Friday, May 16, 2014

AL-ISTI'AB FI MA'RIFAH AL-ASHHAB (الإستيعا ب في معرفة الأصحاب)



Kitab al-Isti’ab fi Ma'rifat al-Ashhab (الإستيعا ب في معرفة الأصحاب) ini disusun oleh Abu ‘Umar Yusuf bin ‘Abdullah bin Muhammad bin ‘Abd al-Barr al-Andalusi (w. 463H).

Kitab ini mengandungi lebih kurang 3,500 biografi para sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. Ia juga merupakan sebuah kitab terbaik dalam lapangan biografi para sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam, jika tidak disebutkan perselisihan di kalangan para sahabat serta mementingkan penjagaan dari aspek periwayatan sesetengah orang yang tidak terkenal dan juga cerita-cerita yang tidak diketahui.

Hal ini dijelaskan oleh al-Nawawi apabila dinyatakan tentang kitab biografi ini, jelasnya: “Seandainya ia tidak menyebutkan kisah pertelingkahan para sahabat dan cerita-cerita yang dibawa oleh tukang cerita, pasti ia lebih menarik dan boleh didapati banyak faedah daripada kitab ini”.

Beliau menyatakan sumber ambilan daripada penceritaannya ini dari beberapa buah kitab seperti hasil karya Musa bin ‘Uqbah, Muhammad bin Ishaq, al-Waqidi, Khalifah bin Khayyath, al-Zubair bin Bakkar, kitab Tarikh al-Kabir oleh al-Bukhari, Tarikh ibn Khaitsamah, Zail al-Muzil oleh al-Thabari, al-Maulid wa al-Wafat oleh al-Dulabi, kitab al-Ahad oleh Ibn al-Jarud, al-Tasanif karya Ibn Abi Hatim al-Razi, karya al-‘Uqaili dan juga al-Baghawi mengenai para sahabat radhiyallahu ‘anhum.

Namun, penulisan di dalam lapangan ini lebih sistematik yang dipergunakan dengan sebaiknya oleh penulis di dalam kitab ini sebagaimana berikut:

1.       Hanya mengandungi biografi sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam.

2.   Beliau turut menyebutkan sahabat yang pasti dan sahih bertemu dengan Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. Malah beliau juga turut menyebutkan di kalangan para sahabat yang bertemu dengan Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam walaupun hanya sekali.

3.      Diterangkan juga mengenai keturunan (nasab) para sahabat serta peristiwa yang disaksikan oleh mereka pada zaman Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam.

4.   Kadangkala dia turut menceritakan beberapa hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh periwayat tersebut serta mereka iaitu anak-anak muridnya yang meriwayatkan hadis tersebut daripadanya secara langsung.

5.   Penyusunan dan penulisan nama perawinya berdasarkan susunan huruf Hija`iyyah (huruf Mu’jam) dan dalam rangkaian penulisannya pun tidak terlalu memperhatikan susunan huruf keduanya, hanya melihat huruf awal dari nama perawi saja, seperti berikut:
a)     Menyebutkan perawi dari kalangan Sahabat.
b)     Menyebutkan perawi Sahabat yang lebih dikenal dengan nama Kuniyahnya seperti Abu al-Darda`, Abu Hurairah, Abu Salamah dll.
c)      Menyebutkan nama dari kalangan Sahabiyat.
d)   Menyebutkan perawi sahabat wanita yang lebih dikenal dengan Kuniyahnya seperti Umm Sulaim, Umm Salamah dll.

Unsur-unsur yang terdapat dalam penyusunannya antara lain adalah dengan menerangkan tentang biografi dan sejarah ringkas kesahabatannya dengan Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Kitab ini telah dicetak dengan pelbagai cetakan dan penerbitan, tetapi antara cetakan terbaik yang diberitahu oleh guru saya iaitu Dr. Abu Yasir Hasan al-Alamie ialah cetakan yang ditahqiq (disemak terlebih dahulu) oleh Syeikh Muhammad al-Bijawi.

Moga kita beroleh sedikit pengetahuan dari hal ini…

Artikel ini diambil dari pautan AL-ISTI'AB FI MA'RIFAH AL-ASHHAB

Monday, May 12, 2014

Hasyiah al-Syarqawi 'ala Syarh al-Tahrir


Kitab " Hasyiah al-Syarqawi 'ala Syarh al-Tahrir " (حاشية الشرقاوي على شرح التحرير ) adalah antara karya fiqh yang terkenal menjadi rujukan para  ulama al-Syafi’iyyah yang mutakhirin. Kitab ini ditulis oleh Syaikh al-‘Allamah ‘Abdullah bin Hijazi bin Ibrahim al-Syarqawi (1150-1226H).

