Wednesday, July 24, 2013

Kitab Ikhtilaf al-Hadith (اختلاف الحديث)


1.0 Pendahuluan

Kitab Ikhtilaf al-Hadith (اختلاف الحديث) karya Imam al-Syafi’i atau nama penuhnya Muhammad bin Idris bin Uthman al-Syafi’i (150-204H) merupakan sebuah karya perintis yang  membincangkan topik perbezaan hadis. Pengkaji barat Joseph Schacht (1950), dalam bukunya The Origin Of Muhammadan Jurisprudence[1] menyebut karya ini sebagai karya terakhir- yang ditulis oleh al-Syafi’i. Edisi terawal kitab Ikhtilaf al-Hadith ialah yang dicetak di tepi jilid ketujuh kitab al-Umm, yang diterbitkan oleh Dar al-Sya'b, Kaherah pada tahun 1968. Edisi kedua pula adalah yang diedit oleh 'Amir Ahmad Haydar dan diterbitkan oleh Mu'assasah al-Kutub al-Thaqafiyyah, Beirut pada tahun 1985. Edisi ketiga diedit oleh Muhammad Ahmad 'Abd al-'Aziz, diterbitkan oleh Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, Beyrut pada tahun 1986.


2.0 Nisbah Karya Kepada al-Syafi’i
Secara umum karya-karya al-Syafi’i yang diriwayatkan oleh para pengikutnya terbahagi kepada dua bahagian. Pertama, kitab-kitab yang dinisbahkan secara langsung oleh sejarawan sebagai karangan atau penulisan beliau. Kedua, kitab-kitab yang dikarang oleh pengikut-pengikutnya[2]. Karya dalam kategori pertama adalah hasil olahan idea serta gaya penulisan beliau sendiri. Kitab al-Umm, al-Risalah dan Ikhtilaf Malik wa al-Syafi’i adalah antara karya dalam kategori ini. Manakala kategori kedua adalah hasil karya pengikutnya sama ada melalui metode ikhtisar mahupun huraian. Isi kandungan karya kategori ini bersandarkan gagasan al-Syafi'i tetapi mempersembahkan melalui gaya penulisan pengarangnya. Kitab Mukhtasar al-Buwayti dan Mukhtasar al-Muzani antara karya dalam kategori ini.

Merujuk kepada kitab Ikhtilaf al-Hadith, karya ini adalah karya dalam kumpulan pertama iaitu karangan al-Syafi’i. Walau bagaimanapun, jika diperhatikan pada permulaan setiap bab dalam kitab ini, ianya dimulakan dengan frasa akhbarana al-Rabi': qal al-Syafii atau haddathana al-Syafi'i. 

Siapakah al-Rabi'?

Bagaimanakah terbinanya frasa-frasa ini dan adakah frasa seperti ini secara tidak langsung menafikan karya Ikhtilaf al-hadith ditulis oleh beliau ?

Untuk menjelaskan persoalan ini, perlu diperhatikan kaedah pedagogi pendidikan pada abad kedua hijrah. Majlis-majlis ilmu atau kuliah-kuliah pengajian pada waktu ini didominasi perlaksanaannya melalui metode mendengar (periwayatan). Guru dan pelajar-pelajar berhalaqah dan proses pemindahan maklumat berlaku melalui pengucapan lisan atau pembacaan dari kitab, soal-jawab dan imlak. Implikasi daripada kaedah ini melahirkan rangkaian atau silsilah perawi kitab kerana para pelajar memindahkan maklumat dengan cara mendengar kemudian mencatat atau menyalin dan kemudian disemak semula oleh gurunya. Proses ini terlaksana pada peringkat al-Syafi’i dan murid-muridnya termasuk Rabi' bin Sulaiman dan berkesinambungan pada peringkat al-Rabi' bin Sulaiman dan murid-muridnya pula sehingga seterusnya[3]

Pernyataan di atas dianggap sebagai hipotesis yang tepat untuk menjelaskan penemuan frasa seperti haddathana al-Rabi' qal: qal al-Syafi'i dalam Ikhtilaf al-Hadith mahupun karya-karya yang lain seperti al-Risalah dan al-Umm. Implikasi daripada pendekatan pedagogi terdahulu yang memandang berat terhadap akuan meriwayatkan karya mewujudkan istilah haddathana atau akhbarana. Istilah ini mengisyaratkan akuan kebenaran yang menunjukkan seseorang perawi menerangkan bagaimana dia telah mendapat maklumat tersebut iaitu melalui kaedah mendengar tadi dan berhak untuk menyampaikannya.

