Saturday, November 29, 2014

KHADIM AL-RAWDHAH WA AL-RAFI'I


Kitab al-Khadim li al-Rawdhah atau judul lengkapnya Khadim al-Rafi’i wa al-Rawdhah fi al-Furu’  ( خادم الرافعي والروضة في الفروع) adalah sebuah kitab susunan al-Imam Syaikh al-Islam Badruddin Abu  Abdullah Muhammad bin Abdullah bin Bahadur al-Zarkasyi[1] (745-794H/1344-1392M). Kitab ini merupakan sebuah ensiklopedia fiqh yang disusun kembali oleh al-Zarkasyi berdasarkan himpunan kandungan empat buah kitab ‘Hawasyi’ (komentar) bagi kitab Rawdhah al-Thalibin[2] karya al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya bin Syaraf al-Nawawi (631-676H).


Empat buah hawasyi tersebut disusun  oleh  empat[3] orang tokoh terkenal dalam mazhab al-Syafi’i, iaitu;

1)  Jamaluddin Abu Muhammad Abdul Rahim bin al-Hasan bin ‘Ali al-Asnawi al-Mishri[4] (704-772H), dengan karya beliau yang berjudul al-Muhimmat fi Syarh al-Rafi'i wa al-Rawdhah[5]

2)  Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Hamdan al-Azra’i[6]  (708-783H), dengan karya beliau al-Tawassuth Baina al-Rawdhah wa al-Syarh dalam 20 jilid.

3)  Sirajuddin Abu Hafsh ‘Umar bin Ruslan bin Nashir bin Shalih bin Abdul Khaliq bin Abdul Haq al-Bulqini (724-805H).

4) Syihabuddin Ahmad bin ‘Imad bin Muhammad bin Yusuf al-Aqfahsi, yang terkenal dengan gelaran Ibn al-‘Imad al-Syafi’i[7] (750-808H).

Nisbah kitab ini kepada al-Zarkasyi ada disebutkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam kitab al-Durar al-Kaminah, al-Sayuthi dalam kitab Husn al-Muhadharah, dan Ibn al-‘Imad al-Hanbali dalam kitab al-Syazarat.

Haji Khalifah ada menyebutkan dalam kitab Kasyf al-Zunun; “ Disebutkan dalam kitab Bughyah al-Mustafid bahawa kitab al-Khadim ini di ditulis dalam empat belas jilid, setiap jilid mengandungi 25 lembaran. Kemudian saya pernah melihat jilid pertamanya, yang dimulai dengan; الحمد لله الذى امدنا بنعمائه.... Dan disebutkan bahawa dalam kitab ini dihuraikan perkataan yang susah difahami dalam kitab al-Rawdhah (karya al-Nawawi) dan kitab al-Fath al-‘Aziz (karya al-Rafi’i)…….”.

al-Hafiz  Ibn Hajar al-‘Asqalani ada menyatakan;  “Kitab al-Khadim disusun berdasarkan kitab al-Muhimmat (karya al-Asnawi) dan kitab al-Tawassuth karya al-Azra’i, tetapi ia juga ditambah dengan beberapa faedah dari kitab al-Mathlab dan selainnya ”.

Kitab al-Khadim ini telah diringkaskan oleh al-Hafiz Jalaluddin Abdul Rahman al-Suyuthi dengan kitab beliau yang berjudul “ Tahsin al-Khadim ”. Menurut Haji Khalifah, kitab al-Suyuthi menyusun kitab Tahsin al-Khadim ini bermula bab zakat hingga akhir bab Haji, namun ia tidak sempat menyelesaikannya.

Sekadar maklumat yang saya perolehi, kitab ini belum lagi diterbitkan oleh mana-mana syarikat penerbitan di Timur Tengah. Ia masih lagi dalam bentuk manuskrip tulisan tangan oleh beberapa penyalin kitab terdahulu. Manuskrip kitab al-Khadim ini ada tersimpan di beberapa buah perpustakaan di dunia Islam dan di barat. Namun, kebanyakan manuskrip itu tidak lengkap kandungannya.