Kitab kitab merupakan hasyiah (komentar) terhadap kitab Tuhfah al-Thullab bi Syarh Tahrir Tanqih al-Lubab (تحفة الطلاب بشرح تحرير تنقيح اللباب), iaitu sebuah kitab karya Syaikhul Islam Abu Yahya Zakariya al-Anshari (823-926H). Kitab Tuhfah al-Thullab atau lebih dikenali sebagai kitab Syarh al-Tahrir ini disusun oleh Syaikhul Islam al-Anshari sebagai huraian (syarah) bagi kitab beliau sendiri yang berjudul Tahrir Tanqih al-Lubab (تحرير تنقيح اللباب). 

Sebenarnya, Syaikhul Islam al-Anshari menyusun kitab al-Tahrir sebagai ringkasan terhadap sebuah kitab mukhtashar (ringkasan) di bidang fiqh Syafi’i yang lain, iaitu kitab Tanqih al-Lubab (تنقيح اللباب) karya Waliyuddin Abu Zur’ah Ahmad bin al-Hafizh Abdul Rahim al-‘Iraqi (762-826H). Manakala kitab Tanqih al-Lubab pula adalah ringkasan terhadap kitab al-Lubab fi al-Fiqh al-Syafi’i (اللباب في الفققه الشافعي), iaitu sebuah karya Imam Abu al-Hasan Ahmad bin Muhammad al-Mahamili al-Syafi’i (368-415H).

Kitab ini telah dicetak berulang kali dan edisi yang terbaik adalah cetakan Dar al-Kutub al-‘Illmiyyah di Beirut. Cetakan pertamanya tahun 1418H/1997M yang dilengkapi dengan komentar oleh Syaikh Mustafa bin Hanafi al-Zahabi dengan ketebalan 4 jilid.

Kitab Hasyiah al-Syarqawi ‘ala Syarh al-Tahrir ini boleh dimuat turun di pautan berikut;


Kitab versi ebook (file pdf) ini merupakan salinan kepada kitab Hasyiah al-Syarqawi yang dicetak di al-Mathba’ah al-Amiriyah pada cetak ketiganya.  Semoga bermanfaat.

Saturday, May 10, 2014

Mukhtashar Kitab al-Umm Fi al-Fiqh (مختصر كتاب الأم في الفقه )


Mukhtashar Kitab al-Umm Fi al-Fiqh (مختصر كتاب الأم في الفقه) adalah sebuah kitab yang disusun kembali sebagai ringkasan kandungan asal kitab al-Umm, iaitu sebuah kitab fiqh yang menjadi induk rujukan bagi mazhab al-Syafi’i.  Kitab al-Umm merupakan karya fiqh terunggul al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i (150-204H). Manakala ringkasan kitab ini (Mukhtashar Kitab al-Umm) pula diusahakan oleh seorang ulama fiqh terkenal dari Universiti al-Azhar, Mesir, iaitu Syaikh Husain ‘Abdul Hamid Abu Nashir Nail.

Di samping membuat ringkasan isi kandungan kitab al-Umm, penyusun kitab ini juga telah membuat beberapa penelitian (tahqiq) terhadap isi kandungan dan nas-nas (al-Quran dan Hadis) yang terdapat dalam kitab ini - yang disertakan dalam catatan kakinya.

Sebagaimana kitab asalnya, kitab ini juga memuatkan pendapat dan fatwa-fatwa Imam al-Syafi’i dalam  skop kajian fiqh dan usul fiqh. Kitab ini dimulai dengan ringkasan biografi Imam al-Syafi’i dan diikuti dengan tajuk-tajuk perbahasan masalah fiqh sebagaimana dalam kitab asalnya, iaitu; perbahasan bersuci (thaharah), ibadat solat, zakat, puasa, iktikaf, haji, qurban, perburuan dan penyembelihan, nazar, pemerdekaan hamba dan sebagainya. Setiap permasalahan dibincangkan secara terperinci dalam bab-bab yang tersendiri.

