Thursday, October 11, 2012

al-Nukat 'Ala Kitab Ibn al-Shalah karya Ibn Hajar al-'Asqalani


Syaikh al-Islam Amir al-Mu'minin fi al-Hadith Shihab al-Din Abu al-Fadl Ahmad b. 'Ali b. Muhammad b. Muhammad b. 'Ali b. Ahmad al-Kinani al-'Asqalani al-Misri al-Shafi'i (777H) atau  lebih dikenali dengan al-Hafiz Ibn Hajar mengupas dan mencurahkan khidmatnya kepada salah satu kitab utama di dalam bidang Mustalah al-Hadith iaitu kitab yang dikenali dengan nama Muqaddimah Ibn al-Shalah. Kitab ini ditulis oleh ulama terkenal yang bernama al-Imam al-Hafizh Ibn al-Shalah, Taqiyuddin Abu ‘Amru Utsman bin Abdur Rahman (577-643H). Sebenarnya al-Hafiz Ibn Hajar telah menyusun dan menulis beberapa buah kitab yang menghurai dan meringkaskan kitab Muqaddimah Ibn al-Shalah. Antaranya kitab Nukhbah al-Fikr fi Mustalah Ahl al-Athar, dan syarahnya Nuzhah al-Nazar, serta kitab al-Nukat 'ala Kitab Ibn al-Shalah. al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani telah mengulas dan mengupas secara terperinci permasalahan kitab Muqaddimah Ibn al-Shalah di dalam kitab al-Nukat-nya.

Kitab al-Nukat 'ala Kitab Ibn al-Shalah merupakan sebuah penulisan yang menggunakan kaedah al-Nukat atau al-Tankit. al-Tankit bermaksud menumpukan kepada sesuatu tanpa selain daripadanya yang boleh menyelesaikan segala permasalahan di dalamnya. Ini bermakna pengarang akan cuba menghuraikan kata-kata penulis asal, mengkritik, membawa segala persoalan yang berkaitan dengan nas penulis, mempertahankan pendapat penulis, mentarjihkan pendapat yang kuat dan pelbagai aspek yang bakal disentuh.

Artikel ini akan mengupas berkaitan kitab al-Nukat 'ala Kitab Ibn al-Shalah yang merangkumi nama kitab, sebab penulisan kitab, isi kandungan dan metodologinya.

al-Hafiz Ibn Hajar pada mulanya telah membaca Muqaddimah Ibn al-Shalah di hadapan Shaikhnya al-Hafiz al-‘Iraqi. Setiap perkara berkaitan huraian, penyelesaian masalah dan perkara-perkara penting yang dinyatakan oleh Shaikhnya akan dicatat oleh al-Hafiz Ibn Hajar. Ini adalah permulaan pengumpulan maklumat-maklumat yang akhirnya membawa kepada penulisan al-Nukat ‘ala Kitab Ibn al-Shalah.

Nama Kitab Dan Nisbahnya Kepada Al-Hafiz Ibn Hajar.

al-Hafiz Ibn Hajar telah menamakan kitabnya dengan nama al-Nukat ‘ala Kitab Ibn al-Shalah. Perkara ini telah dipastikan dengan salah satu naskhah yang ditulis sendiri oleh al- Hafiz: “al-Nukat ‘ala Kitab Ibn al-Shalah” oleh penulisnya Ahmad bin ‘Ali b. Hajar –moga diampunkan Allah s.w.t.-amin- Inilah yang tertulis dengan tulisan pengarangnya, sendiri dan seluruh naskhah ini dengan tulisan asal pengarangnya. Perkara ini dikuatkan lagi dengan perkataan al-Hafiz Ibn Hajar sendiri di dalam mukadimah kitabnya : “...Dan inilah al-Tankit ‘Ala Kitab Ibn al-Shalah”.

Sebab Penulisan Kitab

al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan tentang faktor-faktor yang mendorong beliau menghasilkan kitab al-Nukat ini: “... Aku telah menyelidik dan mengumpulkan semua faedah-faedah serta huraian al-Hafiz al-‘Iraqi terhadap kitab penulisan al-Imam Abu ‘Amr Ibn al-Shalah, jika aku dapati sesuatu yang baik, huraian atau kupasan yang menarik dan jarang ditemui, kritikan-kritikan yang kuat (terhadap Ibn al-Shalah), kritikan-kritikan yang lemah yang cuba aku perbaiki dan pertahankan, akan aku catat pada akhir helaian yang asal. Kini aku rasakan adalah suatu yang yang amat baik jika aku berusaha mengumpulkan semuanya, menambah perkara-perkara yang sesuai dengan perbahasan tersebut dan ini akan menyempurnakan ulasan terhadap kitab Ibn al-Shalah ... Tujuan aku (melakukan semua perkara ini) untuk mengumpulkan semua faedah-faedah dan maklumat penting (berkaitan ‘Ulum al-Hadith) yang tidak tersusun, membetul serta mengurangkan perbincanganperbincangan yang tiada kaitan dengannya…”

