Monday, October 28, 2013

al-Mughni Syarh Mukhtashar al-Khiraqi


Kitab al-Mughni (المغني) karya Imam Muwaffaquddin Ibnu Qudamah (541-620H) adalah kitab fiqh yang menjadi rujukan utama dalam mazhab Hanbali. Nama panjang beliau ialah Muwaffaquddin Abu Muhammad ‘Abdullah bin Muhammad bin Qudamah al-Jamma’ili al-Maqdisi al-Dimasyqi al-Shalihi al-Hanbali. Ibn Qudamah menyusun kitab ini dengan method perbahasan fiqh perbandingan (Fiqh al-Muqaran) antara mazhab - dengan menjadikan mazhab fiqh Imam Ahmad bin Hanbal sebagai keutamaan, kerana ia dilahirkan dari kalangan kelompok mazhab al-Hanbali.

Kitab al-Mughni asalnya disusun oleh Ibn Qudamah sebagai huraian (syarah) bagi Mukhtashar al-Khiraqi (مختصر الخرقي على مذهب الامام أحمد بن حنبل), iaitu sebuah kitab yang menghimpunkan masalah-masalah fiqh menurut mazhab Hanbali yang disusun Imam Abu al-Qasim 'Umar bin al-Husain al-Khiraqi (334H). Namun begitu, dalam kitab ini Ibn Qudamah bukan hanya sekadar menjelaskan ungkapan-ungkapan yang terdapat dalam kitab al-Mukhtashar, bahkan belau juga turut mengemukakan perbezaan pendapat yang berlaku dan berkembang di kalangan para ulama mazhab Hanbali dalam berbagai masalah berserta hujah-hujah dalilnya.

Ibn Qudamah memperluaskan lagi perbahasan fiqh dalam kitab ini, dengan membuat perbandingan dengan pendapat-pendapat dari kalangan ulama mazhab yang lain - sama ada mazhab Malik, Abu Hanifah danal-Syafi'i. Bahkan beliau juga ada menyebutkan pendapat mazhab-mazhab yang sudah tidak berkembang lagi, seperti mazhab Imam Hasan al-Basri, ‘Atha’, Sufyan al-Tsauri dan lainnya. Selain itu disentuh juga beberapa pendapat ulama dari kalangan sahabat dan tabi’in.

Ibnu Qudamah menyebutkan dalil-dalil yang digunakan oleh ulama lainnya yang mengungkap suatu pendapat dalam masalah tertentu kemudian dalil tersebut beliau jelaskan sisi kekuatan dan kelemahannya. Beliau akhiri setiap perbahasan tersebut dengan menjelaskan kesimpulan yang paling tepat berdasarkan ijtihad beliau.
 
Tidak disangsikan lagi, bahawa Kitab al-Mughni ini adalah merupakan kitab kajian fiqh yang dianggap sebagai ensiklopedia fiqh Islam dari zaman salaf yang terbaik yang telah disusun dalam bentuk fiqh perbandingan - yang mana pada ketika itu kitab-kitab seperti ini masih begitu jarang ditemui. Kitab ini dianggap sebaris dengan deretan karya-karya fiqh muqarran (perbandingan) lainnya, seperti al-Majmu’ karya al-Nawawi dan Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtashid karya Ibn al-Rusyd (sekadar contoh).
 
Oleh kerana itu, para ulama yang berasal dari berbagai mazhab pun memandang kitab ini dengan pandangan penuh penghargaan, penelitian, dan dianggap sebagai salah satu rujukan ulung dalam bidangnya. Ini sekaligus memberi sumbangan berharga dalam menangani berbagai isu-isu fanatik kepuakan dan mazhab. Sebagaimana kitab-kitab fiqh lainnya, kitab ini dimulakan dengan perbahasan fiqh thaharah, wudhu', mandi, solat, solat-solat sunnah, pengurusan jenazah, haji dan umrah, zakat, puasa, sehinggalah kepada perbahasan-perbahasan lainnya yang lebih terperinci dalam pelbagai cabang fiqh seperti sembelihan, buruan, pernikahan (dan munakahat), kekeluargaan, mu'amalah, jual beli, wasiat, luqatah, hutang piutang, jihad, peperangan, jihad, pemerintahan, politik, dan banyak lagi yang lainnya.


