Monday, April 29, 2013

Sejarah Tamadun Islam


Karya ulama yang ingin dipaparkan ini adalah sebuah karya terjemahan dari kitab asal Arabnya yang berjudul al-Bidayah wa al-Hidayah karya al-Imam al-Hafiz ‘Imaduddin Ibn Katsir.

Terjemahan kitab ini dengan judul Sejarah Tamadun Islam telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan cetakan pertamanya pada tahun 2005. Ia telah dicetakkan dalam 14 jilid. Kita ikuti beberapa catatan mengenai buku ini yang saya nukilkan dari http://taman-buku.blogspot.com/2011_01_01_archive.html, tanpa sebarang perubahan teksnya.

Buku Sejarah Tamadun Islam Ibn Kathir merupakan buku karya agung klasik terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2005. Ibn Kathir merupakan seorang tokoh ilmuwan yang banyak meriwayatkan hadis. Beliau juga seorangahli matematik, tafsir dan sejarawan terkenal pada zamannya. Buku Sejarah Tamadun Islam Ibn Kathir ini merupakan terjemahan daripada buku Al-Bidayah wa al-Nihayah karangan Ibn Kathir. Penerbitan edisi buku ini dipetik daripada sebuah manuskrip yang diperoleh daripada Madrasah al-Ahmadiah yang terletak di Kota Halb, dalam Republik Arab Syria. Manuskrip ini dikumpulkan oleh Jumhur Muhaqqiqin (kumpulan penyemak) dan mereka telah menjalankan penyelidikan dengan merujuk kitab induk sejarah, dan kitab Sirah zaman dahulu.

Buku ini mempunyai 14 jilid dan terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu bahagian pertama menyentuh sejarah permulaan pemerintahan umat yang lalu hingga zaman Arab Jahiliyyah, sejarah hidup Rasulullah s.a.w., perutusan wahyu, dan kemunculan Islam hingga peristiwa Hijrah Nabi s.a.w. dari Makkah al-Mukarramah ke Kota Madinah al-Munawwarah. Bahagian ini bersumberkan al-Quran, Hadis dan karya para sejarawan Islam yang terkemuka seperti Imam al-Tabary, Ibn 'Umar, al-Waqidiy dan lain-lain lagi.                     

Bahagian kedua kitab ini mencatatkan sejarah pemerintahan Khulafa al-Rashidin, Kerajaan Umawiyyah, Kerajaan Abasiyyah dan kerajaan serta negara-negara yang merupakan pecahan daripada kerajaan Abasiyyah pada era keruntuhannya, sehingga ke saat ia ditakluki oleh Moghul yang berlanjutan ke tahun 774 Hijrah.

Bahagian terakhir kitab ini pula mengutarakan persoalan mengenai hari akhirat, kebangkitan kiamat melalui tanda-tanda awal dan akhir, serta kata-kata nasihat yang mengajak pembaca bertakwa kepada Allah s.w.t.. Semua persoalan tadi hanya terkandung dalam jilid buku yang terakhir sahaja, iaitu jilid ke-14.

No comments:

Post a Comment