Kaedah pembahasan dalam kitab ini banyak dilakukan dengan pola dialogis (soal-jawab) yang menunjukkan bahawa Imam al-Syafi'i seorang pendebat yang ulung. Barangsiapa membacanya nescaya ia akan menyaksikan kekuatan hujjah Imam al-Syafi'i dan ketajaman argumentasi berdasarkan al-Kitab dan al-Sunnah.                       

Mukhtashar Kitab al-Umm ini telah diterbitkan oleh Dar al-Arqam bin Abi al-Arqam, Beirut –Lubnan, dalam 4 juzuk yang dihimpunkan dalam sebuah buku setebal 807 halaman. Kitab ini dalam versi ebook (file pdf) boleh dimuat turun di pautan berikut;

Terjemahan kitab ini…

Kitab ini ada diterjemahkan dalam bahasa Melayu / Indonesia dan diterbitkan oleh beberapa buah syarikat penerbitan, antaranya;


a)     Ringkasan Kitab al-Umm: diterbitkan oleh Pustaka Azzam, Indonesia – dalam 3 jilid.



b)  Mukhtashar Kitab al-Umm: diterbitkan oleh Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru – dalam 2 jilid.

Semoga bermanfaat.

Monday, May 5, 2014

Kitab al-Tahqiq (التحقيق)


Kitab al-Tahqiq (التحقيق) adalah sebuah kitab fiqh yang menjadi rujukan utama di kalangan ulama mazhab al-Syafi’i. Kitab ini merupakan antara kitab fiqh karya al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H).

Menurut pendapat ulama mazhab al-Syafi’i, kitab al-Tahqiq dikategorikan sebagai kitab fiqh yang berkedudukan yang paling tinggi di antara kitab-kitab karya al-Nawawi. Jika terdapat perbezaan pendapat Imam al-Nawawi dalam sesuatu permasalahan hukum yang terdapat kitab-kitab karyanya, maka yang didahulukan adalah pendapat beliau yang terdapat dalam kitab al-Tahqiq.

Menurut al-‘Allamah al-Kurdi, sebagaimana yang disebutkan dalam kitab al-Maslak al-‘Adl  dan kitab al-Fawaid al-Madaniyyah;

Jika terdapat perbezaan pendapat al-Nawawi  dalam beberapa kitabnya, maka pendapat yang muktamad ialah yang terdapat dalam kitab al-Tahqiq”.

Kemudian al-Kurdi menyenaraikan kitab-kitab karya al-Nawawi yang menjadi rujukan mazhab mengikut susunan keutamaannya, iaitu;    

         a)     al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab,
         b)     al-Rawdhah al-Thalibin,
         c)      Minhaj al-Thalibin,
         d)     al-Fatawa
         e)     Syarh Muslim
         f)       Tashhih al-Tanbih.

Menurut al-Nawawi, beliau menyusun kitab al-Tahqiq ini sebagai sebuah ringkasan bagi menghimpunkan perbincangan mengenai permasalahan fiqh terdapat dalam kitab-kitab mazhab al-Syafi’i, sama ada dari kitab-kitab aliran Qadim ataupun Jadid.

Di antara kitab-kitab yang menjadi rujukan al-Nawawi ketika menyusun kitab al-Tahqiq ialah;

        a)     Al-Imla’
        b)     Al-Umm
        c)      Al-Bahr al-Muhith
        d)     ‘Uyun al-Masail
        e)     Al-Risalah
        f)       Al-Jami’ al-Kabir
        g)     Mukhtashar al-Buwaithi
        h)     Mukhtashar al-Muzani

Selain kitab-kitab fiqh, beliau juga ada merujuk kepada kitab-kitab hadis, syarah hadis, ushul, kitab mengenai thabaqat dan kitab-kitab lain yang ada membincangkan permaslahan fiqh di dalamnya secara tidak langsung seperti kitab tafsir dan sebagainya.

Untuk membaca kitab ini, pembaca boleh men-download-kannya di pautan;

https://archive.org/download/tahqeeq_nawawee/tahqeeq_nawawee.pdf .  Kitab versi file PDF ini adalah berasal dari kitab al-Tahqiq yang diterbitkan Dar al-Jail, Beirut, dalam satu jilid - dengan cetakan pertamanya pada tahun 1992. Kitab ini ditahqiq oleh Syaikh ‘Adil ‘Abdul Mawjud dan Syaikh ‘Ali Mu’awwidh.  Semoga bermanfaat.

