Tuesday, January 28, 2014

Hujjatullah al-Balighah


Kitab Hujjatullah al-Balighah  (حجة الله البالغة)  merupakan antara karya agung al-‘Allamah al-Imam al-Kabir Syaikh Qutubuddin Ahmad bin Abdur Rahim al-Dihlawi atau lebih dikenali dengan gelaran Syah Waliyullah al-Dihlawi (1702-1762).  

Beliau adalah tokoh ulama’ yang terkenal sebagai failosof, pujangga, sufi, muhaddis, mufassir dan faqih. Digelar juga sebagai seorang mujaddid ( reformis atau pembawa pembaharuan ) oleh Syeikh Rashid Ridha. 

Beliau lahirnya pada 21 Febuari 1702M, bersamaan, 4hb.Syawal 1114H di sebuah kampung kecil bernama Pulth, di daerah Muzaffaragh, dekat Delhi-India – iaitu 4 tahun sebelum kematian Sultan Aurangzeb. Salasilah keturunannya di sebelah ayahnya sampai kepada Sayyidina Umar al-Faruq dan di sebelah ibunya sampai kepada Imam Musa  Khazim r.a

Shah Waliyullah telah menghasilkan karya ilmiahnya melebihi 50 buah kitab. Di antara yang terkenal dan menjadi kerap menjadi rujukan para ulama ialah kitab Hujjatullah al-Balighah, Fathul Rahman fi Tarjamatil Quran, al Fauzul al-Kabir, Syarh Tarajim Abwab Bukhari, Aqd al-Jid, Tafhimat Ilahiyyat, al-Qaul al-Jamil, al-Musaffa Syarh Muwatta`, Syifa al-Qulub, dan al-Luma’at.

Di antara semua itu, kitab Hujjatullah al-Balighah telah memuncakkan nama Shah Waliyullah di persada antarabangsa. Oleh kerana itu banyak usaha dilakukan ke atas kitab Hujjatullah al-Balighah ini oleh berbagai lapisan ulama dan ahli akedemi untuk mengenengahkan pemikiran Shah Waliyullah melalui kitab tersebut.

Ulama-ulama di Benua Kecil India juga turut memainkan peranan mereka dan boleh dikatakan mereka lebih berhak dalam penyebaran ini berdasarkan faktor geografi, pewarisan ilmu dan pengamalan dari turun temurun semenjak zaman Shah Waliyullah lagi. Dengan sebab itu kitab Shah Waliyullah ini dijadikan sebagai silibus di kebanyakan madrasah India-Pakistan. Tidak kurang juga yang menjadikan bahan bacaan peribadi.  Mereka juga melakukan penterjemahan, peringkasan  dan  pensyarahannya ke dalam bahasa Urdu.


Huraian kitab Hujjatullah al-Balighah…

Sekadar pengetahuan saya, terdapat sebuah kitab yang disusun khusus untuk menghuraikan kandungan kitab Hujjatullah al-Balighah, iaitu kitab yang berjudul Rahmatullah al-Wasi’ah (رحمة الله الواسعة), iaitu sebuah hasil karya al-Syaikh al-Muhaddits Sa’id bin Ahmad al-Balanburi (Palanburi) dalam bahasa Urdu. Ia dicetak dan diterbitkan dalam 5 jilid. Berdasarkan maklumat yang saya perolehi, kitab ini belum lagi diterjemahkan ke dalam bahasa Arab atau bahasa lainnya.




Ringkasan kitab Hujjatullah al-Balighah..

Di antara kitab ringkasan kepada kitab Hujatullah al-Balighah yang terdapat di rak-rak kedai buku di negara India Pakistan ialah kitab Talkhis Hujjatullah al-Balighah. Kitab Talkhis Hujjatul Allah Balighah ini di karang oleh Sayyid Radiyuddin Ahmad Fakhri dalam bahasa Urdu. Ianya adalah ringkasan kepada kitab Hujatullah Balighah. Disediakan sebagai alternatif kepada mereka yang tidak mempunyai masa yang cukup untuk membaca kitab asal Hujatullah juga sebagai khulasah untuk memahami point penting kitab tersebut. Kitab Talkhis ini sangat unik kerana ia merupakan cubaan kali yang ketiga pengarang untuk menghidangkannya kepada pembaca. Manuskrip pertama hilang. Kemudian beliau menulis semula. Setelah siapa manuslkript kedua ini juga hilang. Untuk kali yang ketiga barulah ia berjaya disiapkan semula dan berjaya juga dicetak. Berdasarkan cetakan Darul Isyaat Dehli, kitab ini hanya merangkumi 272 muka surat bersaiz kecil  iaitu 8.50 X 5.50 inci.

