Tuesday, August 27, 2013

al-Mustadrak ‘ala al-Shahihain


Kitab al-Mustadrak ‘ala al-Shahihain (المستدراك على الصحيحين) merupakan sebuah kitab dalam bidang hadis karya  al-Imam, al-Hafiz, al-Allamah, al-Hakim Abu Abdullah Muhammad bin Abdullah bin Muhammad al-Dhabiyyi, al-Naisaburi. Beliau juga terkenal dengan gelaran singkat Ibn al-Bayyi’ atau al-Hakim al-Naisaburi. Beliau dilahirkan di Naisabur, Iran pada tahun 321H dan mempelajari hadis sejak kecil daripada bapa dan juga bapa saudaranya. Kemudiannya beliau turut mengembara dalam mempelajari hadis di serata pelusuk wilayah Islam seperti Iraq, Mada`in, Khurasan, Hijaz dan banyak lagi. Beliau mendengar hadis daripada sejumlah besar ulama hadis yang mencapai angka 2000 orang syeikh.
 
Beliau meriwayatkan hadis daripada bapanya, Abu al-‘Abbas al-Asham, Muhammad bin Salih bin Hani`, Abu Abdillah al-Akhram, Abu Ali al-Naisaburi dan selain mereka. Hadisnya pula diriwayatkan pula oleh beberapa tokoh hadis yang hebat seperti al-Daruquthni, al-Baihaqi, Abu Zar al-Harawi, Ibn Hibban dan ramai lagi.  Beliau berpegang kepada mazhab Fiqh al-Syafi’i daripada gurunya Abu Sahl al-Sa’luki dan Abu Ali bin Abu Hurairah. Beliau juga merupakan salah seorang pakar Qiraat yang mempelajarinya daripada Muhammad bin Abu Mansur al-Saram dan Abu al-Naqar al-Kufi.
 
Beliau menjawat jawatan Qadi (hakim) di Naisabur dan diminta untuk memegang jawatan yang sama di Jurjan tetapi beliau menolaknya. Beliau merupakan salah seorang ahli perunding atau duta diplomasi di antara kerajaan Bani Buwaih dan Daulah Samaniyah.
 
Hasil karyanya menurut Ibn ‘Asakir mencapai angka 2,500 buah jilid dalam pelbagai tajuk. Beliau merupakan salah seorang yang menjadi petanda kehebatan Allah Taala di muka bumi ini dengan karang yang luar biasa banyaknya. Dalam hal ini beliau menceritakan: “Aku telah minum air zamzam dan berdoa semoga Allah menganugerahkan kepadaku kepandaian mengarang dengan begitu baik.” Di antara kitab karangannya yang masyhur ialah:
 
  • Tarikh Naisabur
  • al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain
  • al-Madkhal ila Makrifat al-Shahih
  • Fadhail al-Syafi’i
  • al-Iklil
  • Tasmiyah man Ukrija Lahum al-Bukhari wa Muslim
  • Makrifah ‘Ulum al-Hadits
Beliau meninggal dunia pada tahun 405H selepas keluar daripada tempat permandian dalam usia yang begitu lanjut.
 
Pengenalan ringkas Kitab al-Mustadrak
 
Tujuan al-Hakim menyusun kitab al-Mustadrak adalah untuk menghimpun hadis-hadis sahih berdasarkan syarat al-Bukhari dan Muslim, atau salah seorang daripada mereka, yang tidak ditulis dalam kitab sahih masing-masing. al-Hakim telah menghimpun sebanyak 8,803 hadis di dalamnya dan mensahihkannya mengikut beberapa tahap:
  1. Hadis yang sahih mengikut syarat al-Bukhari dan Muslim.
  2. Hadis yang sahih mengikut syarat salah seorang daripada mereka sama ada syarat al-Bukhari atau mengikut syarat Muslim.
  3. Hadis yang sahih tanpa disandarkan kepada al-Bukhari atau Muslim iaitu hadis sahih mengikut syarat al-Hakim sendiri.
  4. Hadis yang tidak diberi apa-apa darjat. Kemungkinan al-Hakim bermaksud untuk menilainya setelah siap menyusun kitab al-Mustadrak tetapi dia tidak sempat untuk menunaikan maksudnya.
Kajian yang dilakukan semula oleh tokoh-tokoh hadis selepas al-Hakim mendapati wujud beberapa percanggahan dalam teknik pensahihan al-Hakim. Mereka dapati hanya sebahagian hadis yang darjatnya menepati pensahihan al-Hakim manakala selainnya tidak.
 
Ada hadis yang dihukum sahih oleh al-Hakim berdasarkan syarat al-Bukhari dan Muslim akan tetapi semakan semula mendapati ia tidak menepati syarat al-Bukhari dan Muslim. Demikian juga bagi hadis yang beliau sahihkan berdasarkan syarat salah seorang daripada mereka, atau berdasarkan syarat al-Hakim sendiri. Bahkan adakalanya di sebalik pensahihan tersebut, semakan semula mendapati hadis tersebut sebenarnya memiliki darjat dha‘if, sangat dha‘if sehinggalah ke darjat palsu (maudhuk).
 
Para ahli hadis ini yang mengetahui percanggahan ini telah terbahagi kepada 3 bahagian:
 
Pertama: Mereka yang mendakwa beliau adalah seorang ahli hadis tetapi pada masa yang sama juga adalah seorang Syi‘ah al-Rafidhah yang jahat. Oleh itu disahihkan hadis-hadis yang tidak sahih bertujuan mencemari asas-asas Ahl al-Sunnah dan pada waktu yang sama membenarkan Mazhab Syi‘ah.
 
Hal ini dijelaskan oleh al-Zahabi: “Beliau merupakan seorang yang dipercayai tetapi beliau mensahihkan di dalam kitab Mustadraknya itu beberapa hadis yang digugurkan dan begitu banyak boleh dijumpai di dalamnya. Aku tidak mengetahui apa yang dia sembunyikan daripada hal itu atau sememangnya dia tidak mengetahui perkara tersebut (dari kejahilannya sendiri). Sekiranya dia mengetahui kesalahan yang dia lakukan itu dan disengajakan, maka itu merupakan perbuatan khianat dan dia adalah seorang Syiah yang sememangnya masyhur dengan perlakuan sedemikian dalam mengambil hadis yang bercanggah dengan hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.” [Kitab Mizan I'tidal]
 
Perkataan yang agak ‘keras’ dilafazkan oleh Abu Ismail Abdullah al-Ansari apabila ditanya tentang al-Hakim: “Beliau ialah seorang imam dalam hadis dan juga Rafidhah yang najis.”
 
 
Berkata pula Ibn Thahir al-Maqdisi: “Beliau adalah seorang yang begitu fanatik dalam jiwanya terhadap Syiah. Beliau menampakkan dirinya sunnah dengan mendahulukan para khulafa yang awal, tetapi mula bersikap menyeleweng tentang Mu’awiyah dan ahli keluarganya secara terang dan langsung tidak memohon maaf atas kesalahannya”.
 
al-Zahabi berkata: “Aku mengambil jalan sederhana dengan menyatakan bahawa beliau bukanlah Rafidhah (pelampau Syiah) tetapi hanya sekadar seorang Syiah.” [Kitab Mizan I'tidal]
 
 
Pendapat ini dianggap lemah malah ditolak oleh Ahl al-Sunnah. Ini kerana Mazhab Ahl al-Sunnah tidak menghukum seseorang melainkan pada amal zahirnya. Amalan zahir al-Hakim tidak menunjuk atau mengisyaratkan apa-apa tanda bahawa beliau bermazhab Syiah al-Rafidhah.
 
Perkara paling utama yang boleh dikatakan tentang al-Hakim ialah beliau hanya mengutamakan kecintaan kepada para Ahl al-Bait dan ini dikenali sebagai al-Tasyaiyu’ atau al-Mufadhdhilah.
 
 
Kedua: Bagi usaha mengumpulkan 8,803 buah hadis yang sahih menurutnya. al-Hakim telah mengambil jangka masa yang begitu lama sehingga ke penghujung hayatnya. Dalam jangka masa yang lama ini, sebagaimana kebiasaannya bagi orang yang berusia lanjut mereka tidak begitu mantap dalam menghukum darjat sesebuah hadis, bahkan sering tersilap.  Kecerdasan fikiran yang semakin lemah dan berkemungkinan nyanyuk telah menyebabkan al-Hakim banyak membuat kesilapan di dalam periwayatan hadis dalam al-Mustadrak sehingga ke tahap mensahihkan hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang pernah ditolaknya sendiri dalam kitab yang lain.
Oleh kerana kesilapan yang begitu menjejaskan ini dalam lapangan ilmu hadis, sebahagian ahli hadis menganggap lemah pensahihan hadis al-Hakim sehingga tidak boleh berhujah dengannya melainkan disemak semula.
 
Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (852H) menerangkan: (al-Hakim adalah) seorang imam yang sangat benar dan juga seorang yang sangat bahaya, paling utama yang disebutkan tentangnya adalah dia digolongkan di kalangan orang-orang yang dha‘if. Tetapi telah diperkatakan oleh sebahagian ulama tentang keuzurannya kerana dia menulis kitab al-Mustadrak ketika di penghujung umurnya. Malahan sebahagian yang lain menyebutkan bahawa beliau telah mulai tidak kuat mengingat dan nyanyuk pada usia tersebut.
 
Ketiga: al-Hakim dalam periwayatan hadis agak bermudah-mudahan (tasahul) di dalam mensahihkan sesuatu hadis. Ini sebagaimana terang Ibn al-Shalah rahimahullah (643H): ”Dan dia (al-Hakim) meluaskan syarat penetapan hadis sahih dan mengambil sikap bermudah-mudahan dalam menghukum dengannya.”
 
Ibn Dihyah di dalam kitabnya al-‘Ilm berkata: “Menjadi kewajipan kepada ulama hadis untuk berwaspada pada setiap perkataan al-Hakim Abu Abdullah kerana dia banyak berbuat silap, menzahirkan hadis-hadis yang tertolak.”
 
 
Berkata Abu Sa’id al-Malini: “Aku telah melihat kitab al-Mustadrak yang dikarang oleh al-Hakim daripada mula hingga akhir dan aku tidak jumpa sebuah hadis yang terdapat syarat kedua imam tersebut (al-Bukhari dan Muslim).”
 
Berkata al-Zahabi dalam mengomentari pendapat tersebut: “Ini merupakan pendapat yang melampau oleh al-Malini, sedangkan masih terdapat sejumlah hadis yang menepati syarat kedua imam tersebut dan sejumlah besar lagi mengikut syarat salah seorang dari keduanya. Moga kedua syarat tersebut memenuhi setengah kitabnya, seperempat di kalangan hadis yang sah dari aspek sanadnya sekalipun terdapat sedikit kecacatan, dan seperempat lagi yang mengandungi hadis munkar dan lemah yang tidak sah diamalkan serta selebihnya adalah hadis palsu.” [Tazkirah al-Huffaz] 
 
 

Monday, August 26, 2013

Irsyad al-Muhtadin ila Nushrah al-Mujtahidin (إرشاد المهتدين إلى نصرة المجتهدين)


Kitab Irsyad al-Muhtadin ila Nushrah al-Mujtahidin (إرشاد المهتدين إلى نصرة المجتهدين) merupakan sebuah karya al-Hafiz Jalaluddin Abdul Rahman al-Suyuthi (849-911H) dalam bidang usul fiqh yang membincangkn berkaitan dengan konsep ijtihad.
 
Kitab al-Irsyad ini sebenarnya merupakan sebuah kitab ringkasan (mukhtashar) yang disusun kembali oleh al-Hafiz al-Suyuthi dari kitab karya beliau yang berjudul  al-Rad ‘ala man Akhlada ila al-Ardh wa Jahala an al-Ijtihad fi Kulli ‘Ashr Fardh (الرد على من أخلد إلى الأرض وجهل أن الاجتهاد في كل عصر فرض).

Dalam kitab ini al-Suyuthi telah memperuntukkan 3 bab  yang membincangkan tiga masalah penting yang berkaitan dengan ijtihad. Ia yang dinyatakan oleh al-Suyuthi dalam bentuk persoalan, iaitu;
 
  1. Adakah amalan ijtihad masih berlaku  sekarang atau tidak ?
  2. Adakah  Mujtahid Mutlak   itu sama dengan dengan   Mujtahid Mustaqil ? atau ada perbezaan antara kedua-duanya?.
  3. Adakah setiap Mujtahid itu perlu mengetuai institusi pendidikan mazhab, contohnya mazhab al-Syafi’i ?.
al-Hafiz al-Suyuthi memulakan kitab beliau ini dengan ungkapan;

بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله وكفى، وسلام على عباده الذين اصطفى، وبعد: فقد وقع الكلام الآن في ثلاثة مسائل متعلقة بالاجتهاد...

Manakala dalam penutupnya, al-Suyuthi ada menyatakan;

وقد من الله على بانفرادى بالقيام بغرض الاجتهاد في هذا الوقت وحدى على الانفراد فلله الحمد والمنة... ولا حول ولا قوة الا بالله العلى العظيم وافاض علينا بفيضه العميم انه جواد كريم

Dan diakhiri dengan ungkapan;

...ووافق الفراغ من تعليق هاتين الرسالتين في يوم الثلاث المبارك تاسع عشر شهر جمادى الأول من شهور سنة أربعين وألف من الهجرة النبوية على صاحبها أفضل الصلاة والسلام

Semoga  bermanfaat.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                 

Friday, August 23, 2013

Ayah al-Kubra fi Syarh Qishshah al-Isra’


Kitab Ayah al-Kubra fi Syarh Qishshah al-Isra’  (أية الكبرى في شرح قصة الإسراء) merupakan sebuah kitab karya al-Imam al-Hafizh Jalaluddin Abdul Rahman al-Suyuthi (849-911H), yang memuatkan hadis-hadis yang menerangkan peristiwa Israk dan Mi’raj yang berlaku kepada Nabi Muhammad saw. Kitab ini telah dicetak di Damsyik, Syiria pada tahun 1350H.
 
