Wednesday, November 21, 2012

al-Lukluk wa al-Marjan fi ma Ittafaqa 'Alaih al-Syaikhan

 
Kitab al-Lu'lu wa al-Marjan fii ma Ittafaqa  Alaihi al-Syaikhan, merupakan sebuah kitab yang menghimpunkan  hadits-hadits  shahih yang disepakati oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim. Kitab ini adalah hasil susunan al-Syaikh al-Muhaddits al-‘Allamah Muhammad Fuad Abdul Baqi, seorang ulama dari Mesir.

Imam Bukhari (194 H - 256 H) dan Imam Muslim (204 H - 261 H) merupakan dua orang yang mempunyai autoriti tertinggi dalam dunia periwayatan hadits shahih. Hadits-hadits yang diriwayatkan oleh mereka berdua  berdasarkan  syarat yang sangat ketat atas matan (isi) maupun sanad (silsilah periwayatan) hadits. Integriti orang-orang yang meriwayatkan (perawi hadits) juga sangat diperhatikan, seperti tidak pernah berdusta, kuat ingatannya, pernah bertemu dengan perawi sebelumnya, dan lain-lain. Dalam salah satu riwayat disebutkan bahawa Imam Bukhari pernah menolak integriti seorang perawi hadits, hanya kerana orang itu pernah "berdusta" kepada seekor kuda. Ia memanggil-manggil kuda dengan berpura-pura memberi makan, padahal dalam genggaman tangannya tidak ada makanan.
 
Penyusun kitab al-Lukluk wa al-Marjan, al-Syaikh Muhammad Fuad ‘Abdul Baqi menegaskan bahawa kitab susunan beliau ini sangat tinggi kedudukannya, berdasarkan isi kandungannya, iaitu himpunan hadits-hadits  yang disepakati keshahihannya oleh al-Bukhari dan Muslim. Beliau menguatkan perkara ini dengan pembahagian hadits shahih sebagaimana yang dibuat oleh Imam Taqiyuddin Abu ‘Amru ‘Utsman bin ‘Abdul Rahman al-Syahruzuri al-Syafi’i atau lebih dikenali dengan Ibn al-Shalah. Di mana Ibn al-Shalah telah membahagi khazanah hadits-hadits shahih dalam tujuh tingkatan, iaitu;
 
1.       Hadits shahih muttafaqun alaih (yang disepakati) oleh al-Bukhari dan Muslim.
2.      Hadits shahih yang hanya diriwayatkan oleh al-Bukhari.
3.      Hadits shahih yang hanya di riwayatkan oleh al-Muslim.
4.     Hadits shahih berdasarkan syarat yang ditentukan oleh al-Bukhari dan Muslim, tetapi keduanya  tidak meriwayatkan hadits itu.
5.      Hadits shahih hanya berdasarkan syarat yang ditentukan oleh al-Bukhari.
6.      Hadits shahih hanya berdasarkan syarat yang ditentukan oleh Muslim.
7.      Hadits shahih berdasarkan syarat-syarat yang ditentukan oleh Imam-ilmam hadits yang lain.
 
Menurut al-Syeikh Muhammad Fuad ‘Abdul Baqi, berdasarkan pengetahuannya tiada lagi kitab yang disusun menghimpunkan hadits-hadits yang disepakati keshahihannya (al-muttafaq ‘alaih), melainkan kitab karya gurunya, iaitu al-Marhum al-Syaikh Muhammad Habibullah al-Syanqithi, yang berjudul “ Zad al-Muslim Fi ma Ittafaq ‘alaih al-Bukhari wa Muslim ”. Namun begitu, kandungan kitab ini tidak meliputi semua hadits yang disepakati oleh al-Bukhari dan Muslim. 
 
Syaikh Muhammad Fuad ‘Abdul Baqi menjelaskan bahawa kandungan kitab ini, disusun mengikut susunan kitab, bab serta nombor haditsnya  berdasarkan kitab Shahih Muslim, kerana kaedah penyusunannya lebih sistematik dan lebih baik dari kitab Shahih al-Bukhari.
 
Berdasarkan kitab al-Lukluk wa al-Marjan dalam koleksi saya, iaitu terbitan Dar al-Hadits, Kaherah ( 2001), selepas sesebuah bab, penyusun akan mendatangkan sebuah hadits riwayat Muslim hingga sempurna, kemudian di bawahnya dicatatkan    hadits ini dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam :  …… (disebutkan nama kitab dan babnya). Jumlah hadits yang terkandung dalam kitab al-Lukluk wa al-Marjan ini adalah sebanyak 1906 buah.
 
Benarlah penegasan penyusunnya, sememangnya kitab ini sangat tinggi nilainya, menjadi rujukan para ilmuan Islam dalam melaksanakan penyelidikan dan kajian-kajian mereka.
 
Kitab ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia oleh berbagai penerbitan untuk memudahkan umat Islam yang berbahasa Melayu membuat rujukan mereka.
 
Kitab ini juga telah dibuat ebooknya sebagai memudahkan lagi kita membaca dan membuat rujukannya. Ia lengkap dengan teks 'Arab dan terjemahannya dalam bahasa Indonesia.
 
Sila kunjungan pautan berikut untuk mendownloadnya

3 comments:

  1. جزاك الله خيرا
    Terima kasih atas perkongsian ini. Moga Allah merahmati Ustaz sekeluarga..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih ust, kerana sudi mengunjungi blog yang penuh dengan kekurangan ini.

      Delete