Terjemahan kitab ini dalam bahasa Melayu

Kitab Hujjatullah al-Balighah telah diterjemahkan dalam berbagai bahasa dunia. Manakala dalam bahasa Melayu, saya dapati ia ada diterbitkan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Press, di bawah penyelenggaraan Zainuddin Hj. Idris Dan Nik Hassan Nik Abdullah. Buku terjemahan ini diterbitkan dalam dua jilid dengan judul Hujjat Allah al-Balighah: Terjemahan Dan Anotasi.

Berikut dilampirkan ringkasan  isi kandungan buku tersebut berdasarkan jilidnya;

A) Hujjat Allah al-Balighah: Terjemahan Dan Anotasi (Jilid 1)


Bahagian 1. Mengenai Kaedah-Kaedahh Umum yang Dikeluarkan daripada Semua. Kebajikan dalam Hukum-Hukum Syarak. Bahagian ini Mengandungi Tujuh Bahasan dalam Tujun Puluh Bab;

Bahasan 1. Mengenai Sebab Ditaklifkan dan Pembalasan;

Bab 1. Ibda', Khalqi dan Tadbir.
Bah 2. Mengingati Alam Misal
Bab 3. Mengingati Malail Aala
Bab 4. Satu Keterangan Sunah Allah yang Disyaratkan pada Firman Tuhan: "Dan Tidak Akan Kamu Dapati Perubahan pada Sunah Allah". (al-Ahzab: ayat 62)
Bab 5. Hakikat Roh
Bab 6. Rahsia Taklif
Bab 7. Taklif Sebahagian dari Takdir
Bab 8. Taklif Perlu Pembalasan
Bab 9. Manusia Berbeza daripada Segi Jibillah yang Mewajibkan Akhlak dan Amalan Mereka dan Tahap Kesempurnaan Mereka Berlainan
Bab 10. Sebab-Sebab Kebimbangan Hati yang Mendorong kepada Tindakan
Bab 11. Hubungan Erat Amalan dengan Jiwa dan Semua Amalan Dikira ke Atas Jiwa
Bab 12. Hubungan Perbuatan dengan Niat
Bab 13. Sebab-sebab Berlaku Pembalasan

Bahasan 2. Cara Pembalasan Semasa Hidup dan Selepas Mati;

Bab 14. Pembalasan Terhadap Perbuatan di Dunia
Bab 15. Hakikat Mati
Bab 16. Keadaan Manusia Berbeza di Alam Barzah
Bab 17. Rahsia Peristiwa Alam Masyar

Bahasan 3. Tamadun;

Bab 18. Cara Membangunkan Tamadun
Bab 19. Tamadun Peringkat Pertama
Bab 20. Ilmu Peradaban Hidup
Bab 21. Pengurusan Keluarga
Bab 22. Kegiatan Masyarakat
Bab 23. Politik Kemasyarakatan
Bab 24. Cara Raja Memerintah
Bab 25. Para Pembantu Raja
Bab 26. Tamadun Peringkat Keempat
Bab 27. Semua Manusia Sekata dalam Prinsip-prinsip Tamadun
Bab 28. Peranan Resam di Kalangan Manusia

Bahasan 4. Hakikat Kebahagiaan;

Bab 29. Hakikat Kebahagiaan
Bab 30. Kebahagiaan yang Berbeza pada Manusia
Bab 31. Darjah di Kalangan Manusia dalam Cara Mereka Mendapat Kebahagiaan Ini
Bab 32. Prinsip-prinsip untuk Menghasilkan Jalan Kedua
Bab 33. Cara Mendapat Empat Akhlak Ini dan Menyempurnakan yang Kurang dan Mengembalikan yang Hilang
Bab 34. Hijab-hijab yang Menghalang Kelahiran Fitrah
Bab 35. Cara Menghapuskan Hijab-hijab Ini

Bahasan 5. Bahasan Mengenai Kebajikan dan Dosa

Bab 36. Bahasan Mengenai Kebajikan dan Dosa
Bab 37. Penyatuan (Tauhid)
Bab 38. Hakikat Syirik
Bab 39. Bahagian-bahagian Syirik
Bab 40. Beriman dengan Sifat-sifat Allah Taala
Bab 41. Beriman dengan Qadar
Bab 42. Beriman Bahawa Ibadat Adalah Hak Allah Taala ke atas Hamba kerana Dia yang  Memberi Nikmat dan Membalas Mereka dengan Kehendak-Nya
Bab 43. Mengagungkan Syiar-syiar Allah Taala
Bab 44. Rahsia Wuduk dan Mandi
Bab 45. Rahsia Solat
Bab 46. Rahsia Zakat
Bab 47. Rahsia Puasa
Bab 48. Rahsia Haji
Bab 49. Rahsia Pelbagai Kebajikan
Bab 50. Peringkat-peringkat Dosa
Bab 51. Kerosakan-kerosakan dari Dosa
Bab 52. Dosa Seseorang dengan Dirinya
Bab 53 Dosa Antara Seseorang dengan Orang Ramai