Untuk mengetahui secara ringkas mengenai kitab ini, kita ikuti petikan pendahuluan Imam al-Suyuthi bagi kitab ini;
 
 
“………… Ini adalah sebahagian karya yang telah saya kumpulkan bagi menjelaskan kisah Isra’ yang saya sampaikan dengan penuh keyakinan. Saya urutkan kisah ini dalam 4 fasal, iaitu;
Pertama; Memaparkan hadis-hadis yang telah diriwayatkan, yang menjelaskan tentang kisah ini. Hal ini didahulukan untuk mengetahui perbezaan hadis-hadis tersebut dari segi lafaznya (terdapat 15 buah hadis yang disebutkan oleh al-Suyuthi).
 
Kedua; Menjelaskan hakikat peristiwa Isra’, adakah ia berlaku pada waktu Nabi saw dalam keadaan jaga ataupun tidur ?. Adakah peristiwa itu berlaku satu kali sahaja atau dua kali, malahan mungkin lebih banyak ?. Adakah Isra’ dan Mi’raj itu peristiwa yang sama atapun peristiwa yang berbeza ?.
Ketiga; Menjelaskan sejarah berlakunya Isra’ dan Mi’raj, sama ada dari segi waktu berlaku ataupun dari segi tempat berlakunya peristiwa tersebut.
 
Keempat; menjelaskan tentang hikmah dan manfaat peristiwa tersebut yang sangat banyak ”.
Imam al-Suyuthi mengakhiri pendahuluannya dengan ucapan; “ Saya menamakan kitab ini dengan nama – Ayah al-Kubra fi Syarh Qishshah al-Isra’. Hanya kepada Allah SWT, saya meminta diterima amal perbuatan ini dan mengharapkan mendapat pahala dari hasil karyaku ini. Semoga Allah SWT memberikan anugerah  yang agung di sisi-Nya, iatu dengan pemberiandan kurniaan-Nya ”.
 
Metod penulisan kitab ini;
 
Penulisan kitab ini dimulakan dengan menyebutkan hadis-hadis sahih yang menjelaskan tentang peristiwa yang berlaku, setelah itu diikuti dengan keterangan tentang peristiwa yang berkaitan dengannya. Hadis-hadis tersebut disusun mengikut tingkat kesahihannya, hadis yang mempunyai sanad yang kuat dan tiada perbezaan pendapat di kalangan ulama akan disebutkan terlebih dahulu. Manakala hadis-hadis yang diperselisihkan para ahli hadis, sama ada dari segi sanad ataupun dari segi matannya disebutkan kemudiannya. Dalam kitab ini Imam al-Suyuthi telah menyebutkan sebanyak 15 buah hadis Rasulullah saw.
Imam al-Suyuthi ketika mengemukakan hadis yang pertama dari riwayat Imam Muslim, beliau menyebutkan;
 
Saya memulakan dengan hadis yang elok dan meyakinkan, ia adalah hadis yang diriwayatkan oleh Hammad bin Salamah daripada Thabit daripada Anas. Hadis ini merupakan hadis yang menceritakan kisah isra’ dan Mi’raj yang lebih elok dan lebih baik dari segala segi dan ia merupakan hadis yang selamat dari pertentangan ulama”.
Sekian catatan ringkas bagi karya Imam al-Suyuthi ini. Semoga bermanfaat.
 
Download kitab Ayah al-Kubra fi Syarh Qishshah al-Isra’  :
Rujukan;
 
Isra’ dan Mi’raj (terjemahan); himpunan dua kitab mengenai Isra’ dan Mi’raj karya Imam Jalaluddin al-Suyuthi dan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani. Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa (2007).

Monday, August 19, 2013

Mukhtashar Minhaj al-Qashidin


Kitab Mukhtashar Minhaj al-Qashidin (مختصر منهاج القاصدين) merupakan sebuah kitab yang membincangkan mengenai kaedah dan prinsip “Tazkiyah al-Nafs” ( penyucian jiwa), yang disusun oleh al-Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi ( ) seorang ulama terkenal dalam mazhab Hanbali.