Status maklumat dalam karya Ikhtilaf Hadith sama ada boleh dipertanggungjawabkan, dilihat kepada kredibiliti sumber maklumat, perawi kitab iaitu al-Rabi' bin Sulaiman. Ulama secara kolektif mengiktiraf al-Rabi' bin Sulaiman bin 'Abd al-Jabbar bin Kamil al-Muradi (174-270H) adalah sahabat dan murid yang dipercayai mempunyai autoriti terhadap pendapat al-Syafi’i. Beliau disifatkan sebagai perawi terbaik untuk kitab al-Syafi'i[4]

Beliau komited dalam meriwayatkan karya-karya al-Syafi’i[5] khususnya dalam tempoh enam puluh enam tahun selepas kewafatan al-Syafi'i. Malah beliau menjadi pakar rujuk kepada para ulama untuk mengetahui doktrin-doktrin pemikiran al-Syafi’i menerusi karya-karyanya[6].  Manakala Abu Zur'ah pula dilaporkan mendengar karya-karya al-Syafi’i melalui al-Rabi' bin Sulaiman[7].

Autoriti al-Rabi' bin Sulaiman sebagai jurutulis merangkap jurucakap al-Syafi'i dipertimbangkan melalui penghormatan al-Syafii sendiri yang dilaporkan berkata : "Aku sangat menyenangi dirimu," dan "Tiada seorang yang berkhidmat denganku sebaik khidmat al-Rabi' bin Sulaiman. al-Buwayti rakan seperguruan al-Rabi' bin Sulaiman antara lain mengulas bahawa al-Rabi' bin Sulaiman lebih berpengetahuan daripadanya berhubung hal-ehwal al-Syafi'i. Malah jika berlaku sebarang perbezaan maklumat di antara pengikut al-Syafi'i, akan didahulukan riwayat yang bersumberkan daripada al-Rabi' bin Sulaiman sekalipun ke atas riwayat al-Muzani, tokoh fiqh terkemuka mazhab al-Syafi’i.

Identiti sebagai perawi thiqah di kalangan muhaddithin turut mengukuhkan lagi kredibiliti beliau. al-Nasa'i mengisyaratkan beliau sebagai la ba'sa bih. aI-Khattab menyifatkan beliau thiqah. Ibn Abi Hatim mengistilahkan beliau sebagai saduq. Selain Ikhtilaf al-Hadith, al-Rabi' bin Sulaiman juga perawi kepada al-Risalah dan al-Umm.

Justeru ungkapan akhbarana al-Rabi' qal al-Syafi’i pada permulaan kandungan kitab atau di tengah-tengahnya, mengisyaratkan bahawa karya ini adalah karangan al-Syafi’i yang disebarkan oleh al-Rabi' bin Sulaiman dan mereka yang mendengarnya daripada al-Rabi' bin Sulaiman.

Karya Ikhtilaf al-Hadith secara lengkapnya diriwayatkan oleh Abu Muhammad al-Hasan bin 'All bin Muhammad bin al-Hasan al-Jawhari daripada Abu 'Umar Muhammad bin al-‘Abbas bin Muhammad bin Zakariyya bin Hayawiyyah daripada Abu Bakr Ahmad bin 'Abd Allah bin Sayf al-Sijistani daripada al-Rabi’ bin Sulaiman daripada al-Syafi’i. Silsilah perawi ini memperkukuhkan bahawa karya Ikhtilaf al-Hadith adalah salinan kenyataan-kenyataan al-Syafi’i dan boleh dipertanggungjawabkan.

Selain daripada itu tinjauan menyeluruh mendapati terdapat frasa-frasa seperti fi kitabi hadza dan wa katabi fi kitab khair hadza yang menunjukkan secara langsung bahawa karya ini adalah hasil karangan beliau. Transformasi maklumat berlaku ketika beliau merencanakan (mengimlakkan) semula kepada murid-muridnya.