SIRAJ AL-THALIBIN SYARH 'ALA MINHAJ AL-'ABIDIN


Kitab Siraj al-Thalibin Syarh ‘ala Minhaj al-‘Abidin Ila Jannat Rabb al-‘Alamin (سراج الطالبين شرح على منهاج العابدين إلى جنة رب العالمين) merupakan sebuah karya tasawuf yang terkenal di kalangan penuntut ilmu agama di pondok-pondok  pesantren di Nusantara. Kitab yang disusun dan diolah dengan baik dalam bahasa Arab ini adalah sebuah karya bermutu seorang ulama dari Indonesia, iaitu al-‘Alim al-‘Allamah Syaikh Ihsan Dahlan bin al-Marhum Muhammad Dahlan al-Jampesi al-Kadiri (1901-1952M). Kitab ini merupakan syarah kepda kitab “ Minhaj al-Abidin ” karya Hujjatul Islam al-Imam Abu Hamid al-Ghazali (505H), seorang ulama dan filasuf besar pada abad pertengahan.

Kitab Siraj al-Thalibin ini disusun pada tahun 1933 dan diterbitkan pertama kali pada 1936 oleh penerbitan dan percetakan al-Banhaniyah milik Salim bersaudara (Syeikh Salim bin Sa’ad dan saudaranya Achmad) di Surabaya yang bekerja sama dengan sebuah syarikat percetakan besar yang terkenal banyak menerbitkan buku-buku ilmu agama Islam karya ulama besar abad pertengahan di Kaherah, Mesir, iaitu Mathba’ah Mustafa al-Baby Halabi.

Kitab Siraj al-Thalibin terdiri daripada dua juz (jilid). Juz pertama berisi 419 halaman dan juz kedua 400 halaman. Dalam periode berikutnya, kitab tersebut dicetak pula oleh Darul Fikr–sebuah percetakan dan penerbit di Beirut, Lebanon. Dalam cetakan Lebanon, setiap juz dibuat satu jilid. Jilid pertama berisi 544 halaman dan jilid kedua 554 halaman.

Kitab ini mendapatkan pujian luas dari kalangan ulama di Timur Tengah. Oleh itu, tidak menghairankan jika kitab ini dijadikan buku wajib untuk kajian pasca sarjana Universiti al-Azhar, Mesir.

Kitab Siraj al-Thalibin bukan sahaja beredar di Indonesia dan negara-negara yang penduduknya majoriti beragama Islam, tetapi juga di negara-negara bukan Islam, seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia. Di mana terdapat jurusan filsafat, teosofi, dan Islamologi di pusat pengajian tinggi di negara tersebut yang menjadikan kitab Siraj al-Thalibin ini sebagai rujukan dalam kajian mereka.

Gambaran Umum kandungan Kitab Sirâj al-Thâlibîn

Sebagaimana sudah diketahui oleh masyarakat umum bahwa kitab ini merupakan sebuah kitab yang bergenre tasawwuf. Sebuah disiplin ilmu yang mempelajari tentang etika zahir dan batin diri manusia. Sebagai karya yang merupakan huraian dari kitab Minhaj al-‘Abidin, karya al-Ghazali, tentunya penulisannya mengikuti dan menyesuaikan dengan gaya dan sistematik dari kitab asalnya.

Dalam mukaddimahnya, Syeikh Ihsan Dahlan mengatakan bahawa apa yang beliau tulis dalam kitab Sirâj al-Thâlibin adalah hanya kumpulan pendapat-pendapat ulama, beliau tidak melakukan apapun kecuali hanya sekadar menukil kembali apa yang ditulis oleh para ulama terdahulu dalam kitab-kitab mereka. Hemat penulis, hal itu tidak lain merupakan bentuk ‘andap-asor’ (tawadhu’) dari Syeikh Ihsan Dahlan sendiri, kerana di dalam kitab tersebut Syeikh Ihsan Dahlan tidak hanya menukil pendapat-pendapat orang lain, bahkan juga mengelaborasi dan mengkontekstualisasikan terma-terma tasawuf ke dalam eranya.