Catatan ringkas mengenai kitab al-Khadim karya al-Zarkasyi ini saya susun berdasarkan beberapa maklumat yang saya perolehi dari laman maya, antaranya dari laman al-Multaqa al-Fiqhi di http://www.feqhweb.com/vb/t15099.html. Jika ada kesilapan maklumat sila maklumkan. Semoga bermanfaat.


[1] Iaitu pengarang kitab al-Burhan fi ‘Ulum al-Quran, sebuah kitab yang membicarakan ilmu-ilmu al-Quran yang terkenal sebagai rujukan para ulama. Lihat ringkasan  riwayat hidup beliau di pautan http://ibnuzayyin.blogspot.com/2009/11/biografi-imam-badr-al-din-al-zarkasyi.html

[2] Kitab Rawdhah al-Thalibin adalah ringkasan bagi kitab al-Syarh al-Kabir (Fath al-‘Aziz) karya Imam Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad al-Rafi’i (557-623H). lihat maklumat ringkas kitab Rawdhah al-Thalibin di pautan http://abusyahmin.blogspot.com/2013/04/rawdhah-al-thalibin.html.

[3] Tiga orang daripada mereka merupakan guru kepada al-Zarkasyi, iaitu Jamaluddin al-Asnawi, Sirajuddin al-Bulqini dan Syihabuddin al-‘Azra’i.


[5] Kitab ini telah diberikan huraian ringkas oleh beberapa ulama, antaranya murid al-Asnawi sendiri iaitu Ibn al-‘Imad al-Aqfahsi dan Zainuddin al-‘Iraqi. Imam al-Azra’i juga ada menyusun kitab yang mengandungi beberapa kritikan ilmiah terhadap kitab ini melalui kitabnya al-Tanbihat ‘ala Awham al-Muhimmat .

[6] Lihat riwayat hidup beliau di pautan http://www.feqhweb.com/vb/t11512.html


[7] Beliau merupakan murid kepada Imam Sirajuddin al-Bulqini dan Jamaluddin al-Asnawi. Beliau ada menyusun kitab al-Ta’liq  ‘ala al-Muhimmat  , iaitu sebuah kitab yang mengandungi huraian bagi kitab al-Muhimmat karya al-Asnawi.


Wednesday, November 5, 2014

Hasyiata Qalyubi wa 'Umairah 'ala Syarh al-Mahalli 'ala Minhaj al-Thalibin


Di antara kitab rujukan para ulama mazhab al-Syafi’i yang ingin dikongsi bersama pembaca ialah dua buah kitab fiqh yang digabung cetakannya dalam satu terbitan, iaitu kitab yang berjudul “Hasyiata  Qalyubi wa ‘Umairah ‘ala Syarh al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Thalibin (حاشيتا قليوبي وعميرة على شرح المحلى على منهاج الطالبين).

Kitab ini sebenarnya merupakan gabungan dua buah kitab yang disusun oleh dua orang tokoh ulama mazhab Syafi’I yang terkenal, iaitu;

  1. Kitab Hasyiah Qalyubi ‘ala Syarh al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Thalibin, karya al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Ahmad bin Salamah al-Qalyubi al-Mishri (1069H). Beliau terkenal dengan gelaran al-Qalyubi. 
  2. Kitab Hasyiah ‘Umairah ‘ala Syarh al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Thalibin, karya Imam Syihabuddin Ahmad al-Burullusi al-Mishri (907H). Beliau terkenal dengan gelaran ‘Umairah. 
Kedua-dua kitab ini merupakan dua buah hasyiah (komentar) bagi kitab  Syarh al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Thalibin atau judul asalnya “ Kanz al-Raghibin Syarh Minhaj al-Thalibin ”, iaitu karya al-Imam al-Hafiz Jalaluddin Muhammad bin Ahmad al-Mahalli al-Syafi’i (864H). Beliau menyusun kitab ini sebagai syarah (huraian) bagi kitab Minhaj al-Thalibin, karya Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf  al-Nawawi (). Seorang tokoh ulama terkenal yang menjadi rujukan utama dalam mazhab al-Syafi’i.