Perbincangan di atas mengesahkan bahawa kitab Ikhtilaf al-Hadith dikarang oleh al-Syafi’i dan disebarkan melalui metode silsilah perawi kitab berteraskan kaedah pendengaran yang bercirikan aktiviti pembacaan dan rencana. Berasaskan persepsi yang menganggap sumber maklumat adalah parameter terpenting kepada nilai sesuatu maklumat melahirkan keperluan kepada pengetahuan silsilah perawi kitab. Pendekatan ini adalah dipengaruhi oleh sistem isnad dalam periwayatan hadis.

al-Suyuti dalam Tadrib al-Rawi mengulas bahawa al-Syafi'i tidak berhasrat untuk mengkhususkan karya ini sebagai satu buku berasingan, tetapi ia adalah sebahagian daripada kandungan al-Umm. Walau bagaimanapun, Ahmad Muhammad Syakir menafikan kenyataan ini. Beliau menjelaskan perbahasan yang begitu banyak berkenaan perbezaan hadis dikarang secara khusus oleh al-Syafi’i menerusi kitab Ikhtilaf al-Hadith sekalipun ia dicetak bersama-sama al-Umm di tepi jilid yang ke tujuh[8]. Muhammad bin Ishaq al-Nadim, antara pengarang terawal yang menulis berkenaan perkembangan ilmu-ilmu dan karya-karyanya, menerusi al-Fihris yang dikarang sekitar tahun 377 H, menyenaraikan kitab Ikhtilaf al-Hadith dalam kategori karya al-Syafi’i di samping al-Umm dan al-Risalah.

Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitab Tawali al-Ta’sis bersumberkan daripada al-Baihaqi turut menyenaraikan Ikhtilaf al-Hadith sebagai antara karya al-Syafi’i selain al-Risalah dan al-Umm. Umum mengetahui bahawa al-Baihaqi adalah tokoh yang berpengetahuan luas tentang hal-ehwal al-Syafl'i menerusi karyanya Manaqib al-Syafi'i. Manaqib al-Syafi’i oleh al-Bayhaqi menjadi rujukan utama para ulama untuk menyelidik latar belakang al-Syafi’i dalam pelbagai aspek bermula daripada salasilah keluarga sehingga peranan dan sumbangan al-Syafi’i dalam pelbagai disiplin ilmu. Kewibawaan sumber-sumber yang dibincangkan di atas menolak Ikhtilaf al-Hadith sebagai sebahagian daripada kandungan al-Umm seperti yang diulas oleh al-Suyuti. Sebaliknya Ikhtilaf al-Hadith adalah satu unit karya daripada karya-karya al-Syafi’i. 


3.0 Metodologi Penulisan Ikhtilaf al-Hadith

3.1 Objektif Penulisan

Dilihat kepada tajuk Ikhtilaf al-Hadith, al-Syafii sebenarnya berhasrat untuk menjelaskan pandangan dan pemikiran beliau berhubung isu hadis yang khilaf di antara satu sama lain. Beliau menyatakan di akhir mukadimah kitab ini bahawa khilaf yang berlaku terhadap hadis bukanlah berlaku secara hakiki tetapi secara zahir sahaja. Kemudian beliau mendedahkan  kaedah-kaedah yang menurut beliau berhasil dalam menangani isu.

3.2 Isi Kandungan dan Metodologi Penyusunan

Karya Ikhtilaf al-Hadith dimulakan dengan mukadimah yang panjang iaitu dalam tiga puluh dua muka surat daripada kandungan buku, tetapi tidak disertai penutup. Mukadimah karya ini banyak membincangkan autoriti hadis menerusi perspektif al-Qur'an, autoriti hadis ahad sebagai sumber hukum dengan mengemukakan hujah-hujah penerimaan hadis ahad oleh para sahabat, tabi'in dan tabi' tabi'in. Beliau mengakhiri mukadimah tersebut dengan menyebut beberapa prinsip yang menjadi teras dalam usaha atau percubaan beliau mengharmonikan mukhtalaf al-hadith.  al-Syafi’i menyenaraikan 79 bab berkaitan dengan permasalahan fiqh dalam kitab Ikhtilaf al-Hadith iaitu dimulakan dengan Bab Perbezaan Dalam Perkara Mubah dan ditamatkan dengan Bab Khilaf Pendapat Terhadap Bab Kemalangan Oleh Haiwan Tiada Ganti Rugi.

