Sunday, June 16, 2013

Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj


Kitab Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj  merupakan sebuah kitab fiqh yang terkenal, yang menjadi rujukan para ulama mazhab al-Syafi’i pada zaman mutaakhir. Kitab ini adalah karya al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Makki al-Haytami (909-973H), yang lebih terkenal dengan panggilannya Ibn Hajar al-Haytami.

Kitab yang lebih dikenali dengan judul ringkasnya al-Tuhfah ini merupakan sebuah kitab yang menghuraikan (mensyarahkan) sebuah karya Imam al-Nawawi (631-676H) yang berjudul Minhaj al-Thalibin. Di dalam muqaddimahnya, Ibn Hajar al-Haytami berkata, “ Setelah itu, sudah lama terlintas di dalam fikiranku untuk mengambil berkah dengan memberi sumbangan tehadap sebahagian kitab-kitab Abu Zakariyya Yahya al-Nawawi hinggalah saya berazam untuk berkhidmat terhadap kitabnya al-Minhaj dengan berpedoman kepada kitab-kitab syarahnya yang banyak beredar, serta memberikan jawapan dan tanggapan terhadap beberapa persoalan yang terdapat di dalamnya ” (al-Haytami, 1996:6)

Kitab al-Tuhfah ini merupakan sebuah kitab fiqh utama dalam mazhab al-Syafi’i, yang paling banyak menjadi pegangan muktamad para ulamanya di samping kitab Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, iaitu karya Imam Syamsuddin al-Ramli (1004H), di dalam menjelaskan pendapat-pendapat yang difatwakan di dalam mazhab setelah era al-Nawawi.

Kitab Tuhfah al-Muhtaj ini sudah dicetak berulang kali bersamaan dengan hasyiahnya, iaitu;

   1.      Hasyiah al-‘Allamah Ahmad bin Qasim al-‘Ubbadi (994H)
         2.      Hasyiah al-‘Allamah Abdul Hamid al-Syarwani al-Daghistani

Menurut al-Syaikh Dr.  Wahbah al-Zuhayli, cetakan kitab al-Tuhfah yang paling elok adalah cetakan Dar al-Kutub  al-‘Ilmiyyah di Beirut yang ditashihkan oleh Syaikh Muhammad Abdul Aziz al-Khalidi.

Download kitab al-Tuhfah di pautan berikut;

Islamweb.net (baca online) 
http://www.islamport.com/isp_eBooks/shf/e-Books/1718.rar 
http://islamport.com/w/shf/Web/1718/1.htm (baca online) 
http://www.almeshkat.net/books/archive/books/tuhft_%20almuhtaj.zip

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment