-Ramli dan Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifah Alfaz al-Minhaj oleh al-Khatib al-Syarbini.

[6] Kitab ini kemudiannya telah dihuraikan oleh Syaikh Zakariyya al-Anshari sendiri melalui karyanya Fath al-Wahhab.

[7] Kitab Qurrah al-‘Ain ini telah dihuraikan (syarah) oleh Syaikh Zainuddin al-Malibari sendiri melalui kitabnya Fath al-Mu’in. Ia juga ada diberikan huraian oleh Syaikh Muhammad Nawawi al-Banteni al-Jawi (1316H) melalui karyanya Nihayah al-Zain fi Irsyad al-Mubtadi-in.

Sunday, February 8, 2015

al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra


Kitab al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra  ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i (الفتاوى الفقهية الكبرى على مذهب الإمام الشافعي) merupakan sebuah kitab fiqh dalam mazhab al-Syafi’i yang menghimpunkan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh oleh Syaikhul Islam al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haytami al-Sa’di al-Anshari (974H) atau gelaran ringkasnya Ibn Hajar al-Haytami - dalam berbagai permasalahan agama yang penting.

Kitab ini sebenarnya tidak disusun sendiri oleh Ibn Hajar al-Haytami dalam bentuk kitab sebagaimana yang ada sekarang. Kitab yang menghimpunkan  fatwa-fatwa Ibn Hajar al-Haytami ini diusahakan penyusunannya oleh seorang murid beliau, yang bernama al-‘Allamah al-Syaikh ‘Abdul Qadir bin Ahmad bin ‘Ali al-Fakihi al-Makki al-Syafi’i (920-982H).

Kandungan kitab ini disusun dalam bentuk soal jawab, iaitu soalan dari penanya dan diikuti dengan jawapan oleh Ibn Hajar al-Haytami. Sebagaimana dengan kitab fiqh yang lain, kitab ini juga disusun mengikut “Kitab” dan “Bab” fiqh. Ketika menjawab persoalan atau permasalahan yang dikemukakan oleh penanya, Ibn Hajar al-Haytami telah menyebutkan pendapat yang rajih (terpilih) dalam mazhab al-Syafi’i, tanpa menyebut pandangan mazhab mazhab-mazhab yang lain.

Dalam permasalahan tertentu,  beliau tidak menyebutkan dalil-dalil dari al-Quran dan al-sunnah sebagai hujah fatwanya, tetapi memadai dengan membawakan pandangan para tokoh ulama (kibar ‘ulama) mazhab al-Syafi’i.

Kitab ini sangat terkenal di kalangan ulama mazhab al-Syafi’i mutaakhirin sebagai rujukan fatwa bagi menyelesai sesuatu permaslahan yang timbul dalam masyarakat. Kitab ini telah diterbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan di Timur Tengah dalam 4 jiid.

Muat turun kitab ini di pautan  http://www.feqhweb.com/vb/t17981.html. Semoga catatan ringkas ini bermanfaat.

Thursday, February 5, 2015

AL-MUKHTASHAR AL-SHAGHIR (المختصرالصغير)



Kitab al-Mukhtashar al-Shaghir (المختصرالصغير) atau dikenali juga sebagai al-Mukhtashar al-Lathif (المختصر اللطيف  ) adalah sebuah ringkasan karya fiqh dalam mazhab Syafi’i yang hanya membicarakan permasalahan ibadat. Manakala judul lengkap kitab ini ialah;  al-Mukhtashar al-Shaghir (al-Lathif ) li al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah (المختصر الصغير للمقدمة الحضرمية

Kitab ini disusun oleh al-Syaikh al-‘Allamah al-Faqih ‘Abdullah bin ‘Abdul Rahman Bafadhal al-Hadhrami (850-918H) sebagai ringkasan bagi kitab beliau yang berjudul al-Mukhtashar al-Kabir (المختصر الكبير) atau lebih dikenali dengan judul al-Muqaddimah al-Hadhramiyah (المقدمة الحضرمية) atau Masa-il al-Ta’lim ( بمسائل التعليم)[1]

Dalam pendahuluan karya kecilnya ini, Syaikh Abdullah Bafadhal memperkenalkan kitab beliau ini;

فهذا مُخْتَصَرٌ في ما لا بُدَّ لكلِّ مسلمٍ مِن معرفتِه أو معرفةِ مثلِه مِن فروضِ الطهارةِ والصلاةِ وغيرِهما. فيجبُ تَعَلُّمُهُ وتعليمُه ممَّن يَحتاجُ إليه مِن الرجالِ والنساءِ والصغارِوالكبار والأحرار والعبيد.