Bahasan 6. Bahasan Mengenai Siasah Pertubuhan

Bab 54. Perlunya Penunjuk Jalan dan Penegak Milah
Bab 55. Hakikat Kenabian
Bab 56. Menerangkan bahawa Asal Agama Satu dan Syariat dan Manahij Berlainan
Bab 57. Sebab-sebab Penurunan Syariat-syariat yang Khusus pada Suatu Zaman Bukan pada suatu Zaman dan untuk Suatu Kaum Bukan untuk Suatu Kaum
Bab 58. Sebab-sebab Diambil Tindakan dengan Manahij
Bab 59. Rahsia-rahsia Hukum dan Sebab Perundangan
Bab 60. Semua Kebaikan Memerlukan Fardu, Rukun, Adab dan Seumpama Itu
Bab 61. Rahsia-rahsia Waktu
Bab 62. Rahsia Bilangan dan Ukuran
Bab 63. Rahsia-rahsia Hukum dan Kelonggaran
Bab 64. Membangun Tamadun dan Memperbaiki Resam
Bab 65. Perkaitan di Antara Hukum
Bab 66. Memastikan yang Samar, Membezakan yang Ragu dan Mengeluarkan daripada Kaedah Umum dan Sebagainya
Bab 67. Pemudahan
Bab 68. Rahsia-rahsia Galakan dan Ugutan
Bab 69. Peringkat-peringkat Umat dari Sudut Pencapaian Kesempurnaan yang Dikehendaki atau Sebaliknya
Bab 70. Perlunya Satu Syariat yang Membatalkan Syariat Lain
Bab 71. Mempertahankan Agama daripada Penyelewangan
Bab 72. Sebab Agama Nabi Kita (s.a.w.) Berbeza daripada Agama Yahudi dan Nasrani
Bab 73. Sebab-sebab Pembatalan (Nasakh)
Bab 74. Menerangkan Keadaan Orang Jahiliah yang Diperbaiki oleh Nabi (s.a.w.)

Bahasan 7. Bahasan Mengenai Penghasilan Hukum-hukum daripada Hadis-hadis Nabi (s.a.w.)

Bab 75. Keterangan Mengenai Bahagian-bahagian Ilmu Nabi (s.a.w.)
Bab 76. Perbezaan Antara Pelbagai Kebaikan dan Syariat
Bab 77. Cara Umat Menerima Syariat daripada Nabi (s.a.w.)
Bab 78. Peringkat-peringkat Kitab Hadis
Bab 79. Cara Memahami Maksud Kata-kata
Bab 80. Cara Memahami Maksud Syarak dari al-Quran dan Sunnah
Bab 81. Penyelesaian di Kalangan Hadis yang Bercanggah
Bab 82. Sebab-sebab Perkhilafan Para Sahabat dan Tabiin dalam Masalah Furuk
Bab 83. Sebab-sebab Perkhilafan Mazhab-mazhab Fuqaha
Bab 84. Perbezaan Antara Ahli Hadis dan Ahli Fikiran
Bab 85. Keadaan Manusia Sebelum dan Selepas Empat Ratus Tahun

Bahagian 2. Menerangkan Rahsia Hadis Nabi (s.a.w.) Secara Terperici

Bab 86. Sebahagian dari Bab-bab Iman
Bab 87. Sebahagian dari Bab Berpegang dengan Kitab dan Sunnah Kesucian
Bab 88. Sebahagian dari Bab Mengenai Kesucian
Bab 89. Fasal Mengenai Wuduk
Bab 90. Sifat Wuduk
Bab 91. Perkara-perkara yang Mewajibkan Wuduk
Bab 92. Menyapu di atas Dua Kasut
Bab 93. Sifat-sifat Mandi
Bab 94. Perkara-perkara yang Mewajibkan Mandi
Bab 95. Perkara Harus dan Tidak Harus bagi Orang Berjanabat dan Berhadas
Bab 96. Tayamum
Bab 97. Adab Buang Air
Bab 98. Perkara-perkara Fitrah dan yang Berkaitan dengannya
Bab 99. Hukum-hukum Air
Bab 100. Menyucikan Najis
Bab 101. Sebahagian dari Bab-bab Sembahyang
Bab 102. Keutamaan Sembahyang
Bab 103. Waktu-waktu Sembahyang
Bab 104. Azan
Bab 105. Masjid-masjid
Bab 106. Pakaian Orang Sembahyang
Bab 107. Kiblat