Berdasarkan terbitan Dar ‘Alam al-Kutub -Riyadh pada tahun 1997, kitab al-Mughni telah dicetakkan dalam 15 jilid. Edisi cetakan ini boleh didownload di pautan berikut; http://www.waqfeya.com/book.php?bid=504  atau  muat turun sekaligus 15 jilid di Sini. Edisi terbitan ini telah ditahqiq oleh Dr. Abdullah bin Abdul Muhsin al-Turki dan Dr. Abdul Fattah Muhammad al-Halu.



Terjemahan kitab ini….

Terjemahan lengkap kitab al-Mughni dalam bahasa Melayu/Indonesia telah diterbitkan oleh Pustaka Azzam – Indonesia dalam 16 Jilid. Kitab ini diterjemahkan berdasarkan kitab al-Mughni edisi Arab yang ditahqiq dan disemak oleh Dr. Muhammad Syarafuddin Khathab, Dr. Sayyid Muhammad Sayyid, dan Prof. Sayyid Ibrahim Shadiq.

Semoga bermanfaat.

Tuesday, October 8, 2013

Isu-Isu Fiqh Halal & Haram Semasa


Buku “ Isu-Isu Fiqh Halal & Haram Semasa ” merupakan sebuah karya fiqh yang sangat luas dan mendalam yang membicarakan persoalan halal dan haram semasa, meliput persoalan ilmu, akidah, syariah dan akhlak.  Sekadar pengamatan dan pengetahuan saya, buku ini merupakan satu-satunya karya dalam bahasa Melayu yang membicarakan persoalan halal dan haram begitu menyeluruh sekali. Buku disusun Dr. Basri bin Ibrahim al-Hasani al-Azhari, iaitu pensyarah di Universiti Terengganu Darul Iman. 

Buku ini telah diterbitkan oleh Al-Hidayah Publication, Selangor – berdasarkan cetakan pertamanya pada tahun2009 - dalam dua jilid yang agak tebal. Jilid pertama setebal 790 halaman, manakala jilid kedua setebal 759 halaman.

Buku ini dibahagikan kepada 20 bab, yang membincangkan berbagai isu-isu semasa yang berkaitan dengan kehidupan manusia, bermula daripada asas-asas penting di dalam mengenal halal dan haram sehinggalah kepada persoalan halal dan haram yang berkaitan dengan akhlak. Setiap isu dibincangkan dengan mengemukakan dalil-dalil dari al-Quran, al-Sunnah, al-Ijmak, pendapat ulama mujtahidin dan para ulama yang wibawa dari berbagai mazhab, sama ada ulama terdahulu maupun ulama semasa.
Dalam buku ini, penyusunnya telah menegaskan bahawa konsep halal dan haram tidak hanya tertumpu kepada lapangan minuman, makanan, dan juga pinjaman (hutang-piutang) sahaja, bahkan lebih luas daripada itu, merangkumi lapangan ilmu, akidah, ibadah, makanan dan minuman, pakaian dan perhiasan, perkakas rumah, kerjaya dan mata pencarian, muamalah, kekeluargaan, siasah dan jenayah, hubungan kemasyarakatan, sukan dan seni, perubatan dan akhlak. Cua persoalan makanan, minuman dan juga pinjaman merupakan perkara yang banyak melibatkan umat Islam hari ini, kerana itu ia menjadi tumpuan yang lebih berbanding dengan isu-isu halal dan haram yang lain.

Buku ini amat baik untuk dijadikan rujukan oleh masyarakat Islam, dari semua lapisan masyarakat, sama ada pelajar, ibu bapa, guru, para pemimpin masyarakat dan lain-lain. Perbahasannya cukup menarik, kerana melibatkan nas-nas al-Quran, al-Sunnah, logik akal dan juga pendapat-pendapat ulama terdahulu dan semasa.
Sesiapa yang berminat untuk memiliki buku ini, sila kunjungi kedai-kedai buku yang berdekatan dengan tempat tinggal masing-masing atau boleh juga membelinya secara online melalui pautan berikut;

http://www.hidayah.com.my/site/index.php?option=com_virtuemart&Itemid=60&category_id=7&page=shop.browse&limit=20&limitstart=20

Semoga bermanfaat.

