Wednesday, May 22, 2013

AL-AZKAR AL-NAWAWIYYAH

Kitab al-Azkar al-Muntakhabah min Kalaam Sayyid al-Abraar merupakan sebuah kitab yang terkenal karya al-Imam Muhyiddin Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H) atau terkenal dengan julukan Imam al-Nawawi. Di kalangan masyarakat Islam kitab ini lebih dikenali dengan nama Kitab  al-Azkar al-Nawawiyyah.  Dalam kitab ini, Imam al-Nawawi rahimahullah menghimpunkan hadis-hadis yang menyebutkan doa-doa dan zikir-zikir daripada Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam. Maka, kitab ini sangatlah bermanfaat bagi sesiapa yang mahu mengetahui dan mendalami doa-doa harian dan zikir-zikir harian yang terdapat dalam hadis-hadis Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam berserta adab-adab dan etikanya. 
Imam al-Nawawi mengatakan di dalam mukaddimah kitab al-Azkar-nya;  
“ Bahawa sebaik-baik keadaan seorang hamba adalah di saat dia berzikir kepada Rabb-Nya, iaitu Rabb sekalian alam. Dia menyibukkan dirinya dengan zikir-zikir yang diriwayatkan dari Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam, pemimpin seluruh Rasul. Para ulama telah menulis banyak kitab yang berkaitan dengan amalan seharian, doa-doa, dan zikir-zikir yang diketahui oleh mereka yang telah mengenal Allah Subhanahu wa Ta'ala. Namun semua itu terlalu panjang dengan banyaknya sanad dan pengulangan sehingga menjadikan orang yang ingin mempelajarinya merasa jemu.  Maka di sini, saya berhasrat untuk memudahkan hal tersebut bagi yang menginginkan. Kemudian saya menghimpunkan kitab ini sebagai suatu ringkasan terhadap tujuan-tujuan yang saya sebutkan di atas, dan bukan untuk mengetahui sanad-sanadnya, kerana kebanyakan mereka tidak menyukainya kecuali sedikit. Tujuan yang sebenarnya adalah untuk mengetahui zikir-zikir tersebut, lalu mengamalkannya. Kemudian saya menjelaskan hal-hal yang kelihatan samar bagi mereka yang ingin mencari petunjuk, dan insya-Allah sebagai ganti dari sanad-sanad yang tidak saya sertakan tersebut, saya akan menyertakan hal yang lebih penting lagi, iaitu menjelaskan status hadis tersebut sama ada sahih, hasan, dha'if, atau mungkar. Ini adalah yang lebih diperlukan oleh semua orang kecuali sedikit dari kalangan ahli hadis. Ini adalah suatu hal penting yang wajib untuk dipegang teguh, lagi diperlukan oleh para pelajar dari kalangan penghafaz, demikian juga dengan para imam, saya juga menyertakannya dengan beberapa dasar penting ilmu hadis, perincian hukum-hakam fiqh, kaedah-kaedah penting, galakkan, dan etika atau adab-adab yang penting yang peru diketahui oleh mereka yang mendalami tasawuf. Saya akan menjelaskan semua itu dengan bahasa yang mudah difahami oleh kalangan awam dan kaum terpelajar ”. 
Isi Kandungan al-Azkar; 
Kitab ini secara umumnya, dibahagikan mengikut bab-bab tertentu mengenai doa-doa, zikir-zikir, dan adab-adab tertentu dalam Islam. Di antara bab-bab tersebut adalah seperti: 
1. Mukaddimah, keutamaan dan kedudukan zikir, serta adab-adab asas tentang zikir dan doa.
2. Keutamaan dzikir.
3. Doa-doa seharian.
4. Adab-adab terhadap al-Qur'an.
5. Bab Pujian terhadap Allah.
6. Selawat ke Atas Nabi.
7. Zikir-zikir dan Doa-doa untuk hal-hal khusus tertentu.
8. Zikir-zikir yang dibaca ketika solat, baik solat wajib ataupun yang sunnah.
9. Zikir-zikir tentang Ramadhan, dan bulan-bulan tertentu.
10. Zikir-zikir yang berkaitan dengan haji.
11. Zikir-zikir yang berkaitan dengan jihad.
12. Zikir-zikir ketika makan dan minum.
13. Zikir dan adab-adab ketika bersin, serta sunnah mendoakan keselamatan.
14. Zikir-zikir yang berkaitan dengan pernikahan.
15. Bab nama dan kun-yah (gelaran). 
16. Pelbagai zikir-zikir yang bersifat umum.
17. Bab menjaga lisan.
18. Adab-adab berdoa. 
19. Bab Istighfar. 
Dan banyak lagi sub-perbahasan yang lainnya yang mana di dalamnya menghimpunkan berbagai jenis doa dan zikir-zikir yang diambil dari hadis-hadis Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam. 
Kitab-kitab  yang berkaitan dengan kitab al-Azkar; 
Berikut dilampirkan beberapa buah yang menghuraikan, memberi catatan ringkas dan mentakhrij hadis-hadis dalam kitab al-Azkar al-Nawawiyyah; 
1.       Nata-ij al-Afkar fi Takhrij Ahadits al-Azkar, karya al-Hafizh Ibn Hajar al-‘Asqalani (852H). Dalam kitab ini al-‘Asqalani telah memberi komentar dan mentakhrij terhadap hadis-hadis yang terdapat dalam kitab al-Azkar. Kitab ini boleh didownload di pautan berikut: http://read.kitabklasik.net/2010/07/nataij-al-afkar-fi-takhrij-ahaditsi-al.html  
2.      Amali al-Azkar, karya al-Hafizh Ibn Hajar al-‘Asqalani (852H). Dalam kitab ini juga al-‘Asqalani telah mentakhrij dan memberi komentar mengenai kedudukan hadis-hadis-hadis  yang terdapat dalam kitab al-Azkar. 
3.    Tuhfah al-Abrar bi Nukat al-Azkar, karya al-Hafizh Jalaluddin Abdul Rahman al-Sayuthi (911H). Dalam kitab ini al-Sayuthi memberikan beberapa catatan ringkas mengenai sebahagian hadis-hadis yang terdapat dalam kitab al-Azkar. Catatan-catatan tersebut diambil oleh al-Sayuthi dari kitab Amali al-Azkar, iaitu sebuah karya al-Hafizh Ibn hajar al-‘Asqalani. Oleh itu kitab Tuhfah al-Abrar ini boleh dianggap sebagai ringkasan kitab al-Amali tersebut. Kitab ini boleh didownload di pautan berikut:  http://ia600604.us.archive.org/17/items/waq8797/8797.pdf  
4.      al-Futuhat al-Rabbaniyyah ‘ala al-Azkar al-Nawawiyyah, karya al-Allamah Syeikh Muhammad bin ‘Allan al-Siddiqi al-Syafi’i (1057H).  Kitab ini merupakan kitab yang menghuraikan kandungan kitab al-Azkar agak terperinci. Ibn ‘Allan telah mentakhrij hadis-hadis yang terdapat dalam kitab al-Azkar dan menghuraikan maksud hadis-hadis di dalamnya. Kitab ini dianggap sebagai kitab pertama yang menghuraikan (mensyarah) isi kandungan kitab al-Azkar. Kitab ini telah dicetak oleh kebanyakan penerbit sebanyak 7 jilid. Kitab ini boleh dibaca dan didownload di pautan berikut:  http://archive.org/details/futohat  
Terjemahan kitab al-Azkar al-Nawawiyyah;   
Kitab al-Azkar telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu atau Indonesia oleh beberapa syarikat penerbitan, antaranya; 
1. Terjemahan al-Azkar Imam an-Nawawi; Jadikan Zikir  Sebagai Amalan dan penyuluh Hidup. Diterjemahkan oleh Panel penterjemah dari kitab yang ditahqiq Muhammad Abdul Qadir Syahin. Diterbitkan oleh Al-Hidayah Publication (C-2, 2010), dengan ketebalannya 699 halaman.
2. الأذكار terjemah al-Azkar: pilihan dari kalimat-kalimat Rasulullah s.a.w. Buku ini diterbitkan oleh Pustaka Antara, Kuala Lumpur (C-?, 2000) dengan ketebalan 837 halaman.
3. Al-Adzkar: kumpulan doa dan zikir. Diterjemahkan oleh Syed Ahmad Semait dan diterbitkan oleh Pustaka Nasional, Singapura (2000). Buku  ini telah diterbitkan dalam dua edisi, iaitu edisi Rumi dan Jawi. 
4. Tarjamah al-Adzkar an-Nawawi (mutiara ibadah, dzikir, doa). Telah diterjemahkan oleh Alhamid dan Zaid Husein dan diterbitkan oleh Alharamain, Kuala Lumpur (1985). 
5. Al-Adzkar : ensiklopedi do'a dan dzikir dalam al-Quran dan as-Sunnah as-Shahihah. Diterjemahkan oleh Ghafur Saub, dan Irfanuddin Rafiuddin. Diterbitkan  oleh Pustaka as-Sunnah, Jakarta (2007) 
6. Ensiklopedi mutiara doa, dzikir & amalan harian Nabi. Diterbitkan oleh Rabitha Press, Jakarta (2009)
7. Tarjamahan al-Adzkar.  Diterbitkan oleh PT AlMa'arif, Bandung (1984). 
Semoga bermanfaat.