Kitab Mukhtashar Minhaj al-Qashidin ini, merupakan sebuah ringkasan yang dilakukan oleh Ibn Qudamah al-Maqdisi terhadap kitab Minhaj al-Qashidin -منهاج القاصدين -karya Ibn al-Jawziy. Manakala kitab Minhaj al-Qashidin pula merupakan ringkasan bagi sebuah kitab dalam bidang tazkiyah al-nafs yang terkenal, iaitu kitab Ihya ‘Ulumiddin -إحياء علوم الدين) , karya Hujjah al-Islam Imam Abu Hamid Muhammad bin Ahmad al-Ghazali al-Thusi (505H).

Sebagaimana yang diketahui umum, bahawa kitab al-Ihya merupakan kitab yang terkenal menjadi rujukan utama dalam bidang tasawwuf, penuh dengan berbagai rinci ilmu yang berkaitan penyucian jiwa dalam beragama. Kandungannya menerangkan berbagai hikmat peribadatan yang disyariatkan Allah, menyelami konsep akhlak, zuhud yang sebenar, rasa cinta yang hakiki, merawat hati serta jiwa dan sentiasa memahatkan sifat ikhlas dalam beragama. Namun begitu, di dalamnya juga mengandungi berbagai bentuk kesilapan dari segi pembawaan dalil dengan mengedepankan hadis-hadis yang palsu (maudhu'), dhaif, dan mauquf. Maka, apabila ini berlaku, ia akan membawa kepada banyak syubhat dan penyimpangan di dalam urusan dan tujuan asal, iaitu penyucian jiwa.

Oleh itu, kitab al-Ihya’ telah diringkaskan dan diolahkembali oleh Ibn al-Jawziy  melalui kitabnya Minhajul Qashidin sebagai alternatif baru bagi memastikan kandungan kitab al-Ihya’ dapat diamalkan oleh umat Islam tanpa keraguan dan jauh dari kekhilafan. Kitab Minhaj al-Qashidin ini kemudiannya telah diringkaskan lagi oleh Ibn Qudamah al-Maqdisi dengan membuangkan tajuk-tajuk yang berkaitan aqidah dan fiqh, yang masih dikekalkan oleh Ibn al-Jawziy. Dalam kitab Mukhtashar Minhaj al-Qashidin, beliau hanya mengekalkan tajuk-tajuk yang khususnya mengenai tazkiyah al-nafs. Beliau telah membuat beberapa pembetulan, semakan dan tambahan bagi menyempurnakan kandungan kitab tersebut..

Di antara kandungan yang dipersembahkan untuk pembaca melalui kitab ini adalah berkenaan wajibnya menuntut ilmu, keutamaan ilmu, bahaya tanpa ilmu, persoalan-persoalan asas dalam ibadah seperti penjagaan thaharah dan solat, adab-adab dengan al-Qur'an, dzikir dan doa, berbagai himpunan adab-adab seorang muslim, hakikat persaudaraan, penawar hati, ketenangan jiwa, bimbingan memperbaiki akhlak, bagaimana mengendalikan syahwat, bahaya lidah, mengawal sifat dengki dan emosi, zuhud, mendidik rasa bersyukur dan sabar, menjauhi sifat sombong, ajakkan sentiasa bertaubat, kepentingan tauhid, pentingnya niat dan kejujuran, konsep muraqabah (mendekat diri kepada Allah), tafakur, mengingati mati dan rahmat Allah, dan mencintai Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam.

Prinsip yang dibawakan oleh penyusun kitab ini adalah dengan prinsip yang sahih lagi ilmiah berpandukan al-Qur'an, al-Sunnah, dan kefahaman yang benar di atas jalan Ahlus Sunnah wal-Jama'ah. Kitab ini patut menjadi rujukan dan panduan umat Islam dalam bidang tazkiyah al-nafs, bagi mengelakkan diri dari konsep penyucian jiwa (tazkiyatun nafs) yang menyimpang lagi menyesatkan dan yang tidak bersumberkan dalil agama yang benar dan jelas.

Kitab ini telah diterjemahkan dalam bahasa Melayu / Indonesia dan telah diterbitkan oleh berbagai syarikat penerbitan.

Semoga bermanfaat.

Shafwah al-Tafasir (صفوة التفاسير)

 
Kitab Shafwah al-Tafasir (صفوة التفاسير) merupakan sebuah kitab tafsir semasa karya al-‘Allamah al-Syaikh Muhammad ‘Ali al-Shabuni, bekas pensyarah Kuliyyah Syari’ah dan Dirasat Islamiyyah di Universiti al-Malik ‘Abdul ‘Aziz Makkah al-Mukarramah.