Justeru kitab Ikhtilaf al-Hadith tidak mengumpul sepenuhnya kes-kes khilaf antara hadis seperti persoalan akhlak, akidah, adab dan kezuhudan. al-Syafi’i didapati memilih sejumlah hadis-hadis yang berkaitan dengan isu-isu fiqh sebagai contoh kes untuk menangani mukhtalif al-hadith. Bab-bab fiqh ini tidak disusun menurut susunan bab-bab fiqh yang lazim sebaliknya persoalan-persoalan fiqh ini disentuh secara rawak. Misalnya selepas beliau membincangkan Bab Bacaan Dalam Solat dan disusuli oleh tajuk-tajuk lain dan kemudian beliau membincangkan Bab Solat Di belakang Saf  Bersendirian. Sedangkan kedua-duanya di bawah satu topik iaitu solat. Dengan perkataan lain bab-bab tersebut tidak disusun secara yang berhubung rapat antara suatu permasalahan dengan satu permasalahan yang lain. Kadang-kadang antara satu bab ke satu bab yang lain sangat jauh kaitannya.

Penulisan kitab Ikhtilaf al-Hadith juga tidak disusun menurut kategori penyelesaian mukhtalif al-hadith sama ada al-jami', al-naskh mahupun al-tarjih. Contohnya dalam bab pertama beliau membincangkan bab yang berkaitan al-jami' diikuti al-naskh dan kemudian kembali membincangkan al-jam' serta al-naskh. Ini menunjukkan al-Syafi’i mengabaikan penyusunan kitab Ikhtilaf al-Hadith secara efisien. Walau bagaimanapun diandaikan ketidaksusunan bab dan penulisan berpunca daripada al-Syafi'i tidak menulis serta merencananya dalam satu masa sekali gus. 

3.3 Penghuraian Topik 

al-Syafi’i memulakan penulisannya dengan menyatakan tajuk terlebih dahulu seperti Bab Tasyahhud. Kemudian disenaraikan hadis-hadis berkaitan topik yang tampak khilaf di antara satu sama ain. Beliau tidak menghadkan dengan mengemukakan dua hadis yang tampak khilaf, tetapi mengumpul sebanyak mungkin hadis yang berkaitan. Misalnya dalam topik perbuatan mandi hari Jumaat, beliau membawakan 5 hadis. Di samping hadis, al-Syafi’i juga mengukuhkan hujah beliau dengan ayat-ayat al-Qur'an yang berkaitan dengan topik. 

3.4 Periwayatan Hadis 

Hampir ratusan hadis yang dihujahkan dalam karya ini diberikan sanad lengkap melalui saluran beliau menerusi anak muridnya al-Rabi' bin Sulaiman. Antara contoh jalur periwayatan tersebut secara umumnya bermula seperti dari al-Rabi' bin Sulaiman daripada al-Syafi’i daripada 'Abd al-'Aziz bin Muhammad daripada Zayd bin Aslam daripada 'Atha' bin Yasar daripada Ibn 'Abbas berkata :

Rasulullah s.a.w berwuduk pada mukanya, kedua-dua tangannya dan menyapu kepalanya dengan sekali-sekali ”.

Status hadis-hadis tersebut adalah hadis yang diterima kecuali beberapa hadis yang sedia diketahui daif oleh al-Syafi’i yang dikemukakan untuk tujuan pendedahan dan penolakan. Selain itu kebanyakan hadis yang diriwayatkan turut diiringi oleh atsar yang berfungsi sebagai syawahid dalam memberikan tafsiran yang tepat terhadap makna sesuatu hadis. Justeru dalam satu-satu topik yang dibincangkan, al-Syafi’i secara tidak sengaja mengumpul sejumlah data yang penting berkenaan sesuatu topik yang menjadi sumber dalil untuk memutuskan jawapan yang tepat dalam menangani khilaf yang berlaku antara hadis-hadis tersebut. Misalnya lapan hadis dalam Bab Berpuasa Dan Berbuka Ketika Bermusafir dan tujuh hadis dalam Bab Puasa Hari 'Asyura


4.0 Perbandingan Antara Ikhtilaf al-Hadith Oleh al-Syafi’i, Ta'wil Mukhtalaf al-Hadith Oleh Ibn Qutaibah dan Musykil al-Atsar Oleh al- Thahawi.

