Monday, October 7, 2013

al-Khulashah karya al-Ghazali


Kitab al-Khulashah (الخلاصة) atau judul penuhnya Khulashah al-Mukhtasar wa Naqawah al-Mu’tashar (خلاصة المختصر ونقاوة المعتصر) adalah sebuah kitab fiqh dalam mazhab al-Syafi’i. Kitab ini merupakan sebuah karya Hujjah al-Islam Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali al-Thusi (450-505H), atau yang terkenal dengan gelaran Imam al-Ghazali. Menurut al-‘Allamah al-Sayyid al-Murtadha al-Zabidi, kitab al-Khulashah juga dikenali dengan judul yang lain, iaitu Khulashah al-Wasa-il ila ‘Ilm al-Masa-il (خلاصة الوسائل الى علم المسائل)[1].

Menurut Imam al-Ghazali kitab al-Khulashah ini disusunkan sebagai mukhtashar (ringkasan) bagi kitab Mukhtashar al-Muzani, iaitu karya Imam Abu Ibrahim Isma’il bin Yahya bin Isma’il al-Mishri al-Muzani (246H), murid kepada Imam al-Syafi’i.

Ada juga yang berpendapat kitab ini merupakan ringkasan bagi kitab al-Wajiz, iaitu sebuah karya al-Ghazali juga[2]. Namun pendapat ini tidak tepat, kerana kesahihan kitab al-Khulashah sebagai ringkasan kitab Mukhtashar al-Muzani dinyatakan sendiri oleh al-Ghazali dalam Muqadimah kitab ini sendiri[3].  Hal ini juga disebutkan oleh al-Ghazali dalam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin – dalam Kitab al-‘Ilm - , ketika menyebutkan maratib (tingkatan) ilmu[4] dan juga dalam kitab Jawahir al-Quran[5].

Antara yang dilakukan Imam al-Ghazali dalam penyusunan kitab al-Khulashah ini;

1.    Meringkaskan kandungan kitab Mukhtashar al-Muzani  dengan mengambil intipatinya sahaja, tanpa memasukkan nas (teks) asalnya yang berupa perkataan Imam al-Syafi’i.
2.      Membuat pembahagian bab dan tajuk yang baru.
3.      Membuat tambahan mengenai beberapa permasalahan fiqh yang tidak terdapat dalam kitab asal.

Catatan mengenai kitab al-Khulashah ini,  dinukil secara ringkas dari muqaddimah pentahqiq kitab al-Khulashah, iaitu Dr. Amjad Rasyid Muhammad ‘Ali. Di mana usaha beliau mentahqiq kitab ini sebagai memenuhi syarat untuk memperolehi Ijazah Ph.D-nya. Kitab ini  telah diterbitkan oleh Dar al-Minhaj – Beirut, Lubnan, pada cetakan pertama tahun 2007. Kitab al-Khulashah edisi terbitan Dar al-Minhaj ini boleh dibaca dan didownload di pautan http://www.feqhweb.com/dan3/uploads/13581697771.pdf.

Semoga bermanfaat.


[1] Ithaf al-Saadah al-Muttaqin, Jil. 1/hal. 273
 
[2] Perkara ini juga diikuti oleh KH Sirodjuddin ‘Abbas dalam bukunya “ Sejarah Dan Keagungan Madzhab Syafi’i ”. Kenyataan ini, kemudian telah dipetik dan disebarkan secara meluaskan dalam blog-blog mengenai karya fiqh mazhab al-Syafi’i.
 
[3] Lihat Kitab al-Khulashah, terbitan Dar al-Minhaj,  halaman 55.
 
[4] Lihat al-Ihya’ - Jilid 1, halaman 40.
 
[5] Lihat kitab Jawahir al-Quran, fasal ke 4.
.

No comments:

Post a Comment