Semenjak berlakunya penyatuan antara dua buah kitab ini dalam penerbitannya, seolah-olah kedua-duanya hanyalah satu kitab. Dalam beberapa cetakan kedudukan Hasyiyah al-Qalyubi biasanya diletakkan di atas Hasyiyah ‘Umairah. Tidak diketahui secara pasti siapa yang memulakan idea penyatuan dua hasyiah ini. Termasuk motif di sebalik penyatuan tersebut dan mengapa dipilih kedua hasyiah ini. Setelah melalui proses pencarian dari berbagai sumber, agaknya belum ada satu pun sumber yang berupaya memberikan sedikit cahaya agar jawapan-jawapan yang masih cukup gelap itu sedikit terang dan terbuka. Tulisan ini tidak lebih dari sekadar mencuba menemukan jawapan bagi semua pertanyaan tersebut, yang semoga boleh memberikan sedikit titik terang.

Kalau kitab Minhaj al-Thalibin dengan syarahnya Kanz al-Raghibin ini diterbitkan tanpa kedua hasyiah tersebut, barangkali cukup satu jilid saja yang diperlukan. Tapi dengan adanya tambahan kedua-dua syarah tersebut, beberapa penerbit mengeluarkannya dalam bentuk empat jilid relatif tebal-tebal yang masing-masing jilidnya sekitar 370 hingga 440 halamannya.

Dari empat jilid tersebut, berikut disebutkan tema kitab dan babnya;  

Jilid 1 : Muqaddimah sampai kitab al-Janaiz
Jilid 2 : Kitab al-Zakat sampai kitab al-Wakalah
Jilid 3 : Kitab al-Iqrar sampai kitab al-Thalaq
Jilid 4 : Kitab al-Raj’ah sampai kitab Ummhat al-Aulad


Kandungan  kedua-dua Hasyiah

Kandungan tema kedua-dua hasyiah tersebut sudah tentu relatifnya sama. Tema penulisan dan sistematik penyusunannya mengikuti tema-tema kitab Minhaj al-Thalibin sebagai matan dan Kanz al-Raghibin sebagai syarah. Perkara yang membezakan antara kedua-dua hasyiah tersebut adalah aspek kuantiti dan juga kualiti kedua-duanya.

Dari aspek kuantiti, Hasyiah al-Qalyubi lebih banyak mengandungi isi penjelasan. Kerana sebagaimana dikatakan sendiri oleh penulisnya, bahawa dalam hasyiahnya - beliau mengumpulkan keterangan dari pelbagai kitab hasyiah bagi Kanz al-Raghibin dan juga berbagai kitab hasyiah bagi kitab syarah Minhaj al-Thalibin yang lain.

Selain itu, dalam hasyiah al-Qalyubi ini terdapat pemilihan pendapat yang mu’tamad setelah memaparkan beberapa pendapat yang ada. Hal lain yang boleh kita dapati dalam Hasyiah al-Qalyubi adalah terdapatnya diskusi fiqh atas beberapa argumentasi pendapat masing masing. Hanya saja kebanyakan pendapat-pendapat tersebut tidak disandarkan kepada para pemiliknya. Dan hal ini, ternyata memang disengajakan oleh penulis dengan tujuan mempermudah dan mempersingkat isi hasyiah.

Sedangkan apa yang ditulis oleh ‘Umairah dalam hasyiahnya,  isi kandungannya relatif lebih singkat dan hanya mengomentari perkara-perkara  yang dianggap perlu saja. Maka dari sisi penjelasan yang konfrehensif, Qalyubi boleh dikatakan lebih unggul. Hal ini boleh difahami mengingat masa hidup Amirah yang lebih dahulu daripada al-Qalyubi. Di mana, pada zaman Amirah jumlah hasyiah atas kitab-kitab syafi’i tentu saja belum sebanyak zaman al-Qalyubi. Sehingga al-Qalyubi lebih memiliki banyak bahan untuk dikaji daripada ‘Umairah. Bahkan sangat mungkin sekali hasyiah ‘Umairah adalah salah satu bahan kajiannya al-Qalyubi.