Kenyataan al-Hafiz Ibn Hajar telah menjelaskan tujuan kitab al-Nukat ini dihasilkan, iaitu:
1. Mengumpulkan segala huraian, ulasan, faedah, maklumat tambahan bagi setiap bab yang diperbincangkan.
2.  Mengkritik, membetulkan serta membuang semua bentuk huraian atau maklumat yang tiada hubungan dengan perbincangan atau maklumat-maklumat  yang   tersalah.

Isi Kandungan Kitab al-Nukat ‘Ala Kitab Ibn al-Shalah

Kitab ini ialah kitab yang menghuraikan, menjelaskan istilah dan maksud perbincangan masalah di dalam kitab Muqaddimah Ibn al-Shalah. Isi kandungan kitab ini mengikut isi kandungan kitab yang asal (Muqaddimah Ibn al-Shalah). Secara umumnya, kitab ini dimulakan dengan mukadimah yang ringkas dan seterusnya masuk kepada ulasan atau al-Nukat terhadap kitab Muqaddimah Ibn al-Shalah. Kitab al-Hafiz Ibn Hajar terhenti pada jenis yang ke 22. Kitab ini tidak mempunyai penutup dan diakhiri dengan kenyataan penyalin kitab: “Inilah yang terakhir didapati dengan tulisan pengarangnya sendiri.”

Metodologi Penyusunan Dan Penulisan Kitab

Kitab ini adalah karya yang berbentuk ulasan terhadap kitab yang lain, maka susunan ulasan adalah berdasarkan susunan kitab yang menjadi sumber huraiannya. Setelah diteliti, kitab al-Nukat ‘ala Kitab Ibn al-Shalah tidak hanya menghurai dan mengulas kitab Muqaddimah Ibn al-Shalah, malahan turut juga mengulas kitab al-Taqyid wa al-Idah li ma Utliqa wa Ughliqa min Muqaddimah Ibn al-Shalah yang ditulis oleh al-Hafiz al-‘Iraqi. Penumpuan ulasan al-Hafiz Ibn Hajar adalah kepada nas-nas Muqaddimah Ibn al-Shalah yang merangkumi 129 ulasan serta kritikan, manakala ulasan terhadap kitab al-Taqyid wa al-Idah li ma Utliqa wa Ughliqa min Muqaddimah Ibn al-Shalah hanya melibatkan 57 ulasan dan kritikan.66 Oleh sebab itu, nama kitab al-Hafiz Ibn Hajar lebih diutamakan dengan ulasannya terhadap Muqaddimah Ibn al-Shalah. Metodologi yang digunakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar di dalam menyempurnakan kitabnya, antaranya;

1.       al-Hafiz Ibn Hajar telah menyatakan di dalam mukadimah kitabnya al-Nukat, setiap ulasan terhadap Muqaddimah Ibn al-Shalah akan dimulakan dengan simbol ( ص). Tanda huruf ini adalah sebagai ganti kepada الصلاح  ابن, kemudian dibawa nas daripada Ibn al-Shalah. Ulasan kitab al-Taqyid wa al-Idah li ma Utliqa wa Ughliqa min Muqaddimah Ibn al-Shalah pula didahulukan dengan simbol ( ع), ia membawa erti العراقي, kemudian dibawa nas daripada al-Hafiz al-‘Iraqi.

2.      Setelah dibawa nas daripada kitab Ibn al-Shalah, al-Hafiz Ibn Hajar memulakannya dengan kritikan-kritikan yang dilemparkan terhadap al-Hafiz Ibn al-Shalah. Kritikan-kritikan ini dibawa dalam nombor berturut. Selepas setiap kritikan, al-Hafiz Ibn Hajar akan terus menjawab dengan mengemukakan hujah-hujah beliau sama ada menolak kritikan yang dilemparkan atau menyokongnya.

3.      al-Hafiz Ibn Hajar menambah perbincangan atau masalah yang tidak disentuh oleh al-Hafiz Ibn al-Salah. Penambahan ini didahulukan dengan perkataan تنبيهات atau perkataan الفائدة.