Monday, October 7, 2013

al-Khulashah karya al-Ghazali


Kitab al-Khulashah (الخلاصة) atau judul penuhnya Khulashah al-Mukhtasar wa Naqawah al-Mu’tashar (خلاصة المختصر ونقاوة المعتصر) adalah sebuah kitab fiqh dalam mazhab al-Syafi’i. Kitab ini merupakan sebuah karya Hujjah al-Islam Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali al-Thusi (450-505H), atau yang terkenal dengan gelaran Imam al-Ghazali. Menurut al-‘Allamah al-Sayyid al-Murtadha al-Zabidi, kitab al-Khulashah juga dikenali dengan judul yang lain, iaitu Khulashah al-Wasa-il ila ‘Ilm al-Masa-il (خلاصة الوسائل الى علم المسائل)[1].

Menurut Imam al-Ghazali kitab al-Khulashah ini disusunkan sebagai mukhtashar (ringkasan) bagi kitab Mukhtashar al-Muzani, iaitu karya Imam Abu Ibrahim Isma’il bin Yahya bin Isma’il al-Mishri al-Muzani (246H), murid kepada Imam al-Syafi’i.

Ada juga yang berpendapat kitab ini merupakan ringkasan bagi kitab al-Wajiz, iaitu sebuah karya al-Ghazali juga[2]. Namun pendapat ini tidak tepat, kerana kesahihan kitab al-Khulashah sebagai ringkasan kitab Mukhtashar al-Muzani dinyatakan sendiri oleh al-Ghazali dalam Muqadimah kitab ini sendiri[3].  Hal ini juga disebutkan oleh al-Ghazali dalam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin – dalam Kitab al-‘Ilm - , ketika menyebutkan maratib (tingkatan) ilmu[4] dan juga dalam kitab Jawahir al-Quran[5].

Antara yang dilakukan Imam al-Ghazali dalam penyusunan kitab al-Khulashah ini;

1.    Meringkaskan kandungan kitab Mukhtashar al-Muzani  dengan mengambil intipatinya sahaja, tanpa memasukkan nas (teks) asalnya yang berupa perkataan Imam al-Syafi’i.
2.      Membuat pembahagian bab dan tajuk yang baru.
3.      Membuat tambahan mengenai beberapa permasalahan fiqh yang tidak terdapat dalam kitab asal.

Catatan mengenai kitab al-Khulashah ini,  dinukil secara ringkas dari muqaddimah pentahqiq kitab al-Khulashah, iaitu Dr. Amjad Rasyid Muhammad ‘Ali. Di mana usaha beliau mentahqiq kitab ini sebagai memenuhi syarat untuk memperolehi Ijazah Ph.D-nya. Kitab ini  telah diterbitkan oleh Dar al-Minhaj – Beirut, Lubnan, pada cetakan pertama tahun 2007. Kitab al-Khulashah edisi terbitan Dar al-Minhaj ini boleh dibaca dan didownload di pautan http://www.feqhweb.com/dan3/uploads/13581697771.pdf.

Semoga bermanfaat.


[1] Ithaf al-Saadah al-Muttaqin, Jil. 1/hal. 273
 
[2] Perkara ini juga diikuti oleh KH Sirodjuddin ‘Abbas dalam bukunya “ Sejarah Dan Keagungan Madzhab Syafi’i ”. Kenyataan ini, kemudian telah dipetik dan disebarkan secara meluaskan dalam blog-blog mengenai karya fiqh mazhab al-Syafi’i.
 
[3] Lihat Kitab al-Khulashah, terbitan Dar al-Minhaj,  halaman 55.
 
[4] Lihat al-Ihya’ - Jilid 1, halaman 40.
 
[5] Lihat kitab Jawahir al-Quran, fasal ke 4.
.

Thursday, October 3, 2013

Fiqh Perbandingan : Isu-Isu Fiqh Terpilih


Karya ulama yang ingin dikongsi bersama pembaca kali ini adalah sebuah buku karya ilmuan tempatan berjudul “ Fiqh Perbandingan : Isu-Isu Fiqh Terpilih ”.  Buku ini disusun oleh Dr. Basri bin Ibrahim Al-Hasani Al-Azhari, seorang pensyarah di Universiti Terengganu Darul Iman. Buku ini telah diterbitkan - Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur - dengan cetakan pertamanya pada tahun 2007. Ketebalan buku ini merangkumi 512 halaman.