Menurut Usamali' bin Khayyat, perbezaan dan persamaan antara Ikhtilaf al-Hadith oleh al-Syafi’i, Ta'wil Mukhtalaf al-Hadith oleh Ibn Qutaibah dan Musykil al-Atsar oleh al- Thahawi dapat dikenal pasti menerusi perkara-perkara berikut[9]

i. Objektif Penulisan

Objektif al-Syafi’i menulis kitab Ikhtilaf al-Hadith kerana ingin menjelaskan konsep sebenar hadis yang tampak berbeza antara satu sama lain serta menunjukkan kaedah-kaedah penyelesaiannya. Beliau membataskan perbincangan sekitar persoalan mukhtalaf al-hadith sahaja dan tidak membabitkan musykil al-hadith.

Manakala Ibn Qutaybah menyatakan bahawa kitab Ta 'wil Mukhtalaf al-Hadith dihasilkan sebagai maklum balas terhadap golongan yang memusuhi ahli hadis berhujah perbezaan antara hadis dan mendakwa hadis bercanggah dengan al-Qur'an, ijmak, qiyas dan akal. Justeru Ibn Qutaybah telah meluaskan penulisannya kepada musykil al-hadith sekalipun menamakan karyanya Ta'wil Mukhtalaf al-Hadith. Nafidh Hammad Husain berpendapat adalah lebih tepat jika beliau menamakan karyanya Ta'wil Musykil al-Hadith.

al-Thahawi pula menghasilkan kitab Musykil al-Atsar untuk memberi penjelasan terhadap kemusykilan hadis secara umum termasuk kemusykilan yang membabitkan mukhtalaf al-hadith. Secara komparatif objektif al-Syafi’i ialah untuk merintis kaedah yang sepatutnya dituruti untuk mengatasi perbezaan hadis. Objektif Ibn Qutaibah lebih responsif terhadap tohmahan ahli Kalam. Manakala al- Thahawi merangkumi kedua-dua objektif di atas malah lebih menyeluruh huraiannya. Daripada segi topik isi kandungan, perbincangan al-Syafi’i terhad kepada permasalahan fiqh. Ibn Qutaybah dan al-Thahawi meluaskan kupasan dengan membabitkan hadis tentang akidah, adab, sirah, iman, akhlak dan lain-lain di samping fiqh. 

ii. Metode Penyusunan lsi Kandungan  

al-Syafi’i, Ibn Qutaybah dan al-Thahawi tidak menyusun topik-topik isi kandungan penulisan mereka sama ada menurut susunan bab-bab fiqh atau huruf mu'jam mahupun metode susunan yang lain.  

iii. Mekanisme Penyelesaian Mukhtalaf al-Hadith khasnya atau Musykil al-Hadith umumnya. 

al-Syafi'i, Ibn Qutaibah dan al-Thahawi menggunakan kepakaran masing-masing dalam berhujah untuk mengatasi mukhtalaf al-hadith dan musykil al-hadith. Ibn Qutaibah merupakan tokoh dalam bidang sastera, bahasa dan syair. Justeru beliau lebih banyak berhujah dengan aspek-aspek tersebut berbanding penggunaan dalil-dalil al-manqul. Berkenaan hadis, Ibn Qutaibah dianggap bukan hafidz hadis oleh al-Dzahabi. Beliau tidak menyenaraikan Ibn Qutaybah dalam Tadzkirah al-Huffaz.

Sehubungan dengan itu Nafidh Hammad Husain mendapati Ibn Qutaybah menganggap hadis daif berbeza dengan hadis sahih. Sedangkan telah jelas bahawa hadis daif tidak dikira berbeza dengan hadis sahih kerana kedaifannya menyebabkannya tertolak sebagai hujah atau dalil. al-Syafi’i dan al-Thahawi merupakan tokoh fiqh dan hadis. Justeru hujah-hujah yang diutarakan lebih kepada penggunaan dalil-dalil seperti al-Qur'an, Hadis dan al-Atsar (manqul) di samping dalil-dalil ma'qul. Usamah bin 'Abd Allah al-Khayyat merumuskan bahawa ketiga-tiga pengarang bersamaan dalam penggunaan kaedah teras menangani mukhtalaf al-hadith dan musykil al-hadith iaitu al-jam', al-naskh dan al-tarjih tetapi ditulis menurut uslub dan gaya penulisan masing-masing. 