5 comments:

  1. kitab ni ada terjemahan bahasa melayu? mana boleh beli?

    ReplyDelete
  2. salam.

    Setahu saya, dua buah buku terjemahan al-Azkar berikut masih ada dijual di beberapa kedai buku di Malaysia;

    1. al-Azkar: Kumpulan Doa dan Zikir, terjemahan Sayed Ahmad Semait. Terbitan: Pustaka Nasional Singapura.

    2. Terjemahan al-Azkar Imam an-Nawawi, Terbitan al-Hidayah Publication.

    Mengenai buku bernombor 1 di atas -saya hanya tunjuk satu kedai sahaja di kota bharu Kelantan, iaitu Syarikat Ja’afar Rawas , boleh juga beli secara online di pautan berikut: http://www.sjr.com.my/index.php?cPath=1. Sebenarnya banyak lagi kedai lain.

    Sebenarnya, saya sekarang ni berada di Sandakan, Sabah, saya pernah tengok ada juga buku di atas dijual di sebuah kedai buku di bandar Sandakan. Kalau sahabat mahu beli secara online buku bernombor 2 di atas, boleh juga melalui pautan berikut http://www.telagailmu.com/terjemahan-al-azkar-imam-an-nawawi/132/.

    ReplyDelete
  3. https://www.youtube.com/watch?v=Kc3TkBrks_s

    ReplyDelete
  4. Daurah Kitab Al Azkar ( TG Baba Mashadi Masyuti ) Siri 1

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum, mohon izinkan saya mengambil manfaat terjemahan mukadimah al azkar dar blog ini dan saya masukkan ke dalam blog saya. Juga saya nyatakan terjemahan tersebut diambil dari laman blog ini sebagai penghargaan.

    ReplyDelete