Kitab ini merupakan gabungan di antara tafsir secara ma’thur dan ma’qul yang bersumberkan kepada beberapa kitab tafsir yang muktabar, seperti tafsir al-Thabari, al-Kasysyaf, al-Qurthubi, al-Alusi, Ibn Kathir, al-Bahr al-Muhith dan lain-lainnya.
Ia disusun dengan uslub (gaya bahasa) yang mudah dan sesuai dengan kaedah penulisan moden. Ia juga dilengkapi dengan penerangan makna mufradat (perkataan) dan bentuk balaghah dan bayan lughawiyyah yang terdapat dalam sebahagian ayat.

Berdasarkan kitab tafsir Shafwah al-Tafasir yang ada dalam koleksi saya, iaitu terbitan Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiyyah pada tahun 1993 ia dicetak dalam 3 jilid. Berikut ringkasan kandungan kitab ini;
Jilid 1: surah al-Fatihah - hingga - surah Yunus,
Jilid 2: surah Hud - hingga -  surah Fathir,
Jilid 3: surah Yasin - hingga – surah al-Nas.

Kitab tafsir ini dianggap sebagai sebuah tafsir yang agak ringkas, sesuai menjadi rujukan dalam bidang tafsir oleh masyarakat (yang boleh memahami bahasa Arab). Kitab ini telah menjadi teks dan rujukan para ulama / penceramah bagi kuliah tafsir di masjid dan surau di Malaysia dan di dunia Islam amnya.
Mengenai terjemahan kitab ini, saya tidak pasti adakah ia telah diterjemahkan dalam bahasa Melayu. Setakat ini saya belum mendapat maklumat mengenai edisi terjemahannya. Mungkin ia ada diterjemahkan dalam bahasa Indonesia, kerana aktiviti penterjemahan di Indonesia sangat menggalakkan. Wallahu a’lam.

Semoga bermanfaat.

Friday, August 16, 2013

Manzil


Karya peninggalan ulama yang ingin saya kongsi bersama pembaca pada kali ialah sebuah risalah kecil yang berjudul  “Manzil” (منزيل), iaitu sebuah risalah yang mengandungi himpunan ayat-ayat al-Quran yang pernah diajar oleh Rasulullah saw kepada para sahabat r.’a sebagai penawar kepada beberapa jenis penyakit rohani dan jasmani serta sebagai pelindung dari gangguan jin dan sihir.

Himpunan ayat-ayat al-Quran, yang dikenali sebagai “Manzil” ini telah disusun oleh Syaikh al-Hadith Mawlana Muhammad Zakariyya al-Kandahalawi () seorang tokoh utama bagi gerakan dakwah yang terkenal dengan nama “Jamaah Tabligh” yang berasal dari India.

Penyusunan “Manzil” ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al-Hakim dan al-Tilmizi dari Ubai bin Ka’ab yang meriwayatkan;

“ Sewaktu bersama Rasulullah saw, seorang badwi telah datang kepada baginda dan berkata; “ Wahai Rasulullah ! saya mempunyai seorang saudara yang ditimpa penyakit ”. “Penyakit apa ?”, Tanya Rasulullah saw. “ Sejenis penyakit gila ”, jawab orang tersebut. Rasulullah saw menyuruh orang itu membawa saudaranya. Kemudian baginda membaca;

1.     Surah al-Fatihah (al-Fatihah: 1-7),
2.     5 ayat pertama surah al-Baqarah (al-Baqarah: 1-5),
3.      Ayat yang bermula dengan “Wa ilahukum ilahum wahid…. (al-Baqarah: 163),
4.      Ayat Kursi dan 2 ayat seterusnya (al-Baqarah: 255-57),
5.      3 ayat terakhir surah al-Baqarah (al-Baqarah: 284-286),
6.      Ayat “ Syahidallah annahu…. (Alu ‘Imran: 18),
7.      Ayat terakhir surah al-Mukminun (al-Mukminu: 115-118),
8.     Ayat dari surah al-Jin (al-Jin: 1-4),
9.      10 ayat pertama surah al-Shaffat (al-Shaffat: 1-11),
10.  3 ayat terakhir surah al-Hasyr (al-Hasyr: 21-24),
11.   Surah al-Ikhlas
12.  Surah al-Falaq
13.  Surah al-Nas.

Selepas itu, orang yang berpenyakit itu bangun dan pergi  dari tempat tersebut, sedangkanpemyakit yang dideritai itu telah hilang ”.

Di samping ayat-ayat yang disebutkan di dalam hadis di atas, saya dapati kandungan “Manzil” juga terdapat tambahan ayat-ayat lain – yang berdasarkan hadis-hadis lain – bagi menyempurnakan susunannya. Ayat-ayat lain ialah;

           1.       Alu ‘Imran: 26-27,
          2.      Al-A’raf: 54-56,
          3.      al-Isra’: 110-111,
          4.      al-Rahman: 33-40,
          5.      al-Kafirun: 1-6.

Berikut saya lampirkan petikan surat dari Maulana Muhammad Thalhah bin Syaikh al-Hadith Mawlana Muhammad Zakariyya mengenai kelebihan mengamalkan “ Manzil ”.

“Ayat-ayat al-Quran yang terdapat di bawah ini, terkenal di dalam keluarga kami sebagai “Manzil”. Alim-ulama dalam keturunan kami telah member keutamaan kepada ayat-ayat tersebut, sama ada dalam doa ataupun amal. Telah menjadi kebiasaan bagi keluarga kami untuk melatih anak-anak kami mempelajari ayat-ayat “Manzil”.

Kelebihan dan keberkesanan ayat-ayat al-Quran dan doa yang diajar oleh Rasulullah saw tentu sekali tidak dapat dipertikaikan, jika dibandingkan dengan azimat dan tangkal. Oleh sebab itu, kita harus mengutamakan kedua-duanya dalam amal.

Rasulullah saw telah mengajar doa untuk memenuhi segala hajat atau keperluan sama ada duniawi atau ukhrawi. Begitu juga telah menjadi amalan kepada alim ulama untuk membaca ayat-ayat tertentu bagi memenuhi hajat mereka.

Amalan membaca “Manzil” ini boleh memberikan perlindungan dari gangguan syaitan dan sihir. Ini telah dibuktikan dari banyak pengalaman. Amalan seumpama ini (dengan tambahan atau kurang dari ini) telah disebut dalam kitab-kitab “al-Qawlul al-Jamil” dan “Behisti Zewar”.

Al-Muhaddis Syah Waliyullah telah menulis dalam kitabnya “Qawlul Jamil” bahawa; “ 30 ayat tersebut akan menyelamatkan seseorang dari bahaya sihir. Di samping itu, seseorang pembaca akan dapat perlindungan dari bahaya syaitan, pencuri, binatang buas dan lain-lain”.

Mawlana Ashraf ‘Ali Thanawi menulis dalam kitabnya “Behisthi Zewar”; “ Jika dikhuatiri seseorang telah terkena sihir atau dirasuk syaitan, tulis ayat-ayat tersebut dan gantungkannya pada leher pesakit. Jika terdapat gangguan syaitan atau sihir di dalam rumah, percikkan air (yang telah dibacakan ayat-ayat manzil) tersebut kepada keempat-empat penjuru rumah”.

“….Suatu perkara yang sangat penting dalam mengamalkan aya-ayat Manzil ialah anda perlu membacanya dengan penuh tawajjuh. Sejauh mana seseorang mempunyai keimanan dan keyakinan terhadap Allah SWT, sejauh itulah amalan ini akan member manfaat. Tidak syak lagi, bahawa nama-nama Allah SWT dan kalimat-kalimat-Nya mengandungi terlalu banyak berkat ”.
 
Risalah Manzil kini banyak dicetak dan dijual oleh berbagai penerbitan di Malaysia

Semoga bermanfaat.

Sumber:  Syeikhul Hadith Maulana Muhammad Zakaria (2010), Manzil Rasam Uthmani, Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa.

Mukhtashar Tafsir al-Sya'rawi (مختصر تفسير الشعراوي)


Pada hari raya ‘Idil Fitri yang lalu, saya dan keluarga pulang beraya di kelantan. Seronok rasanya dapat beraya bersama sanak-saudara di sana. Sudah lama kami tidak balik beraya di Kelantan, rasanya sudah enam atau lima tahun kami beraya di perantauan di negeri Sabah.
Sebelum balik ke Sabah, kami sempat menjengok sekejap ke Kota Bharu. Saya mengambil kesempatan masa yang ada singgah di kedai buku tersohor di Kota Bharu, iaitu Syarikat Ja’afar Rawas. Ketika membelek-belek dan membaca sinopsis beberapa buah buku, saya terpandang sebuah set buku berbahasa ‘Arab dalam 3 jilid yang berjudul Mukhtashar Tafsir al-Sya’rawi (مختصر تفسير الشعراوي). Tergerak hati saya menghampirinya dan melihat sepintas lalu kandungannya. Kitab ini merupakan sebuah ringkasan Tafsir al-Sya’rawi yang masyhur itu.

Saya termenung sekejap, rasa mahu memilikinya, lihat harganya lebih kurang RM100 lebih. Agak berpatutan harganya. Mungkin boleh dirunding lagi harganya, agak saya.
Sebenarnya sudah lama saya ingin memiliki Tafsir al-Sya’rawi, sebuah karya tafsir kontemporeri milik al-‘Allamah al-Mufassir al-Syaikh al-Imam Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi, seorang tokoh tafsir yang terkenal dari Mesir (). Mengenai tafsir ini, sebelum ini  telah saya paparkan secara ringkas dalam blog ini.
Namun, untuk memiliki kitab Tafsir al-Sya’rawi secara keseluruhannya, rasanya agak besar belanjanya. Mungkin saya belum sanggup mengeluarkan belanja begitu besar, kerana masih ada keperluan yang lain yang lebih penting.
Akhir tahun lalu, desakan hati ingin memiliki kitab tafsir ini, semakin kuat apabila saya melihat terjemahan kitab ini dalam bahasa Indonesia ada dijual sebuah kedai buku di Sandakan. Ada 5 buah jilid (jilid 1-5) semuanya. Agak lama saya berfikir mahu beli atau tidak. Pada minggu berikutnya baru saya membuat keputusan membelinya. Memadailah setakat ini dengan lima jilid ini, harganya pun lebih RM300.

Pengenalan Ringkas Kitab Mukhtashar Tafsir al-Sya’rawi……

Kembali kepada kitab Mukhtashar Tafsir al-Sya’rawi. Kitab ini merupakan ringkasan yang telah dilakukan oleh anak kepada al-Syaikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi sendiri, iaitu ‘Abdul Rahim bin Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi. Kitab ini telah diterbitkan dalam 3 jilid, oleh Dar al-Tawfiqiyyah li al-Turath, Kaherah, Mesir pada tahun 2009.
Dalam prakata kitab ini, peringkasnya menerangkan tujuan kitab ini disusun, iaitu untuk memudahkan pembaca mengambil manfaat dari kitab Tafsir al-Sya’rawi, kerana kitab asalnya agak tebal yang merangkumi banyak jilid yang boleh membantut minat para peminat tafsir ini untuk memiliki, membaca dan mengambil manfaat dari kitab tafsir ini.

Di dalam penyusunan kitab ini, beberapa perkara telah dilakukan oleh peringkasnya, iaitu;
  1. Menghilangkan beberapa ibarat yang berulang-ulang, kecuali yang tidak dapat dielakkan masih dikekalkan.
  2. Menghilangkan hadis-hadis yang didapati dha’if dan mawduk.
  3. Membuatkan pentakhrijan hadis, dan menerangkan darjat bagi setiap hadis dalam tafsir ini, serta meletakkan baris bagi setiap hadis.
  4. Meletakkan tajuk-tajuk yang menerangkan maksud bagi setiap ayat yang ditafsirkan.
  5. Mengekalkan intipati tafsiran ayat dan menghilangkan huraian-huraian yang panjang lebarnya.
  6. Menerangkan sebahagian pengertian kalimah yang terdapat dalam tafsir ini.
Sebagaimana yang disebutkan di atas, kitab ini diterbitkan dalam 3 jilid. Berikut kandungannya bagi setiap jilid;

  1. Jilid 1: Muqaddimah pengarang, Tafsir al-Isti’azah, Tafsir surah al-Fatihah hingga  surah al-An’am.
  2. Jilid 2: Tafsir surah al-A’raf hingga surah al-Nur.
  3. Jilid 3: tafsir surah al-furqan hingga surah al-Nas.
Setelah membaca sebahagian tafsir ini, saya berpendapat agak berbaloi saya membelinya, dan saya cadangkan para pembaca yang memahami bahasa ‘Arab patut memiliki.

Kekurangan kitab ini….

Setelah saya membaca sepintas lalu kitab ini, saya dapati sebahagian ayat (khususnya ayat-ayat yang berulang)  tidak dinyatakan tafsirannya, peringkas hanya memadai menyatakan ayat ini telah diterangkan sebelumnya. Pembaca diminta merujuk kembali kepada ayat sebelumnya. Namun,  adakalanya hanya dinyatakan tafsiran ayat ini telah diterangkan sebelumnya tanpa dinyatakan nama surah dan ayatnya. Ada juga dinyatakan nama surah sahaja tanpa ayatnya. Keadaan ini menyulitkan pembaca untuk membuat rujukan kembali tafsiran ayat tersebut.
Tafsiran ayat yang berulang dihilangkan adalah logik dan perlu kerana bertujuan peringkasan, namun rujukan yang tepat perlu dinyatakan agar manfaat kitab ini dapat diambil sebagaimana kitab asalnya.
Setakat pengetahuan saya kitab ini belum lagi diterjemahkan dalam bahasa Melayu atau Indonesia.
Sekian sahaja catatan ini, semoga bermanfaat.