5.0 Kesimpulan 

Resensi di atas menjelaskan bahawa Ikhtilaf al-Hadith adalah karya al-Syafi’i yang pertama membincangkan tentang mukhtalaf al-hadith. Karya ini memfokuskan perbincangannya terhadap sejumlah hadis-hadis yang tampak berbeza tentang isu-isu fiqh. Berasaskan kepada pembahagian bab, karya ini tidak disusun menurut sistematik topik-topik fiqh yang lazim. Malah karya ini juga tidak mempunyai metode susunan penulisan yang khusus. Walau bagaimanapun dibandingkan dengan perkembangan penulisan ketika itu, karya ini boleh dianggap terkehadapan pada tahapnya. 


Nota:

Artikel di atas dipetik dan diedit dengan beberapa perubahan, namun tidak mengubah isi kandungan asalnya - dari satu artikel yang berjudul Ilmu Mukhtalif al-Hadith Asy-Syafi’i, yang disiarkan dalam beberapa bahagian, yang bermula bahagian 1 di pautan http://ibnnajib.blogspot.com/2011/04/ilmu-mukhtalif-al-hadith-asy-syafii.html. Manakala artikel di atas dipetik dari bahagian 4 dengan judul kecilnya Latar Belakang Kitab Ikhtilaf al-Hadith asy-Syafi’i yang boleh terus dilayari di pautan http://ibnnajib.blogspot.com/2011/07/ilmu-mukhtalif-al-hadith-asy-syafii.html. Sila layari artikel asalnya untuk manfaat yang lebih luas. 
Tambahan; 
1. Download dan baca artikel yang berkaitan  di pautan http://studentsrepo.um.edu.my/2790/
4. Kitab Ikhtilaf al-Hadith dalam bentuk  file elektronik boleh didownload di pautan berikut; http://adel-ebooks.sheekh-3arb.info/showthread.php?p=3519#post3519

Semoga bermanfaat.

[1] Joseph Schacht (1950), The Origin Of Muhammadan Jurisprudence. London : Oxford University Press, h. 99 dan 300.
[2] Muhammad Abu Zahrah (U), al-Syafi’i. Beyrut: Dar al-Fikr, h. 138-139.
[3] Abu Bakr Ahmad bin al-Husayn al-Bayhaqi (1970), Manaqib al-Syafi’i, j. 1, h. 37-40. 
[4] Abd al-Wahhab bin 'All bin 'Abd al-Kafi al-Subki (1964), Tabaqat al-Syafi'iyyah al-Kubra, j. 2 Kaherah : 'Isa al-Babi' al-Halabi, h. 133. Lihat juga Muhammad Abu Zahrah (U), op.cit., h. 145.
[5] Abu Zakariyya Muhi ad-Din bin Syaraf al-Nawawi (1966), Tahdhib al-Asma , wa al-Lughat, j.1 Kaherah : Idarat al-Tiba'ah al-Muniriyyah, h. 188. 
[6] Abu Bakr bin Hidayah Allah al-Husaini, (1971), Tabaqat al-Syafi'iyyah. Beirut : Dar al-Ataq al-Jadidah, h. 24.
[7] Abu Zakariyya Muhi ad-Din bin Syaraf al-Nawawi (1966), Tahdhib al-Asma , wa al-Lughat, j.1 h. 188.
[8] Ahmad Muhammad Syakir, (1983), al-Ba'ith al-Hathith Syarh Ikhtisar 'Ulum al-Hadith. Beirut: Dar al-Kutub al-'I1miyyah, h. 169.
[9] Usamah bin 'Abd Allah al-Khayyat (2001), Mukhtalaf al-Hadith Bayn al-Muhaddithin wa al-Usuliyyin al-Fuqaha', Beirut: Dar Ibn Hazm, h. 373.

3 comments:

  1. Req dong tolong review kitab tafsirnya imam Ath Thahawi

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Salam. Terima kasih kerana mengujungi laman ini. Saya tidak mendapat maklumat mengenai kitab تفسير الطحاوي. Namun begitu saya ada menemui sedikit makumat mengenai kitab tafsir ayat-ayat hukum karya Imam al-Thahawi yg berjudul "Ahkam al-Quran" (أحكام القرآن). saya ada membuat sedikit catatan mengenainya di pautan
    http://abusyahmin.blogspot.my/2016/11/kitab-ahkam-al-quran.html?m=1

    ReplyDelete