Sebagai contohnya, Syeikh Ihsan Dahlan sampai menyimpulkan bahawa zuhud pada zaman ini tidak hanya dilakukan dengan meninggalkan dunia secara total. Biasanya zuhud diartikan sebagai meninggalkan urusan duniawi atau menghindari harta benda. Syeikh Ihsan Dahlan mengajarkan bahawa orang yang zuhud sebenarnya adalah mereka yang dikejar harta, namun tak merasa memiliki harta itu sama sekali.  Jadi zuhud adalah meninggalkan urusan  duniawi, tapi tidak menolak kekayaan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Dengan kekayaan yang ada, digunakannya di jalan yang terbaik dalam menafkahkan hartanya itu. Inilah ajaran kitab Siraj al-Thalibin. Bahkan Kiai Ihsan Dahlan sendiri adalah orang yang kaya raya. Satu lagi pelajaran dari kitab Siraj al-Thalibin adalah soal syukur, atau berterimakasih atas semua kurniaan  dari Allah SWT. Kata Syeikh Ihsan Dahlab dalam juz dua kitab Siraj al-Thalibin, doa yang paling tinggi adalah kalimat al-Hamdulillah (segala puji bagi Allah).

Polemik Mengenai Keabsahan kitab Siraj al-Thalibin sebagai karya Syaikh Ihsan Dahlan;

Pada dasarnya tidaklah tepat untuk mengatakan bahawa kitab Sirâj al-Thâlibîn mengalami kekeliruan identiti sebenar pengarangnya, kerana pada mulanya kitab ini sudah disepakati  bahawa kitab ini adalah karya dari Syeikh Ihsân Dahlân. Hanya saja pada awal tahun 2009 sebuah penerbit terkemuka di Beirut Libanon, iaitu Dâr al-Kutub al-Ilmiyyah, menerbitkan kitab ini dengan nama penulis lain, yakni Syeikh Zainî Dahlân. Hal ini diperparah dengan dibuangnya Taqârîdz (semacam kata pengantar) yang ditulis oleh Syeikh Hasyim Asy’arî. 

Beberapa pihak menduga bahwa kekeliruan ini sengaja dilakukan oleh penerbit tersebut demi merais sambutan pembaca di pasaran. Karena di Timur Tengah nama Syeikh Ihsan Dahlan kurang popular dibangdingkan dengan Syeikh Zaini Dahlan. Kemudian masalah ini ditindak lanjuti oleh PBNU dengan meminta klarifikasi kepada penerbit tersebut serta memintanya untuk mengganti nama penulisnya dengan nama Syeikh Ihsân Dahlân kembali.

Di samping itu, ada beberapa data yang mengokohkan dan mengukuhkan bahwa Sirâj al-Thâlibin adalah benar-benar karya Syeikh Ihsân Dahlân.  Pertama, dalam muqaddimah kitab tersebut ditulis ungkapan:

“ Seorang hamba yang mengharap ampunan Tuhannya, yang membutuhkan rahmat-Nya; Ihsân bin al-Marhûm Muhammad Dahlân al-Jampesi al-Kadiri –semoga Allah memperbaiki keadaan dan tingkah lakunya dan menutupi aibnya di dunia dan akhirat- berkata; kitab ini (sirâj al-Thâlibîn) adalah penjabaran yang singkat nan agung atas sebuah kitab yang berjudul Minhâj al-‘Âbidîn karya Seorang imam yang enerjik dan menjadi panutan semua golongan baik orang khâs maupun orang awam. Seseorang yang digelari Hujjat al-Islâm dan memberkahi umat manusia. Ulama yang kesempurnaannya terdengar di telinga semua orang. Reputasi karyanya berada di posisi yang sangat tinggi serta membuat para ulama-ulama lainnya menundukkan wajahnya karena kekaguman mereka atas karyanya. Ulama itu bernama Syeikh Abû Hâmid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad al-Ghazâlî –semoga Allah menyirami kuburannya dengan ampunan yang selalu mengalir-. Aku –Syeikh Ihsan- menulis kitab ini dengan tujuan untuk mengingatkan diriku sendiri juga untuk mengingatkan orang-orang yang lemah sepertiku. Aku namakan kitab ini dengan judul, “Sirâj al-Thâlibîn ‘Alâ Minhâj al-‘Âbidîn Ilâ Jannat Rabb al-Âlamîn.”