Ertinya; “ Maka inilah suatu mukhtashar (ringkasan) mengenai perkara yang mesti setiap muslim mengetahuinya atau seumpamanya dari kewajipan bersuci, solat dan selainnya. Maka wajib mempelajarinya oleh mereka yang memerlukannya dari kalangan lelaki, perempuan, sama ada kanak-kanak, dewasa, merdeka maupun hamba ”.

Berdasarkan edisi terbitan Dar al-Minhaj dari cetakan pertamanya  pada tahun 2009, kitab al-Mukhtashar al-Shaghir ini diterbitkan dengan ketebalan 80 halaman.
                               
Kitab ini telah diberikan huraiannya oleh para ulama antaranya;
  
a)  Syarh al-Mukhtashar al-Lathif (شرح على المختصر اللطيف), karya al-Imam Syamsuddin Muhammad al-Ramli (1004H).

b)  Misykat al-Tanwir Syarh al-Mukhtashar al-Shaghir[2]  (مشكاة التنوير شرح المختصر الصغير), karya al-‘Allamah ‘Abdullah bin Ahmad bin Abdullah Ba ‘Abbad al-Yamani (1924)
c)  Syarh al-Lathif ‘ala al-Mukhtashar al-Lathif ( شرح لطيف على المختصر اللطيف) / Ta’liqat ‘ala al-Mukhtashar al-Lathif  (تعليقات على المختصر اللطيف), karya al-Syaikh Muhammad Mu’in al-Qudumi[3].

d)  al-Manhal al-Warif `ala al-Mukhtashar al-Lathif, karya Habib ‘Alwi bin Abdullah bin Husain Alaydrus (lahir 1979 M/1399H).

e)  al-Bayan wa al-Ta’rif Syarh al-Mukhtashar al-Lathif (البيان والتعريف شرح المختصر اللطيف ), karya al-Syaikh Ahmad al-Nishf.

f)       Syarh al-Mukhtashar al-Lathif, karya al-‘Allamah ‘Umar bin Hafizh.

Kandungan kitab ini boleh dibaca di pautan;

Sebahagian besar sumber catatan ini saya ambil dari pautan;
http://www.aslein.net/showthread.php?t=14085. Semoga catatan ringkas ini bermanfaat.



[1]  Kitab ini, telah diberikan huraian (Syarah) oleh para ulama. Di antara kitab syarahnya ialah;

a)  al-Manhaj al-Qawim bi Syarh Masa-il al-Ta’lim karya Syaikh al-Islam Ahmad Ibn Hajar al-Haytami (974H).
b)  al-Mawahib al-Sunniyyah bi Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah karya Syaikh Sa’id bin Muhammad Ba ‘Ali Ba’isyn al-Daw’ani al-Hadhrami [1270H].
c)    Busyra al-Karim bi Syarh Masa_il al-Ta’lim, juga karya Syaikh Sa’id bin Muhammad Ba’isyn al-Hadhrami. Kitab ini adalah ringkasan bagi kitab al-Mawahib al-Sunniyyah karya beliau yang disebutkan di atas. Kitab ini lebih terkenal sebagai syarah kitab Masa-il al-Ta’lim berbanding kitab al-Mahawahib al-Sunniyah.                                          
[2] Kitab ada diterbitkan oleh طبعة دار الفتح للدراسات والنشر في الأردن pada 2010. Sebuah kitab yang sangat berfaedah dan  di antara kitab huraian المختصر الصغير yang terbaik.
[3] Kitab ini boleh didownload di pautan http://www.4shared.com/document/J5O7sPwo/___.html