Monday, April 7, 2014

Bahjah al-Wasail bi Syarh Masail (بهجة الوسائل بشرح مسائل)


Kitab Bahjatul Wasail bi Syarh al-Masail (بهجة الوسائل بشرح مسائل ) merupakan sebuah karya ulama terkenal Nusantara, iaitu al-Syaikh al-‘Allamah Abu Abdul Mu’thi Muhammad Nawawi bin ‘Umar bin ‘Arabi al-Bantani al-Jawi al-Syafi’i al-Qadiri (1230-1314H / 1815- 1897 ). Kitab ini merupakan huraian (syarah) bagi kitab Masail [1] (مسائل ) atau judul lainnya al-Risalah al-Jami’ah Bayna Ushuluddin wa al-Fiqh wa al-Tashawwuf [2]  (الرسالة الجامعة بين اصول الدين والفقة والتصوف) karya al-Sayyid Ahmad bin Zain bin ‘Alawi bin Ahmad al-Habsyi (1069-1145H). 


al-Sayid Ahmad bin Zain al-Habsyi, penyusun kitab al-Risalah al-Jami’ah, iaitu matan asal kitab  Bahjah al-Wasail di atas menerangkan sumber penulisan kitabnya dalam pendahuluan kitabnya;


فَهَذِهِ مَسَائِلُ مُخْتَصَرَةٌ مِنْ بَعْضِ كُتُبِ حُجَّةِ الإسْلاَمِ الْغَزَالِيِّ غَالِبَاً. مَنْ عَرَفَهَا وَعَمِلَ ِهَا نَرْجُو لَهُ مِنَ الله أنْ يَكُوْنَ مِنْ أهْلِ الْعِلْمِ ظَاهِرَاً وَبَاطِنَاً

“ Maka ini adalah beberapa permasalahan yang diringkaskan dari sebahagian kitab-kitab karya Hujjatul Islam al-Ghazali. Sesiapa yang mengetahui dan mengamalkannya, kami memohonkan pengharapan daripada Allah untuknya agar menjadi seorang ahli imu yang zahir dan batin ”.

Manakala al-Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani pula menerangkan sebab yang mendorong beliau menyusun kitabnya bagi menghuraikan kandungan kitab Masail tersebut;

هذا شرح علي الرسالة الجامعة بين اصول الدين والفقة والتصوف للسيد أحمد بن زين الحبشى. سألني فيه بعض

الأحبة فأجبته لذالك طالبا من الله إخلاص الطوية. وسميته بهجة الوسائل بشرح مسائل.

“ Ini sebuah syarah (huraian) bagi kitab al-Risalah al-Jami’ah Bayna Ushuluddin wa al-Fiqh wa al-Tashawwuf   karya al-Sayyid Ahmad bin Zain al-Habsyi. Telah meminta sebahagian dari orang yang dikasihi (di kalangan murid-murid dan sahabat) agar menyusun kitab sebagai huraian isi kandungannya. Maka aku memperkenankan permintaan tersebut dengan ikhlas mengharapkan keredaan Allah.......dan aku namakan kitab ini dengan بهجة الوسائل بشرح مسائل.”

Kandungan kitab ini.

Sebagaimana judulnya, kitab ini mengandungi penjelasan mengenai tiga bidang ilmu utama dalam Islam, iaitu: Usuluddin, Fiqah dan Tasawuf. Perbincangan dalam kitab ini menyentuh dasar-dasar keimanan, rukun Islam, ibadah yang meliputi shalat, puasa, zakat, haji dan mengenai akhlak – tasawuf meliputi memelihara hati dan anggota tubuh, yang disertai nas al-Qur’an dan al-Hadits.

Mempelajari dan mengamalkan kandungan buku kecil ini insya Allah dapat meningkatkan kesempurnaan iman, Islam dan ihsan hingga mencapai tingkat muttaqin. Perlu diketahui, tiga bidang ilmu itu merupakan satu kesatuan yang harus dijiwai setiap muslim dalam kehidupan sehari-hari. Sehingga ucapan, perbuatan, gerak-geri, dan tingkah laku kita dalam kehidupan benar-benar bernafaskan ruh Islam. Sebab ada keterangan yang menyatakan: “Siapa mengamalkan fiqih tanpa tasawuf, maka dia zindiq, dan siapa yang bertasawuf disertai fiqih maka benarlah dia.

Terjemahan kitab ini..

Kitab Bahjah al-Wasail ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia oleh beberapa penerbit. Saya sendiri belum memiliki dan membaca kitab terjemahannya. Berdasarkan pencarian di laman maya saya jumpai beberapa kedai buku yang menjual buku asal dan terjemahannya  secara online. Namun semua kedai tersebut dari Indonesia. Sekadar perkongsian maklumat berikut antara kedai yang boleh dilayari http://www.kiosislami.com/485,terjemah-kitab-bahjatul-wasail-syarah-kitab-masail-%E2%80%93-syekh-nawawi-al-bantani-al-jawi.html

Jika pembaca mengetahui kedai buku di Malaysia menjual kitab ini, boleh dikongsikan maklumatnya diblog ini.

Kitab dalam edisi Arabnya boleh dibaca di pautan

Semoga bermanfaat.




[1] Judul Wasail ini diambil dari ungkapan penyusun asalnya dalam muqaddimahnya: هَذِهِ مَسَائِلُ مُخْتَصَرَةٌ (Ini merupakan beberapa permasalahan yang diringkaskan)

[2] Judul ini ada dicatatkan di bahagian kulit hadapan kitab Bahjah al-Wasail dan dalam muqaddimahnya.

No comments:

Post a Comment