Antara kedua-dua Penulis

Dari sumber-sumber yang terbaca, meski mereka berdua adalah termasuk fuqaha Syafi’iyyah dari Mesir, - hanya perbezaan  wilayah (‘Umairah berasal dari al-Burullus, sedangkan al-Qalyubi dari wilayah Qalyub) – namun, tidak ada satupun maklumat yang menyebutkan bahawa mereka berdua pernah bertemu, baik sebagai guru murid, atau teman seperjuangan dalam menuntut ilmu.

Sebagai ulama yang sama-sama faqih, mereka berdua sama-sama memiliki warisan intelektual dalam bidang fiqih dan ushul fiqih. Lagi-lagi mereka memiliki sebuah kesamaan. Rata-rata karya mereka adalah sama-sama berbentuk hasyiyah baik dalam fiqih maupun ushul fiqih.

Mengingatkan selisih antara tahun wafat mereka berdua memang cukup jauh zamannya. iaitu sekitar satu abad dua belas tahun. Maka tidak mungkin, disimpulkan bahawa penyatuan kedua hasyiah tersebut adalah atas kesepakatan kedua-dua penulisnya.

Menurut pendapat para ulama tentang kedua-dua tokoh ini,  ‘Umairah mendapat kedudukan tinggi dan unggul sebagai ulama rujukan dalam mazhab Syafi’i berbanding al-Qalyubi. Dalam banyak kesaksian para fuqaha Syafi’iyyah -meski sama-sama faqih- ‘Umairah memiliki posisi penting dalam legaliti fatwa-fatwa ulama Syafi’iyyah berbanding al-Qalyubi.

al-Zirikli misalnya, dengan mengutip pendapat Najmuddin al-Ghazzi mengatakan bahawa pada fiqh ‘Umairah lah kepemimpinan tahqiq mazhab Syafi’i bermuara. Selain itu, ketika menyebutkan para fuqaha mu’tabar yang fiqihnya dijadikan sandaran berfatwa, para ulama menyebutkan nama ‘Umairah dan para pemilik syarah dan hasyiah yang lain tanpa menyebutkan Qalyubi. Padahal Hasyiyah al-Qalyubi selalu hidup bersama berdua dengan Hasyiyah  ‘Umairah.

Antara ulama yang menyatakan demikian misalnya Syaikh Alawi ibn Ahmad al-Sagaf (w. 1335 H) dalam al-Fawaid al- Makkiyah dan juga Syaikh Muhammad ibn Sulaiman Al Kurdi (w.1194 H) dalam al-Fawaid al-Madaniyah.  Perkara ini jiga diikuti kemudiannya  oleh Syaikh Dr. Ali Jum’ah dalam salah satu pembahasan dalam kitabnya tentang mazhab.

Barangkali dari paparan di atas, boleh ditarik kesimpulan bahawa Hasyiah al-Qalyubi memiliki keunggulan dalam kelengkapannya menjelaskan Kanz Ar Raghibin dari banyak sisi dan juga memiliki rujukan  yang jauh lebih kaya, bahkan boleh jadi Hasyiah ‘Umairah adalah salah satu rujukannya.

Sedangkan Hasyiyah’ Umairah memiliki keunggulan dari sisi penulisnya yang termasuk dalam jajaran fuqaha mu’tabar sebagai rujukan fatwa dalam lingkungan mazhab Syafi’i ketika para ulama tidak menemukan jawapan atas suatu persoalan dari para fuqaha sebelum masa ‘Umairah.

Kemungkinan besar, masing-masing keunggulan berbeza yang dimiliki oleh kedua hasyiah inilah yang kemudian menjadi latarbelakang disatukannya kedua-dua hasyiah tersebut dalam satu  kitab ketika penerbitannya. Kerana itu, bagi para pembaca harus cermat saat mengutip pernyataan dalam kitab tersebut. Pembaca harus memastikan milik siapa pernyataan tersebut, apakah tulisan ‘Umairah ataukah tulisan al-Qalyubi. Agar nantinya tidak terjatuh dalam kesalahan penyandaran sebuah pernyataan.

Catatan di atas diubah suai dari sumber  berikut:   http://www.rumahfiqih.com/maktabah/x.php?id=98&=hasyiyah-qolyubi-wa-. Sila layari pautan asal untuk mendapat maklumat yang lebih.


Semoga bermanfaat.