B) Hujjat Allah al-Balighah: Terjemahan Dan Anotasi (Jilid 2)

 

Bahagian 1. Sembahyang;

Bab 1. Pengadang
Bab 2. Perkara-perkara Mesti dalam Sembahyang (Rukun-rukun Sembahyang)
Bab 3. Zikir dan Perbuatan Sunat dalam Sembahyang
Bab 4. Perkara-perkara Tidak Harus dalam Sembahyang. Sujud Sahwi dan Sujud Tilawah
Bab 5. Amalan-amalan Sunat
Bab 6. Kesederhanaan dalam Amalan
Bab 7. Sembahyang Orang dalam Kesulitan
Bab 8. Sembahyang Berjemaah
Bab 9. Sembahyang Jumaat
Bab 10. Hari Aidil Fitri dan Aidil Adha
Bab 11. Jenazah

Bahagian 2. Zakat

Bab 12. Beberapa Perkara Tentang Zakat
Bab 13. Kebaikan Berbelanja dan Makruh Menahan Perbelanjaan
Bab 14. Kadar-kadar Zakat
Bab 15. Penggunaan Zakat
Bab 16. Beberapa Perkara Berkaitan dengan Zakat

Bahagian 3. Puasa

Bab 17. Puasa
Bab 18. Keutamaan Puasa
Bab 19. Hukum-hukum Puasa
Bab 20. Perkara-perkara Berkaitan dengan Puasa

Bahagian 4. Haji

Bab 21 Haji
Bab 22. Sifat-sifat Ibadat Haji
Bab 23. Haji Wida'
Bab 24. Beberapa Perkara Mengenai Haji

Bahagian 5. Ihsan

Bab 25. Ihsan
Bab 26. Zikir
Bab 27. Bahasan Ihsan Selebihnya
Bab 28. Maqamat dan Ahwal

Bahagian 6. Rezeki

Bab 29. Mencari Rezeki
Bab 30. Jual Beli yang Dilarang
Bab 31. Hukum-hukum Berniaga
Bab 32. Kebajikan dan Saling Menolong
Bab 33. Fara'id

Bahagian 7. Rumah Tangga

Bab 34. Pengurusan Keluarga
Bab 35. Aurat
Bab 36. Adab Bergaul dengan Isteri
Bab 37. Hak-hak Suami dan Isteri
Bab 38. Perceraian (Talaq)
Bab 39. Khulu, Zihar,Lian dan Ila'
Bab 40. Tempoh Menunggu (Iddah)
Bab 41. Mendidik Anak dan Orang yang Dimilik
Bab 42. Aqiqah

Bahagian 8. Kenegaraan

Bab 43. Siyasah Negara
Bab 44. Pemerintah
Bab 45. Bentuk-bentuk Kezaliman
Bab 46. Hudud
Bab 47. Kehakiman
Bab 48. Jihad

Bahagian 9. Kehidupan

Bab 49. Kegiatan dalam Kehidupan
Bab 50. Makanan dan Minuman
Bab 51. Adab Makan
Bab 52. Benda-benda yang Memabukkan
Bab 53. Pakaian, Perhiasan, bejana
Bab 54. Adab Bersahabat
Bab 55. Hukum Nazar dan Sumpah

Bahagian 10. Pelbagaian

Bab 56. Riwayat Hidup Nabi (s.a.w.)
Bab 57. Perang Saudara (Fitnah)
Bab 58. Ciri-ciri Akhlak Orang yang Terpuji

Kitab Hujjatullah al-Balighah dalam bahasa Arab boleh didownload di pautan berikut;

Semoga bermanfaat.

Rujukan;

Wednesday, January 15, 2014

20 Sifat Hati; yang Keji dan Terpuji



Dalam laman karya ulama kali ini, saya ingin kongsi bersama pembaca sekalian mengenai sebuah buku yang menjadi bacaan dan rujukan saya semenjak di bangku sekolah menengah lagi. Buku yang berjudul “ 20 Sifat Hati; yang Keji dan Terpuji” ini merupakan karya guru saya semasa menuntut ilmu di SMA al- Ma’ahad al-Muhammadi Lelaki, Kelantan – iaitu Ust Haji Nik Abdul Kadir bin Haji Nik Muhammad (sekarang Dato’) – yang memegang jawatan Pengetua (Mudir) sekolah ketika itu. Beliau sekarang, merupakan Timbalan Mufti Kerajaan negeri Kelantan. 