4.      Kaedah yang digunakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar ialah beliau amat menitikberatkan rujukan kepada sumber-sumber asli yang terdahulu. Setiap kali menukilkan sesuatu daripada sumber-sumber tersebut, al-Hafiz Ibn Hajar akan menyatakannya dan kadang-kadang turut menyebut nama bab daripada sumber tersebut. Contohnya : “…Di antaranya kata-kata al-Shaikh Mahy al-Din di dalam mukadimah kitab Minhajnya…” al-Hafiz Ibn Hajar tidak mengambil maklumat daripada kitab-kitab terkemudian yang menukilkannya daripada kitab lain yang terdahulu daripadanya. Bahkan al-Hafiz Ibn Hajar akan menegur serta mengkritik sesiapa yang terkeluar daripada kaedah ini.

5.      al-Hafiz Ibn Hajar memberi penekanan dan memastikan ketelitian di dalam mengemukakan pentakrifan atau pengertian sesuatu jenis hadith. Penekanan dalam aspek ini dapat mengelakkan daripada sebarang pertikaian ulama lain, sepertimana yang berlaku kepada ulama terdahulu.

6.     al-Hafiz Ibn Hajar juga berusaha menghuraikan ibarat-ibarat dan perkataanperkataan yang digunakan oleh al-Hafiz Ibn al-Shalah ataupun ulama yang lain. Sebarang perkataan ang samar maksudnya atau susah difahami akan diterangkan semula oleh al-Hafiz Ibn Hajar.

7.      Perbincangan-perbincangan yang telah dihuraikan di dalam kitabnya yang terdahulu cuma akan dinyatakan kitab dan diminta pembaca merujuknya kembali kepada kitab yang dinyatakan. Contohnya : Di dalam bab hadith hasan ketika mendatangkan contoh-contoh hadith hasan yang dikuatkan dengan isnad yang lain hingga menjadi hadith sahih: “...Ada banyak lagi contohnya yang telah aku nyatakan di dalam mukadimah Sharh al-Bukhari...”

8.      Setiap ulasan yang telah dikemukakan dan memerlukan kepada pengulangan beliau hanya akan mengisyaratkan bahawa ulasan dan perbincangan tersebut telah dinyatakan sebelumnya. Contoh: “Telah kami nyatakan sebelum ini” “Sepertimana yang telah ditetapkan pada perbincangan berkenaan dengan hadith hasan ”.

9.      .al-Hafiz Ibn Hajar banyak merujuk kepada kupasan gurunya al-Hafiz al-‘Iraqi. Ini jelas di dalam banyak ulasan yang dilakukan. Beliau akan menggunakan lafaz: “...Telah dijawab perkara ini oleh guru kami al-Hafiz al-‘Iraqi di dalam Syarh Manzumah-nya...”. 

10.   Begitu juga jelas terpancar sifat tawaduk dan merendah diri yang dimiliki oleh al-Hafiz Ibn Hajar, beliau akan mengakhiri perbincangan dan pendapatnya dengan kalimah: wallahu a’lam serta wallahu muwaffiq serta beradab di dalam mengkritik dan mempersoalkan pendapat ulama terdahulu. Beliau menggunakan perkataan: “Telah berlaku kepadanya sedikit kesilapan”, “Berlakunya kecelaruan ini adalah disebabkan oleh...”.

Secara umumnya, metodologi yang digunakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar telah berjaya menghuraikan kitab Muqaddimah Ibn al-Shalah dengan cara yang terperinci dan teratur. Hasil daripada pengamatan pengkaji, ulasan yang diberikan oleh al-Hafiz Ibn Hajar terhadap kitab Muqaddimah Ibn al-Shalah menggambar ketinggian ilmu dan pengkajiannya terhadap ilmu hadith.

Sumber: Artikel ini merupakan petikan dari artikel yang bertajuk: KITAB AL-NUKAT 'ALA KITAB IBN AL-SALAH OLEH AL-HAFIZ  IBN HAJAR AL-ASQALANI’. Untuk membaca artikel penuh mengenai biodata pengarang dan kitab al-Nukat ini, sila klik tajuk artikel di atas.

 

Berminat download kitab berkaitan, sila klik judulnya;

1.       al-Nukat 'ala Kitab Ibn al-Shalah - Ibnu Hajar al-Asqalani,

2.      al-Taqyid wa al-Idhah Syarah Muqaddimah Ibnu Shalah - Zainuddin al-'Iraqi

3.      al-Nukat 'ala Muqaddimah Ibnu Shalah - Badruddin Muhammad bin Bahadur al-Zarkasyi.

4.      Muqaddimah Ibnu Shalah wa Mahasin al-Isthilah

5.      Muqaddimah Ibnu Shalah (Ma'rifat Anwa' 'Ulum al-Hadits) - Abu 'Amru 'Utsman Ibnu

          Shalah

6.      al-Ba'its al-Hatsits Syarh Ikhtishar Ulum al-Hadits - Ahmad Muhammad Syakir

No comments:

Post a Comment