Data tersebut dipertegas dalam penutupan kitabnya dengan mengungkapkan;

Akhirnya penulisan ini -dengan segala kesibukan penulis- telah selesai dalam jangka waktu sekitar delapan bulan. Pada waktu siang hari selasa dan bertepatan dengan tanggal 27 Sya’ban 1351 Hijriah. Penulisan ini dirampungkan di rumahku, daerah Jampes Kediri, salah satu kota di pulau Jawa.”

Sebagaimana penulis sebutkan di atas, pada cetakan-cetakan selain yang diterbitkan oleh Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Kitab ini diberikan Taqâridz (kata pengantar) oleh sejumlah ulama Indonesia. Hal ini bisa dilihat pada akhir jilid kedua dari kitab Sirâj al-Thâlibîn. Taqâridz ini juga mengukuhkan penisbatan kitab ini kepada Syeikh Ihsan, sebagaimana yang disampaikan oleh Kiai Hasyim Asy’ari;

Lembah ilmu-ilmu di sepanjang masa selalu mengalir deras. Taman-taman disiplin ilmu akan selalu berbuah dan daunnya akan selalu hijau. Duhai Allah, ilmu-ilmu itu adalah perhiasan yang amat mulia dan amat  menguntungkan. Mengangkat derajat pemiliknya kepada derajat yang tinggi. Pengkaji yang menyibukkan dengan ilmu akan memperoleh manfaat. Sementara ilmu yang paling tinggi nilainya dan paling baik penyebutannya adalah ilmu tasawuf, ilmu yang dapat menjernihkan hati dan watak. Ilmu yang merupakan pokok atau dasarnya ilmu, sementara ilmu lainnya adalah cabang. Karena ilmu ini berkaitan dengan keberadaan Tuhan, jalan menempuh kebahagiaan, dan kebagaiaan yang kekal. Dan salah satu kitab terbaik dalam bidang ini (tasawuf) dan yang dapat memberikan “pemahaman” kepada orang-orang yang berakal. Sebuah kitab yang dinamakan dengan “Sirâj al-Thâlibîn ‘Alâ Minhâj al-Âbidîn Ilâ Jannat Rabb al-‘Âlamîn” karya seorang Âlim dan Allâmat, seorang yang cerdas dan memiliki wawasan yang luas, yakni Syeikh Ihsan bin al-Marhum Muhammad Dahlan al-Jampesi al-Kadiri.”

Di samping kata pengantar yang diberikan oleh KH. Hasyim Asy’ari, ada komentar sekaligus pujian lain yang diberikan kepada Syeikh Ihsan dengan karyanya ini. Pujian tersebut datang dari seorang ulama asal Nganjuk Jawa Timur, KH. Abdurrahman bin Abdul Karim al-Sukri. Pujian lainnya juga datang dari ulama Kediri yang bernama Muhammad Yunus bin Abdullah. Ulama yang disebut terakhir ini berkata dalam kata pengantarnya:

Aku telah membaca sebagian isi dari naskah kitab ini, sebuah naskah yang merupakan penjabaran (atas karya al-Ghazali) yang sangat menawan. Aku menyambut gembira (atas naskah ini), kegembiraan yang dapat memberikan petunjuk atas kajian ini (tasawuf). Semoga Allah membalas kebaikan penulis kitab ini dan ulama-ulama semisalnya dengan sebaik-baiknya balasan.”

Kitab ini juga telah mendapat sanjungan dari beberapa ulama Jawa terkemuka lainnya, sebut saja Syeikh Khazin Bendo Pare (Paman sekaligus gurunya saat beliau menimba ilmu di Pondok Pesantren Bendo). Syeikh Muhammad Ma’ruf Kedunglo, Kediri, dan KH. Abdul Karim, Lirboyo Kediri.

Dari paparan dan data-data yang penulis peroleh, bisa penulis simpulkan bahwa karya ini (Sirâj al-Thâlibîn) adalah karya Syeikh Ihsan Dahlan bukan karya dari Syeikh Zaini Dahlan sebagaimana cetakan yang diterbitkan oleh Dâr al-Kutub al-Ilmiyyah.

Artikel di atas merupakan petikan dengan beberapa suntingan dari pautan berikut; http://idrismuhammad.blogspot.com/2011/04/membedah-siraj-al-thalibin-karya-syeikh.html . Bagi membaca artikel asal yang berserta dengan nota rujukannya, sila layari pautan di atas. Semoga bermanfaat.