Dato’ Haji Nik Abdul Kadir atau biasa dikenali sebagai Ust Nik Dir ini telah menghasilkan karya beliau ini, ketika beliau menjawat jawatan pengetua di SMA al-Maahad al-Muhammadi Pasir Pekan. Buku ini telah diterbitkan dengan cetakan pertamanya pada tahun 1985 di bawah “ Siri Panduan Hidup ” oleh Jabatan Hal Ehwal Ugama Islam Negeri Kelantan. Ia diterbitkan dengan dua edisi Rumi dan Jawi. Buku kecil yang setebal 32 halaman ini dijual dengan harga 50 sen senaskhah. Saya ada memiliki naskhah edisi Jawinya. 

Saya masih ingat, ketika saya belajar di SMA al-Maahad al-Muhammadi Lelaki dahulu, buku ini telah diterbitkan kembali dengan “edisi khas”  oleh pihak sekolah bertujuan memungut derma bagi pembinaan masjid sekolah. Buku edisi khas ini dicetak dengan tulisan Jawi, dengan cover (kulit luar) nya berwarna hijau muda dan dijual dengan harga RM 2.00. Buku ini ada dalam koleksi saya. Para pelajar telah diberikan peluang secara suka rela untuk menjual buku tersebut kepada masyarakat umum. Saya masih ingat, saya telah membawa balik 20 naskhah buku tersebut untuk dijual di kampung saya. 

Ketika melancarkan penjualan buku tersebut, Ust Nik Dir ada memberi amanat kepada para pelajar, katanya;   Beri buku (sumber ilmu) adalah lebih afdhal daripada memberi resit terima bagi tujuan meminta derma. Ini kerana kedua-dua belah pihak akan saling dapat manafaat. Pihak yang memberi derma akan dapat pulangan ilmu pengetahuan dan pihak yang memerlukan derma dapat menyelesaikan masalah pembinaan surau yang tertunggak sekian lama. Jika diberi resit sahaja, hanya satu pihak (pihak yang memerlukan derma) yang mendapat manafaat, sedangkan pihak yang mengeluarkan sedekah (derma) hanya mendapat resit sahaja[1]


Kandungan buku ini… 

Dalam pendahuluan buku ini, penyusun ada menyatakan “ Wajib atas setiap orang yang berakal dan sampai umur menyuci dan membersihkan hatinya daripada sifat-sifat yang tercela yang merosakkan hatinya dan menghiasinya dengan sifat-sifat yang terpuji yang menyelamatkan dirinya di dunia dan akhirat ”. 

Dalam buku ini diterangkan 10 sifat hati yang keji – untuk dijauhi dan 10 sifat hati yang terpuji – untuk dihiasi hati dengannya. Berikut disenaraikan sifat-sifat tersebut;  

a. Sifat hati yang keji; 

1. Takbur 
2. Hasad dengki 
3. Marah 
4. Bakhil dan kasihkan harta 
5. Cintakan kemegahan 
6. Cintakan dunia 
7. Ujub (mengkagumi diri sendiri) 
8. Riya’ 
9. Loba makanan /Lahap makanan 
10. Banyak bercakap 

b. Sifat hati yang terpuji;  

1. Taubat 
2. Khauf (takut akan Allah) 
3. Zahid 
4. Sabar 
5. Mensyukuri nikmat 
6. Ikhlas 
7. Tawakal 
8. Kasih kepada Allah Ta’ala 
9. Redha akan qadha’ Allah Ta’ala 
10. Ingatkan mati 

Terdapat dua buku yang menjadi sumber rujukan utama karya ini, iaitu; (1) Anak Kunci Syurga, (2) Penawar Bagi Hati. Kedua-dua buku ini merupakan karya seorang ulama nusantara yang terkenal -yang pernah menjadi guru di Masjid al-Haram, Makkah, pada zamannya, iaitu al-‘Allamah al-Syaikh Abdul Qadir bin Abdul Muttalib al-Indonisi al-Mandili. 

Semoga bermanfaat.



[1] Amanat beliau ini saya petik dari blog sahabat lama saya di http://towardsmardhatillah.wordpress.com/2012/01/21/20-sifat-hati-yang-keji-dan-terpuji/

Tuesday, January 7, 2014

Fatawa Tentang Binatang Hidup Dua Alam


Buku “ Fatawa Tentang Binatang Hidup Dua Alam ” merupakan sebuah buku yang menghimpunkan beberapa fatwa yang dikeluarkan oleh Syaikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad al-Fathani (w1908) yang menjawab persoalan yang berkaitan dengan ‘hukum memakan binatang yang hidup di dua alam’ (di darat dan air). Buku yang memuatkan fatwa Syaikh Ahmad Fathani  ini disusun kembali oleh cucu beliau, iaitu al-Marhum Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah – seorang tokoh pengkaji sejarah para ulama nusantara yang terkenal.


Kandungan utama buku ini adalah merupakan petikan atau sedutan dari karya Syaikh Ahmad Fathani yang berjudul “ al-Fatawa al-Fathaniyyah ”  dan ditambah dengan beberapa karya beliau yang lain, sama ada yang telah diterbitkan, mahupun yang masih merupakan catatan-catatan yang belum tersusun.

Dalam buku ini terdapat 4 koleksi fatwa Syaikh Ahmad al-Fathani yang dihimpun  dan diedit kembali serta di catatkan beberapa nota kaki yang bermanfaat diusahakan oleh al-Marhum Haji Wan Mohd Shaghir.

Di antara tujuan penyusunan buku ini, saya bawakan petikan sepatah kata penyusunnya sendiri;

“ Hal ini mengingatkan, bahawa baru-baru ini timbul masalah katak yang menjadi perbahasan hangat di kalangan Majlis Ulama Propinsi Sumatera Barat yang kemudiaan  berlanjutan pembahasannya oleh Majlis Ulama Indonesia (Pusat, Jakarta). Majlis Ulama Indonesia menerbitkan buku “ Fatwa Majlis Ulama Indonesia ”. Untuk membanding fatwa-fatwa ulama di masa kini, maka saya usahakanlah fatwa yang pernah dibuat oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Fatwa Syeikh Ahmad yang saya karang semula ini, dengan banyak perubahan bahasa, adalah khusus di lingkungan Mazhab Syafi’ie…..tanpa perbandingan dengan pendapat dan mazhab lainnya ”.

Di bahagian akhir buku ini dilampirkan salinan manuskrip  asli (tulisan tangan) dan salinan halaman “fatwa Syaikh Ahmad Fathani” yang telah dimuatkan dalam kitab al-Fatawa al-Fathaniyyah - yang menjadi rujukan utama bagi penyusunan buku ini. Selain itu dilampirkan juga riwayat hidup ringkas Syeikh Ahmad al-Fathani.

Buku ini diterbitkan dengan cetakan pertamanya oleh Penerbit Hizbi, Shah Alam pada tahun 1990.  Ketebalan buku ini adalah 60 halaman, tidak termasuk kata pengantar penyusun (2 halaman) dan daftar isi kandungannya (1 halaman).

Sekian sahaja catatan ringkas mengenai buku ini. Semoga bermanfaat.
________________

Sumber:  Fatawa Tentang Binatang Hidup Dua Alam. Pustaka Hizbi, cet. 1/ 1990.

Saturday, January 4, 2014

Faridatul Faraid


Artikel berikut merupakan sebuah petikan daripada tulisan al-Marhum Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah. Semoga bermanfaat.

Berdasarkan penyelidikan, dapat diambil kesimpulan bahawa kitab "Faridatul Faraid" disusun adalah mengikuti jejak ulama' dunia Melayu yang terkenal seperti Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Abdush Shamad al-Falimbani, dan lain-lain. Rujukan adalah berdasarkan kitab-kitab turas 'aqidah Ahlus Sunnah wal Jama'ah yang dapat dipegangi, sama ada dari ulama' muktabar dunia Melayu atau pun ulama' muktabar bangsa Arab sendiri. Kitab-kitab yang dirujuk termasuk karangan Syeikh Abu Hasan al-Asy'ari, dan ulama'-ulama' sesudahnya. Maka diproses oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, diringkaskannya, lalu terkumpul dalam kitab "Faridatul Faraid". Jadi secara global/garis besar perkara i'tiqad Ahlus Sunnah wal Jama'ah lengkap dalam "Faridatul Faraid" ini.

