Saturday, February 2, 2013

Beberapa catatan terhadap buku Pedoman-Pedoman Bermazhab Dalam Islam

 
Artikel berikut, merupakan sebahagian kandungan sebuah "catatan" yang saya e-mailkan kepada saudara Hafiz Firdaus Abdullah (seorang penulis yang sedang giat menulis karya-karya agama) mengenai karya beliau yang berjudul: Pedoman – Pedoman Bermazhab Dalam Islam ( Edisi Baru 2004 ), terbitan Jahabersa.  Namun,  kemungkinan beliau tidak menerima e-mail tersebut atau tiada kesempatan untuk memberikan maklumbalas mengenai kandungannya. Berikut saya lampir di sini kandungan catatan tersebut tanpa sebarang pindaan. Semoga bermanfaat.........
 
Saya ingin menarik perhatian saudara kepada hal. 84 buku ini. Di mana saudara telah membawa contoh bagi sikap taksub pengikut mazhab al-Syafi-‘i, yang telah menciptakan hadis palsu bagi menyokong mazhabnya. Saudara telah membawakan contoh hadis palsu tersebut, iaitu ;
Maksudnya: “ Sesiapa yang mengangkat tangan ketika solat, maka tiadalah solat itu baginya
 
Saya dapati mengenai perkara ini telah berlaku kesilapan, kerana berdasarkan pembacaan saya sebelum ini, hadis tersebut adalah dicipta oleh pengikut Mazhab Hanafi untuk menyokong mazhab mereka dan menolak pendapat mazhab a-Syafi-‘i yang menyunatkan mengangkat tangan ketika takbir dalam beberapa tempat ketika perpindahan rukun solat. Oleh itu, saya harap saudara meneliti kembali perkara ini.
 
Saya sekarang tidak mempunyai buku rujukan (yang muktabar) untuk mengesahkan perkara ini, namun bersama saya ada buku ; Hadis 40 : Terjemahan dan Syarahnya oleh Mustafa ‘Abdul Rahman [ Dewan Pustaka Fajar . Cetakan 2000 ], di halaman 33, beliau menyebutkan hadis tersebut dicipta oleh seorang pengikut mazhab Imam Abu Hanifah yang bernama Muhammad bin ‘Akasah, setelah ia mendengar ada kaum yang mengangkat tangan ketika rukuk dan bangkit daripadanya menurut mazhab Syafi-‘i.
 
Lagi pun memang telah maklum dalam mazhab Syafi-‘i, terdapat empat tempat yang disunatkan mengangkat tangan iaitu;
1. ketika takbiratul ihram,
2. ketika hendak rukuk,
3. ketika bangkit daripada rukuk,
4. ketika bangkit daripada membaca tahiyyat awal. [ Lihat cth rujukan spt. Fathul Mu-‘in: terjemahan dan huraian, Jil. 1, hal 63 : oleh Muhammad ‘Usman El-Muhammadi , Kifayatul Akhyar ( terjemahan) Jil. 1, hal. 255, Pustaka Nasioanal dan al-Fiqh ‘Ala al-Maza-hib al-Arba-‘ah, Jil. 1, hal. 250 ]
 
Sedangkan dalam mazhab Hanafi hanya sekali sahaja disunatkan mengangkat tangan, iaitu ketika takbiratul ihram. [ lihat Fiqh ‘Ala al-Maza-hib al-Arba-‘ah, Jil. 1, hal. 249 ]. Wallahu a’lam.

Saya harap saudara akan memberi perhatian mengenai perkara ini. Saya doakan semoga saudara diberikan kesempatan masa dan kemampuan oleh Allah untuk meneruskan usaha penyebaran dakwah dan penyampaian ilmu-ilmu Islam yang mulia ini. Wassalamu ‘alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
 
Nota:  Buku "Pedoman – Pedoman Bermazhab Dalam Islam" boleh dibaca di pautan berikut:  http://hafizfirdaus.com/ebook/PedomanMazhab/index.php  atau langsung baca di pautan http://hafizfirdaus.com/ebook/PedomanMazhab/Chap6.php   untuk membaca kandungan yang diberikan catatan oleh saya di atas.

No comments:

Post a Comment