Thursday, December 12, 2013

Cenderahatiku


Karya peninggalan ulama yang ingin dikongsi bersama pada kali ini adalah sebuah buku kecil yang berjudul “ Cenderamataku ”. Buku ini adalah karya seorang tokoh ulama terkenal di Kelantan, iaitu Haji Yaakub bi Haji Ahmad[1] ( 1895-1957), yang terkenal dengan julukannya  Haji  Yaakub Gajah Mati.

Buku ini pertama kali dicetak pada 11 Sya’ban 1376H bersamaan 13 Mac 1957 di Persama Press, Pulau Pinang, dengan ketebalan 37 halaman– di bawah pembiayaan anak-anak al-Marhum Haji Yaakub sendiri. Ia telah dicetak buat kali keduanya pada tahun 1979 dengan ketebalan 46 halaman oleh Percetakan al-Ahliyah, Kota Bharu. Kedua-dua cetakan ini dalam tulisan Jawi dan merupakan “cetakan istimewa[2] kerana ia diberikan secara percuma dan tidak diizinkan dijual.

Berikut adalah petikan sepatah kata penerbit yang dilampirkan dalam risalah ini;

Buku ini adalah disusun oleh ayahanda kami beberapa minggu sebelum beliau meninggal dunia yang fana ini. Sejurus sebelum menghembus nafasnya yang akhir beliau telah berwasiat supaya buku ini dicetak dan dihadiah kepada mana-mana murid-muridnya, kenalannya dan ikhwanul muslimin yang ingin mengambil manfaat daripada buku ini.

Moga-moga buku ini akan jadi sebaik-baik cendera mata hidup dari beliau dan sebaik-sebaik sedekah jariah yang dipohon akan berkekalan kebajikan dan pahalanya kepada beliau .”

 
Kandungan buku ini..

Bagi mengetahui kandungan buku ini, berikut dilampirkan petikan pendahuluan oleh penyusunnya;

Inilah risalah kecil yang disusun untuk menyatakan kelebihan bacaan al-Musabba’at al-‘Asyarah[3] (المسبعات العشرة) dan kelebihan wirid-wirid Nabi yang dibaca pagi dan petang dan waktu-waktu yang lain. 

Pada akhir rislah ini, saya susun pula ringkasan aqidah atau kepercayaan yang berkenaan dengan sifat[4] yang sabit bagi Allah SWT yang wajib diketahui oleh tiap-tiap orang yang mukallaf. Tujuan ringkasan aqidah ini ialah untuk menyenangkan orang-orang awam bangsaku Melayu yang tidak mengerti mengenal Allah (melalui) bahasa Arab dan mengetahui sifat-sifatNya dengan tidak lagi dikehendaki tahu lafaz-lafaz Arab. Ringkasan itu dihurai dengan cara yang senang berasaskan ajaran al-Quran dan hadis serta ajaran Ulama’ Salaful Sholihin. Moga-moga ringkasan itu akan meneguh kepercayaan dan mendalamkan pengertian mereka ”.

Sekadar ini sahaja yang dapat saya kongsi bersama pembaca mengenai buku “Cenderamataku” ini. Semoga bermanfaat.

Rujukan;

1) Cenderamataku, cet. 2, 1979.
2) Artikel: Haji Yaakub Haji Ahmad Gajah Mati oleh Ismail Awang (Pengasuh, bil. 414, 1976)


[1] Beliau adalah bapa kepada al-Marhum Datuk Yusuf Zaki Yaakub, seorang ulama terkenal di Kelantan. Di antara karya terkenal beliau ialah Terjemahan Tafsir Fi Zilal al-Quran, iaitu kitab tafsir yang disusun oleh al-Syahid Sayyid Qutb.
[2] Perkataan ini ada dicetakkan pada kulit luar buku ini.
[3] Iaitu sepuluh perkara wirid yang dibacakannya sebanyak tujuh kali (Cenderamataku, hal. 4)
[4] Sebanyak 13 sifat ditonjolkan dengan bahasa Melayu dengan ulasan dan dali-dalil yang terang.

No comments:

Post a Comment