Dalam Natijah Al-Ahmadiah, Singapura bagi tahun 1345 H bersamaan 1926 – 1927 M, termaktub, "Faridatul Faraid" cap yang keenam kali huruf ats-tsani al-Islambuli yang elok bentuknya. Bicara 'Ilmu Ushulid Din yang suci daripada campuran bicara yang lain dan bersih daripada ibarat yang lebih-lebih supaya mudah mengerti orang yang mengajinya dan muthala'ahnya. Karangan al-Fadhil Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain bun Mustafa bin Muhammad al-Fathani…"

Kitab "Faridatul Faraid" mempunyai riwayat tersendiri, saya kurang mengerti apa sebab kitab tipis itu sangat diperbesar-besarkan oleh ulama'-ulama' Patani, Kelantan, Kedah dan lain-lain. Sewaktu saya ke Bangkok pada tahun 1971, ramai kalangan ulama' dan pelajar Islam di sana menggelar Syeikh Ahmad al-Fathani dengan "Tuan Faridah", sebagaimana di Jawa hingga tahun 1960an para ulama'nya mengenal Syeikh Ahmad al-Fathani dengan sebutan "Tuan Ngawamil". Demikian besar pengaruh kitab "Faridatul Faraid", sehingga sangat ramai yang pernah belajar kitab ini, manakala mereka mendapat anak perempuan lalu diberi nama dengan “Faridah”.

Sewaktu saya ke Makkah pada tahun 1979, salah seorang ‘alim berasal dari Patani mengatakan bahawa kitab Faridah jika diajar oleh orang yang lebih ‘alim lebih sedap; lebih luas dan lebih mengasyikkan. Salah seorang Tuan Guru Pondok di Patani mengatakan bahawa kitab "Faridatul Faraid" tetap akan diajarkan di pondok-pondok dalam wilayah Patani. Menurut Tuan Guru Pondok tersebut hingga ke hari ini tidak ada satu kitab Tauhid dalam bahasa Melayu yang menyamai kemasyhuran kitab "Faridatul Faraid". Mereka menyebut bahawa dalam kitab itu mempunyai erti yang tersirat baik ditinjau dari segi susunan nahu dan sharaf mahupun penafsiran secara batin atau rahsia. Kepercayaan seperti itu saya cuba membantah, bahawa saya tidak melihat “Faridatul Faraid” itu lebih istimewa dari kitab-kitab Tauhid bahasa Melayu lainnya.

Saya tidak melihat bahawa ia mempunyai ilmiah yang tinggi. Dengan demikian banyak Tuan Guru marah dan bermasam muka kepada saya. Namun setelah dijelaskan bahawa saya menyimpan beberapa tulisan tangan Syeikh Ahmad al-Fathani yang meliputi banyak pemikiran untuk Islam dan Alam Melayu, yang tulisan ilmiah itu di antaranya saya huraikan dalam buku “Syeikh Ahmad a-Fathani Ahli Fikir Terbe­sar Alam Malayu”, kemarahan mereka terubat dengan penjelasan saya itu.

Dalam tahun 1992, salah seorang ustaz yang pernah sebagai pensyarah di Nilam Puri Kelantan bercerita, "Saya mengajar di banyak masjid dalam Kota Bharu Kelantan, di antara kitab yang saya ajar ialah Faridatul Faraid oleh Tok Guru Wan Ahmad al-Fathani. Cukup besar amal jariyah Tok Guru Wan Ahmad, kerana di salah satu masjid saya mengajar tidak kurang yang hadir sekitar lima ratus orang. Yang mengajar Faridah bukan saya sahaja, tetapi ramai ustaz lainnya. Coba bayangkan dari dulu hingga sekarang Faridah masih tetap diajarkan, itulah sebabnya saya katakan cukup banyak amal jariyah yang diterima oleh Tok Guru Wan Ahmad, tuan punya kitab Faridah itu".

“Faridatul Faraid” pernah diringkaskan dan pernah disyarahkan. Yang diringkaskan di namakan “Pati Faridatul Faraid” yang di usahakan oleh Tuan Guru Haji Nik Abdullah al-Jambu Fathani. Syarahnya diberi judul “Umdah Thalibil Mujtahid bi Syarhi Faridah al-Faraid” diselesaikan tahun 1380 H/1960 M yang diusahakan oleh salah seo­rang ulama Patani iaitu Tuan Guru Haji Abdullah bin Hj. Ibrahim bin Abdul Karim al-Fathani al-Jabi.

Kitab yang diringkaskan dan disyarahkan itu sudah sukar menda­patkannya di kedai-kedai kitab, kerana hampir-hampir tidak berada di pasaran kitab lagi. Sebaliknya kitab "Faridatul Faraid" yang asli masih mudah mendapatkannya di hampir semua kedai kitab di Asia Tenggara. Yang berupa ringkasan itu adalah merupakan kitab Melayu/Jawi yang pertama sekali diringkaskan. Adapun kitab syarah itu adalah merupakan kitab Melayu yang kedua disyarahkan, kerana kitab Melayu pertama disyarah ialah “Sulla­mul Mubtadi” karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang diusahakan oleh Syeikh Muhammad Nur bin Muhammad bin Ismail al-Fathani, iaitu kitab yang meliputi tentang Tauhid, Fiqh dan Tasawuf.