Buku ini merupakan sebuah karya fiqh yang mengupas beberapa isu-isu terpilih yang menjadi amalan dan perbincangan di kalangan masyarakat Islam kini, khusus masyarakat Islam di Malaysia. Menurut penyusunnya, buku ini merupakan lanjutan daripada buku “ Himpunan Isu-Isu Feqah Terpilih ” yang telah disusun oleh penyusun pada tahun 1996, yang diterbitkan oleh Darul Nu’man, Kuala Lumpur.

Memandangkan buku tersebut mendapat sambutan yang baik dan menggalakkan daripada pembaca, khususnya dari kalangan penuntut institut pengajian tinggi di tanah air, ia telah melahirkan satu inisiatif baru kepada penyusun untuk menyambung usaha murni ini dengan isu-isu yang lain pula. Namun begitu perbahasan isu-isu yang dibincangkan dalam buku baru ini lebih menjuruskan kepada konsep Fiqh Perbandingan (al-Fiqh al-Muqaran).

Tujuan penyusunan buku ini adalah untuk mendedahkan para pembaca dengan pandangan-pandangan ulama Islam tentang berbagai-bagai isu yang timbul di dalam masyarakat, dalil-dalil yang menjadi hujah di kalangan mereka, perbahasan ke atas dalil-dalil tersebut, seterusnya mengetahui pendapat yang terpilih berdasarkan kepada dalil dan hujah yang paling kuat di antara pendapat yang diutarakan.

Faedah paling besar dari mempelajari isu fiqh berdasarkan kepada konsep Fiqh Perbandingan ini ialah;

1.  Menyampaikan seseorang kepada hkum Allah di dalam masalah-masalah yang menjadi perselisihan di kalangan ulama’.
2.    Memudahkan kepada para penuntut ilmu, mengenali hokum-hukum Islam di dalam satu-satu isu secara lebih dekat dan mantap.
3. Mendedahkan kepada para penuntut ilmu, mana pendapat yang kuat dan mana pendapat yang lemah.
4.    Menghapuskan belenggu jumud dan ta’sub yang keji kepada sesuatu mazhab fiqh.
5.     Mendedahkan sistem yang digunakan oleh para ulama’ di dalam memahami sesuatu isu.

Kandungan buku ini dibahagikan kepada 4 jilid, dan di dalam setiap jilid tersebut dibentangkan beberapa isu penting. Terdapat 22 isu yang dibincangkan dalam buku ini - dalam jilid 1 (7 isu), jilid 2 (5 isu), jilid 3 (5 isu) dan jilid 4 (5 isu).

Dalam kata pengantar buku ini – penyusunnya mengharapkan buku ini dapat membuka minda umat Islam (khusus di Malaysia), tentang punca perselisihan pendapat di kalangan ulama’. Dalam menangani isu-isu yang dibincangkan di dalam buku ini, pembaca perlu melihat dan meneliti setiap dalil yang dinyatakan oleh setiap golongan ulama’ dan seterusnya melihat manakah pendapat yang paling kuat – yang sewajarnya untuk diterimapakai.

Buku ini juga diharapkan dapat menyuntik semangat kepada umat Islam untuk membuat kajian di dalam satu-satu isu yang timbul di dalam masyarakat dengan mengemukakan dalil-dalil yang mantap daripada aI-Quran, al-Hadis, ljmak Ulama, kaedah-kaedah fiqh, pendapat-pendapat ulama yang muktabar dan lain-lainnya. Supaya dengan itu, tradisi menelaah pendapat-pendapat ulama lain dan mengkaji sebelum menerima pendapat mereka, dapat disebarluaskan di dalam masyarakat, lebih-lebih lagi di kalangan para penuntut ilmu dan lulusan institusi pengajian tinggi yang berlatarbelakangkan pengajian Islam.

Buku masih ada di pasaran buku agama di Malaysia. Ia telah diterbitkan dengan cetakan baru oleh Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur. Buku ini boleh juga dibeli secara online daripada penerbitnya.  Jika berminat untuk memilikinya, sila layari pautan berikut;


Semoga bermanfaat.