Terakhir sekali sebagai bukti kitab "Faridatul Faraid" merupakan kitab Tauhid yang paling banyak diajarkan di dunia Melayu sejak dulu hingga sekarang, di bawah ini, saya perkenalkan semua edisi cetakan yang telah diketemukan. Cetakan terawal adalah diusahakan pada masa pengarangnya masih hidup atas usaha beliau sendiri. Cetakan pertama oleh Matba'ah al-Miriyah ak-Kainah, Makkah, 1313 H. Cetakan-cetakan di percetakan ini yang telah ditemui ialah cetakan yang ketiga, pertengahan bulan Zulqa'idah 1317 H. Dicetak lagi pada pertengahan bulan Rabi'ul awwal 1325 H.

Terdapat edisi cetakan oleh Matba'ah Dar al-Kutub al-'Arabiyah al-Kubra, Mesir, atas perbelanjaan Ismail Fathani, anak pengarangnya, didapati cetakan yang ketiga, Jumadil Akhir 1328 H. Terdapat lagi edisi cetakan oleh Matba'ah Mustafa al-Baby al-Halaby, Mesir, Jumadil Akhir 1351 H, yang dinyatakan sebagai edisi cetakan yang keenam. Dicetak lagi oleh percetakan yang sama tahun 1353 H/1934 M, dinyatakan sebagai cetakan ketujuh. Terdapat lagi edisi cetakan oleh Matba'ah Al-Ahmadiyah, nombor 50 Minto Road, Singapura, 1344 H bersamaan 1926 M, dinyatakan sebagai edisi cetakan kelima, atas perbelanjaan Qadhi Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani. Kemudian dicetak lagi oleh percetakan yang sama, yang dinyatakan sebagai cetakan keenam 1345 H/1926-1927 M.

 Terdapat lagi edisi cetakan oleh Persama Press, 83 dan 85 Achen Street (Masjid Melayu) Pulau Pinang, 1360 H/1941 M, dinyatakan sebagai cetakan ketiga.
Terdapat lagi edisi cetakan oleh Maktabah wa Matba'ah Dar al-Mu'arif, 173-C, Sungai Pinang Road, Pulau Pinang.

Terdapat edisi cetakan oleh Matba'ah Dar at-Thiba'ah al-Islamiyah, nombor 1/10, Jalan Jering, Patani. Terdapat edisi cetakan oleh Matba'ah Sulaiman Mar'i, Singapura. Dan edisi-edisi cetakan lain, di antaranya oleh Al-Ahliyah, Kota Bharu (Kelantan), Nahdi (Bangkok), Bungkul Indah (Surabaya) dan banyak lagi yang tidak dapat dibicarakan semuanya.

Dalam penelitian yang telah saya buat, ternyata kitab "Faridatul Faraid" adalah merupakan kitab Melayu/Jawi yang paling banyak kali dicetak. Juga paling banyak nama percetakan yang pernah menanganinya. Dari segi jumlah naskhah cetakan juga merupakan yang terbanyak kerana cetakan-cetakan yang dilakukan di Timur Tengah setiap kali cetak dalam jumlah sepuluh ribu exemplar/naskhah. Dari cetakan pertama (1313 H/1895 M) hingga kini, entah berapa juta naskhah yang telah dicetak tidak dapat diketahui secara pasti. Hanya disimpulkan saja bahawa ummat Islam Melayu yang memahami 'aqidah Ahlus Sunnah wal jama'ah melalui kitab "Faridatul Faraid", dari dulu hingga sekarang sekian jutanya hanya diketahui oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala saja.

Para ulama' yang pernah selaku pentashih cetakan-cetakan "Faridatul Faraid" sangat ramai, di antaranya yang dapat dikenalpasti ialah, cetakan terawal ditashih oleh pengarangnya sendiri, dilanjutkan Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani. Cetakan Matba'ah Dar al-Kutub al-'Arabiyah al-Kubra ditashih oleh Syeikh 'Abdur Razaq bin Muhammad Lampung (Ketua orang Lampung) dan Syeikh Ahmad Thahir Khatib Kerue al-Jawi, kedua-duanya adalah murid pengarang kitab, Syeikh Ahmad al-Fathani. Cetakan Persama Press ditashih oleh Syeikh Abdullah al-Makki. Cetakan Maktabah wa Matba'ah Dar al-Mu'arif ditashih oleh 'Utsman Shalih al-Azhari.